Followers

Tuesday, April 12, 2011

BAB 3- MENANTI FAJAR SIDIK



BAB 1-MENANTI FAJAR SIDIK (KLIK)
BAB 2- MENANTI FAJAR SIDIK (KLIK)
BAB 3- MENANTI FAJAR SIDIK



MALAM semakin lewat. Keadaan di luar begitu sunyi. Gelapnya kian memekat. Mak Jah masih setia menemani Mia Sakinah. Tirai mata Mia Sakinah masih lagi segar. Sesegar jiwanya tatkala mendengar Mak Jah bercerita.
...Mia Sakinah sudah terbiasa. Sejak dari zaman kanak-kanak lagi, wanita itu akan bercerita sebelum Mia Sakinah melelapkan mata. Mia Sakinah senang begitu. Tidurnya akan lena hingga ke pagi.
“Umi, ceritalah pada Mia tentang Rabiatul Adawiyah,” pinta Mia Sakinah.
“Mia kan boleh beli buku yang menceritakan kisah-kisahnya,” balas Mak Jah.
“Tak sama kalau umi yang cerita. Bolehlah, umi,” pujuk Mia Sakinah dengan manja.
“Hmm, yalah.” Mak Jah terus bercerita dengan tonasi suara yang tinggi dan rendah.
Mia Sakinah mendengar dengan penuh asyik.
“Dia adalah wali ALLAH. Kesabaran dan perjuangannya harus dicontohi wanita Islam hari ini. Kehidupannya bermula dari seorang wanita yang tak mentaati ALLAH, tapi akhirnya memilih jalan sufi untuk ketenangan hidupnya.”
“Satu ketika, Rabiah terpaksa mewarisi tugas ayahnya sebagai pendayung sampan. Dia akan mendayung sambil menyanyi. Suaranya amat merdu sekali. Sehinggalah dia dipaksa berkhidmat untuk raja. Rabiah menyanyi dan menuang arak untuk raja dan tetamu istana.” Mak Jah berhenti seketika. Kuapannya menandakan dia telah terlalu tua untuk terus berjaga. Hanya sayangnya pada Mia Sakinah yang membuat Mak Jah bersengkang mata.
“Umi nak tidur ke?” Kasihan Mia Sakinah melihat wajah layu wanita itu.
“Sikit lagi. Umi cerita ringkas, ya.”
Lantas Mia Sakinah mengangguk laju. Dasar hatinya sedikit menyesal. Andai dia tidak meminta untuk Mak Jah terus bercerita, sudah tentu Mak Jah telah lama diulit mimpi.
“Akhirnya timbul sedar di hatinya. Rabiah insaf dan mula mendekatkan diri pada ALLAH. Dia sering duduk bersendirian, sedangkan lidahnya sentiasa dibasahi zikir. Raja menyeksanya dengan kerja berat, melepaskan ular dan kala jengking ke dalam bilik Rabiah yang asyik berzikir.” Mak Jah terbatuk-batuk kecil.
“Ajaibnya binatang-binatang bisa itu menerkam pengawal raja. Rabiah tetap tenang dan terus beribadat kepada ALLAH. Apabila raja mengintai biliknya, Rabiah sedang terus beribadat, bermunajat dan berdoa pada ALLAH. Dalam biliknya yang gelap, kelihatan cahaya terang sedang menyuluh ke arahnya.
Raja bermimpi seorang tua datang dan memintanya melepaskan Rabiah dan jangan menyeksanya lagi, lalu raja melihat Rabiah berpakaian serba putih naik ke atas langit. Selepas bermimpi, raja bergegas ke bilik Rabiah dan mendapati dia sedang asyik berzikir dan berdoa.” Dia berhenti lagi. Dia menguap perlahan lalu menutup mulutnya dengan telapak tangan. Mata tuanya kian layu dan wajahnya makin lesu.
“Cukuplah, umi. Kesian Mia tengok, umi. Umi tidur, ya.” Mia Sakinah tidak sampai hati.
“Ada masa nanti, umi sambung, ya,” ujar Mak Jah sambil meninggalkan birai katil.
Cepat-cepat Mia Sakinah menyambar tangan Mak Jah. Untuk malam itu, dia mahu Mak Jah tidur bersamanya. Sudah begitu lama dia tidak dapat memeluk tubuh tua itu. Dia merindui saat-saat tangannya melingkari pinggang pengasuhnya itu. Dulu dia sering begitu. Tidurnya akan jadi mudah dan pulas. Jika igaunya bertandang, Mak Jah akan menepuk-nepuk lembut tubuhnya sehingga dia terlena semula.
“Dah besar masih nak bermanja-manja,” usik Mak Jah dengan mata separuh terbuka.
“Umi tak suka?” Mia Sakinah sengaja menduga.
Mak Jah ketawa kecil. Enggan untuk menjawab. Kelopak matanya terasa berat. Untuk beberapa ketika, mulutnya terkumat-kamit membaca kalimah suci untuk menghadapi mati yang sementara.
Mia Sakinah menatap wajah tenang Mak Jah lama-lama. Dia mencongak-congak sendiri. Wanita di sisinya itu telah pun berusia hampir 70 tahun. Entah untuk berapa lama lagi dia bisa mendampinginya. Dia menjadi sayu. Rasa hiba mengintai-intai diri.
“Tidur, Mia. Jangan lupa apa yang umi ajar. Sebelum tidur, khatamkan al-Quran.” Masih kedengaran suara Mak Jah yang perlahan biar pun tirai matanya tidak lagi terbuka.
Bismillah memulakan pimpinan. Diikuti oleh al-Fatihah, ibu segala doa. Mia Sakinah membaca dengan tertib. Itu ajaran Mak Jah dan itu amanat Rasulullah. Nabi Muhammad SAW berpesan, bacalah al-Ikhlas sebanyak tiga kali, maka khatamlah Al-Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 juz al-Quran. Ianya menjadi amalannya sejak Mak Jah mula mengajarnya. Dia mengakhiri dengan surah aL-Mulk. Al- Tirmidzi telah meriwayatkan sabda Rasulullah, barangsiapa membaca Al-Mulk dia akan bebas dari azab kubur.
Tubuh langsingnya dikisar ke sisi. Tangan kanan Mia Sakinah erat melingkari pinggang pengasuh tuanya. Mak Jah telah kembara dalam mimpinya. Terlalu sukar memujuk matanya agar tidak terus berjaga. Tapi entah mengapa mata itu berdegil. Dalam damai hatinya ada gelora melanda. Dalam tenangnya jiwa ada kocakan yang membahana.
Sejujurnya, dia kurang senang dengan tingkah papa dan mamanya. Umur lewat mereka dilalui bagaikan kehidupan anak-anak muda. Sehingga malam merangkak ke pagi, mereka masih belum pulang lagi. Dirinya sebagai seorang anak tunggal sering terabai. Selayaknya, curahan kasih untuknya melimpah ruah. Sewajarnya belaian mereka lebih daripada mencukupi. Anehnya dirinya terasa dipinggirkan. Mak Jah adalah ibu sejati biarpun lahirnya Mia Sakinah bukan dari dalam kandungannya.
“ALLAH... berilah kekuatan untuk aku berdiri di atas paksi-MU. ENGKAU peliharalah kedua ibu bapaku. .
Bukakanlah pintu hati mereka untuk melihat kebenaran. Amin.” Namun kasih Mia Sakinah pada mereka tidak pernah berubah.

0 ulasan:

 
Copyright suara hati... 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .