Followers

Tuesday, April 12, 2011

BAB 5- MENANTI FAJAR SIDIK

BAB 1-MENANTI FAJAR SIDIK (KLIK)
BAB 2- MENANTI FAJAR SIDIK (KLIK)
BAB 3- MENANTI FAJAR SIDIK (KLIK)
BAB 4- MENANTI FAJAR SIDIK (KLIK)
BAB 5- MENANTI FAJAR SIDIK

LIAR mata Mia Sakinah berpusar ke arah kamar pembantu rumah yang bertutup rapat. Dia merapati daun pintu lalu memberi salam dengan lembut.
Mak Jah muncul dengan wajah tidak seceria selalu. Cuba diukir senyum untuk Mia Sakinah. Sebuah senyuman hambar yang bagai dipaksa.
...Mia Sakinah meluru masuk. Mak Jah yang sudah biasa dengan kerenah Mia Sakinah membiarkan sahaja. “Umi nampak tak sihat,” tegurnya sambil menarik sebuah kerusi kayu.
“Umi dah tua, Mia. Mulalah macam-macam yang tak kena pada badan umi ni,” jawab Mak Jah yang menampal koyok pada tengkuk dan dahinya.
Segenap wajah itu itu diselusuri. Wajah yang dulunya putih bersih dan tegang, kini sudah mula disinggahi kedut. Mata yang dipenuhi sinar telah menjadi layu. Yang masih sama pada wajah itu adalah riak-riak tenang yang mendamaikan.
“Umi jangan tinggalkan Mia, ya,” pinta Mia Sakinah bersungguh-sungguh.
Kali ini, Mak Jah pula merenung wajah Mia Sakinah dari setiap sudut. Wajah itu penuh mengharap. Mohon pengertian yang dia sendiri sukar untuk memberikan jawapan. “Mia! Umi tak berani janji. Apa yang akan jadi esok atau lusa, kita tak kan tau. Semua tu di luar bidang kuasa kita, kan.” Dia mengingatkan.
“Jadi betullah apa yang Pak Jamil cakap tu?”
“Apa yang Pak Jamil beritahu Mia?” Mak Jah pula bertanya.
Mia Sakinah mengetap ulas bibirnya. Renungannya pada wajah Mak Jah semakin dalam. Sebentar tadi, Mak Jah seakan telah mengiakan kebenarannya. Cuma Mak Jah masih mahu berselindung di sebalik teka-teki itu. Membayangkan andai wanita itu meninggalkannya, dia jadi tidak menentu. Akan sepilah kehidupannya nanti. “Betul mama nak umi berhenti?” tanyanya.
Mak Jah terbatuk-batuk kecil. Kemudian, dia menarik nafas panjang. Seketika, dia melayangkan pandang, seakan jauh menembusi ruang kamar. Tidak mahu lagi menatap wajah Mia Sakinah. Di dasar hatinya, Mia Sakinah adalah anak yang tidak pernah dikandungnya. Mia Sakinah adalah gadis kecil yang amat disayangi walaupun dia tidak pernah melahirkannya. Sudah sekian lama kasihnya tertumpah pada Mia Sakinah.
“Umi tak jawab pun pertanyaan Mia.” Mia Sakinah semakin tidak sabar. Dia hampa dengan sikap membisu Mak Jah.
“Mia, umi tak pernah sembunyikan apa-apa pada Mia. Cuma umi belum bersedia. Kalau Mia dah tau dari Pak Jamil, itu lebih baik,”jawab Mak Jah sugul.
“Umi!” Mia Sakinah meluru ke arah Mak Jah. Dia berteleku dan meletakkan kedua-dua tangannya pada lutut Mak Jah yang sedang duduk di birai katil. Air mata jernih mulai gugur satu per satu.
“Mia, jangan suka bazirkan air mata. Mia bukan anak kecil lagi. Mia kata Mia nak jadi kuat. Kuat macam Rabiatul Adawiyah.” Mak Jah mengingatkan Mia Sakinah, sedangkan lautan air mata telah lama memenuhi kolam hatinya.
“Mia tak peduli. Umi janji jangan tinggalkan Mia. Mia tak ada siapa-siapa. Mia cuma ada umi, aje,” rayu Mia Sakinah sambil menyembamkan wajahnya pada kedua paha Mak Jah.
Mak Jah mengusap lembut rambutnya. Tidak pasti masih ada peluang lagikah untuknya berbuat begitu. “Jangan cakap begitu Mia. Mia ada mama, ada papa. Pak Jamil pun ada. Mereka semua sayangkan Mia,” pujuknya dengan suara tertahan-tahan.
“Umikan tau, bagi mereka, ada atau tak Mia, sama aje. Lagipun, tak ada orang yang faham Mia, umi,” kata Mia Sakinah. Air matanya mula menitis.
“Sudah, sudah. Kalau Mia sayang umi, jangan menangis lagi. Mia tak ingat didikan umi? Jangan jadi anak manja. Jangan mudah menyerah pada keadaan.” Satu per satu kata-kata nasihat meluncur dari bibir Mak Jah. Luahan kata itu bertentangan dengan suara hatinya. Andai diberi pilihan, dia mahu terus berada di sisi Mia Sakinah. Malangnya, dia tidak boleh berbuat apa-apa.
Mia Sakinah mengangkat wajah. Pipinya yang basah dilap segera. Mak Jah tersenyum sambil membantu mengesat sisa air mata. Tanpa Mia Sakinah tahu, kolam hatinya turut dibanjiri tangisan. Tangisan yang tidak mungkin dapat dizahirkan.
“Nanti, Mia akan pujuk mama,” ucap Mia Sakinah setelah hatinya agak lega.
“Tak perlu, Mia. Nanti mama marah Mia pulak. Lambat laun, umi terpaksa berhenti juga. Lebih baik rumah ni diuruskan oleh orang yang lebih muda, lebih bertenaga,” ujar Mak Jah diselangi dengan batuk kecil.
“Mia tetap akan pujuk mama,” kata Mia Sakinah. Dia akan beruasaha memujuk mamanya walaupun dia pasti akan dimarahi.
“Mia! Mia!” keluh Mak Jah.

BAB 4- MENANTI FAJAR SIDIK

BAB 1-MENANTI FAJAR SIDIK (KLIK)
BAB 2- MENANTI FAJAR SIDIK (KLIK)
BAB 3- MENANTI FAJAR SIDIK (KLIK)
BAB 4- MENANTI FAJAR SIDIK
...

MIA SAKINAH memicingkan telinganya ke daun pintu. Masih senyap sunyi. Waktu solat subuh hampir ke penghujungnya. Belum ada tanda-tanda mama dan papanya telah bangun dari tidur. Dia gelisah. Benaknya mula menimbang kewajaran yang harus dilakukan. Bimbang akan bersikap biadap jika dia mengetuk pintu. Lebih takut lagi, andai dia dipersoalkan di hadapan RABBUL JALIL nanti.
“Mama! Mama! Ma! Bangun, ma!” Dia tiada pilihan lagi. “Papa! Oh, pa! Bangunlah, pa!”
‘Tak kuat ke aku ketuk?’ Fikirnya lalu mengetuk daun pintu lebih kuat lagi. Beberapa detik terus berlalu. Dia tetap dengan kedegilannya yang bertempat. Ianya demi kasihnya pada mama. Juga kerana sayangnya pada papa. Ketukan semakin kuat. Laungan Mia Sakinah tidak kenal jemu. Akhir nya daun pintu terkuak juga.
“Apa yang kamu nak ni, Mia? Pagi-pagi buta dah ganggu mama,” omel Ruby dengan mata separuh terbuka. Wajah sembab dan rambut yang tidak terurus membayangkan dia benar-benar mengantuk.
“Solat, ma. Subuh dah nak habis.” Bagi Mia Sakinah, tanggungjawab itu mesti dilakukan. Islam mengajar agar umat manusia saling ingat-mengingatkan. Itu pesan Mak Jah. Itu juga yang cuba diamalkan olehnya.
“Mama ingatkan apalah tadi. Mia, Mia, mama mengantuk ni. Kamu tau pukul berapa kami balik malam tadi?” ujar Ruby dengan rasa jengkel.
“Mia tau mama balik lewat. Tak apakan kalau mama solat dulu, lepas tu mama sambunglah tidur.” Selembut mungkin Mia Sakinah cuba mengingatkan mamanya.
“Mia, mama bukan budak-budak. Tak payah nasihatkan mama macam tu. Nanti ada masa, mama gantilah. Sudah! Mama nak tidur.” Serentak dengan itu, daun pintu ditutup semula.
Mia Sakinah masih di situ. Tarikan nafas panjang dilepaskan satu-satu. Dia hampa. Dia benar-benar kecewa. Niat baiknya tidak mendapat sambutan. Kolam matanya terasa hangat. Tirai mata dibuka dan ditutup beberapa kali. Dia cuba melarang, namun air mata jernih bertakung juga. Sepantas kilat, ia diseka. Dia tidak mahu jadi lemah. Tanggungjawab telah pun dilaksanakan, terpulang sahaja andainya tidak diterima.
‘Sikit-sikit nak menangis! Tak apalah tak berjaya kali ni, esok lusa cuba lagi. Aku mesti kuat. Kalau tak, macam mana aku nak jadi seperti Rabiatul Adawiyah,’ bisikan baik memujuk laranya. Dia tersenyum. ‘Baik tengok, umi.’
Setibanya di dapur, perasaannya segar kembali. Terbit senyuman mekar diulas bibirnya. Setiap kali memandang wanita tua itu, hatinya lapang. Seakan ada nur yang sukar dimengerti lahir dari kedut wajah tua Mak Jah. Dia terjengkit-jengkit. Tidak mahu langkahnya dihidu. Sengihan terlihat dari raut wajahnya yang nakal. “Sayang, umi!” Dia merangkul tubuh Mak Jah dari belakang.
“Astaghfirullah...” Mak Jah mengurut-ngurut dadanya kerana terkejut.
“Umi terkejut ke?” soal Mia Sakinah selamba.
“Mia nak balas dendam, ya?” Mak Jah memusingkan tubuhnya sambil bercekak pinggang. Buat-buat marah.
“Taklah, umi. Tak ada niat pun,” jawab Mia Sakinah sedangkan hidungnya memicing pada aroma nasi goreng di kuali. “Sedapnya bau!” pujinya.
Telatah Mia Sakinah membuat Mak Jah mengeluh panjang. Mia Sakinah seorang gadis nakal. Dalam nakalnya, dia pandai mengambil hati. Dia juga gadis periang. Dalam riang itu, ada duka yang tersembunyi. Keberanian juga milik gadis bertubuh kecil bernama Mia Sakinah. Mia Sakinah berani menongkah arus. Mahu membina rumahku syurgaku. Ingin melihat mama dan papanya berubah.
Dia lebih kenal Mia Sakinah luar dan dalam. Mia Sakinah membesar di hadapan matanya. Jerit tangis Mia Sakinah di malam hari, dia yang mendodoikan. Kembung perut Mia Sakinah, sepanjang malam dia yang berjaga. Kering tekak Mia Sakinah, dia yang membancuh susu untuknya. Tidak pernah sekali pun, Mia Sakinah dapat menikmati susu ibu. Puan Ruby enggan berbuat begitu. Takut tubuhnya menjadi jelik pada pandangan mata.
“Umi! Umi berangan, ya?”
Imbasan kenangan lalu segera terbang melayang, hilang entah ke mana. Mak Jah tersenyum. “Mia ni ada-ada aje. Nasi goreng ni dah boleh senduk.”
“Mia sediakan pinggan ya, umi.”
Pagi itu hanya mereka berdua di meja makan. Untuk menunggu mama dan papanya, tidak tahu pukul berapa mereka akan terjaga. Mia Sakinah tidak mahu lagi memikirkan. Rezeki yang ALLAH beri mesti dinikmati segera.
Selesai makan, Mia Sakinah mengambil angin pagi. Dia mengintai-intai Pak Jamil yang sedang menghias landskap taman. Lirikan matanya mengamati setiap jenis bunga yang ditanam oleh Pak Jamil. Sejuk mata memandang. Pokok orkid hutan ditanam berbaris menganjur hingga ke pintu taman. Pokok-pokok keladi kecil di tanam dalam pasu dan disusun membentuk bulatan. Pokok tanduk rusa digantung di empat penjuru tiang bumbung penahan panas.
“Pak Jamil!!!” Hanya suara yang kedengaran sedangkan tuan punya tubuh tidak kelihatan.
Pak Jamil tertunduk-tunduk memanjangkan leher. Mencari arah suara halus itu. Gunting besar dalam pegangannya diletakkan sebentar. Dia mengambil tuala kecil yang terlilit di bahunya. Peluhnya disapu perlahan.
“Pak Jamil, buat apa tu?” Sekali lagi suara halus kedengaran.
Pak Jamil tersenyum sumbing. Dia hanya berdiri tegak. Membiarkan suara itu memanggilnya berkali-kali. Selesai mengelap peluh, dia mencapai botol air di atas seketul batu hiasan taman. Air diteguk dengan laju. Cuaca yang sedikit panas membuatkan dia begitu dahaga.
“Keluarlah, Mia. Janganlah nak takutkan Pak Jamil. Pak Jamil kenal benar suara kamu,” ucap Pak Jamil selamba sambil ketawa kecil
“Pak Jamil ni tak sportinglah.” Mia Sakinah muncul dari balik batu besar yang dibina sebagai air pancut buatan.
“Mia, Mia... dari dulu sampai sekarang, perangai kamu tak pernah berubah.” Pak Jamil terus ketawa.
“Siapa lagi Mia nak usik kalau bukan umi dan Pak Jamil,” keluh Mia Sakinah. “Subur bunga-bunga ni Pak Jamil. Kalau tak ada Pak Jamil, mesti tak terjaga semua ni,” pujinya, ikhlas.
“Kalau Pak Jamil tak ada, ramai lagi yang nak kerja dengan papa Mia. Di bandar besar ni, masing-masing berlumba cari kerja,” balas Pak Jamil selepas meneguk air putih di dalam botol.
“Lain macam aje bunyinya Pak Jamil. Macam jauh hati aje. Pak Jamil ada niat nak berhenti ke? Janganlah macam tu.” Kebimbangan terbayang di riak wajah Mia Sakinah.
“Entahlah. Susah Pak Jamil nak cakap,” keluhan kecil dilepaskan. Pak Jamil meletakkan botol air di atas bangku taman. Gunting besar yang diletakkan sebentar tadi diambil semula. Ranting pokok bunga kertas yang telah tumbuh bercabang-cabang, dicantas dengan cermat. Dia membentuknya menjadi bonsai. Tiada suara yang kedengaran. Tidak seperti selalu, kali ini dia seperti tidak mengendahkan kehadiran Mia Sakinah.
Mia Sakinah bertenggek pada bangku taman. Mata redupnya ralit memerhati perlakuan Pak Jamil yang di luar dari kebiasaan. “Kenapa Mia tengok Pak Jamil tak macam selalu?” soalnya, mahu menghurai persoalan.
“Itu hanya perasaan Mia aje. Rasanya tak ada lain pun,” dalih Pak Jamil.
“Bukan baru hari ni Mia kenal Pak Jamil. Pak Jamil tak pernah rahsiakan apa-apa daripada Mia, tapi hari ni, Mia rasa lain. Mesti Pak Jamil ada sorokkan sesuatu dari Mia,” teka Mia Sakinah dengan yakin.
Pak Jamil mengisar tubuh. Dia membuka topi lalu dikibas-kibas ke wajahnya. Angin dari kibasan topi itu menyegarkan sedikit wajahnya yang dibasahi peluh. Sorot mata tuanya merenung tepat ke wajah Mia Sakinah. Wajah itu begitu polos dan tenang. Baginya, ia masih sama seperti 19 tahun yang lalu. Mia Sakinah sudah seperti anaknya sendiri. Tangisan Mia Sakinah adalah gurisan hatinya. Gelak tawa Mia Sakinah, adalah penyeri di rumah agam itu.
“Mia tak dengar apa-apa ke?” Mengenangkan itu semua membuat Pak Jamil berubah fikiran. Tidak ada yang perlu dirahsiakan lagi. Mia Sakinah harus tahu kerana dia berhak tahu.
“Tentang apa Pak Jamil. Ada apa-apa yang jadi ke masa Mia tak ada.” Riak wajah Mia Sakinah berubah tiba-tiba. Ada tanda-tanya di hatinya.
Pak Jamil duduk di atas tunggul kayu buatan. Dia membuang pandang ke arah percikan air pancut. Pandangan itu berlari pula ke sekitar landskap yang terbina dari hasil titik peluhnya. Hingga akhirnya, ia tertumpah ke wajah Mia Sakinah semula.
“Mama Mia dah beri kata dua pada Mak Jah,” jelas Pak Jamil dengan berhati-hati.
Spontan Mia Sakinah berdiri. Degup jantungnya tidak menentu. Ada rasa yang kurang enak di dalamnya. Mukadimah dari Pak Jamil mengandung seribu makna. Walau apa sahaja, yang pasti, ia berkaitan dengan pengasuh tuanya. Wanita itu segala-gala bagi dirinya. Selama 19 tahun yang ditinggalkan dan sehingga kini, kasihnya tertumpah di situ. Sayangnya berlegar dan bersatu bersama denyut nadi dalam tubuh tua itu. “Apa maksud Pak Jamil? Mia tak dengar apa-apa pun.” Dia cuba melawan gelodak jiwa.
“Akhir-akhir ni, Mak Jah selalu kurang sihat. Mak Jah tak dapat urus semuanya seperti dulu. Mama Mia tak puas hati. Kalau boleh, mama Mia nak cari pengganti Mak Jah. Yang lebih muda dan lebih bertenaga,” jelas Pak Jamil yang hampir sepuluh tahun lebih muda dari Mak Jah.
“Betul apa Pak Jamil cakap ni?” soal Mia Sakinah perlahan.
“Takkan Pak Jamil nak main-main.”
“Sampai hati, mama,” ucap Mia Sakinah lebih perlahan.Ulas bibirnya diketap kuat. Aturan nafas jadi tidak menentu. Tanpa sedar, jari-jemarinya bermain-main dengan daun keladi di dalam pasu. Daun keladi yang segar menghijau terkoyak menjadi cebisan.
Pak Jamil hanya memandang tanpa mahu menegur. Dia mahu membiarkan Mia Sakinah begitu. Dia sedar dan memahami apa yang sedang bergolak dalam diri gadis sunti itu. Baginya, Mak Jah adalah segala-galanya. Mak Jah tempatnya bermanja dan mencurah segala macam perasaan. “Maafkan Pak Jamil sebab buat Mia sedih.” Perasaan bersalah menjengah dirinya sedangkan Mia Sakinah masih tenggelam dalam perasaan yang tidak menentu. “Mia!”
“Err, ya Pak Jamil,” sahut Mia Sakinah gugup.
“Pak Jamil minta maaf kalau dah buat Mia sedih.” Ulang Pak Jamil.
“Mia seharusnya berterima kasih pada Pak Jamil. Kalau tak, Mia tak tau ni semua. Tak apalah Pak Jamil, Mia minta diri dulu.” Mia Sakinah mahu cepat-cepat pergi kerana hatinya sedang berkocak hebat.

BAB 3- MENANTI FAJAR SIDIK

BAB 1-MENANTI FAJAR SIDIK (KLIK)
BAB 2- MENANTI FAJAR SIDIK (KLIK)
BAB 3- MENANTI FAJAR SIDIK

MALAM semakin lewat. Keadaan di luar begitu sunyi. Gelapnya kian memekat. Mak Jah masih setia menemani Mia Sakinah. Tirai mata Mia Sakinah masih lagi segar. Sesegar jiwanya tatkala mendengar Mak Jah bercerita.
...Mia Sakinah sudah terbiasa. Sejak dari zaman kanak-kanak lagi, wanita itu akan bercerita sebelum Mia Sakinah melelapkan mata. Mia Sakinah senang begitu. Tidurnya akan lena hingga ke pagi.
“Umi, ceritalah pada Mia tentang Rabiatul Adawiyah,” pinta Mia Sakinah.
“Mia kan boleh beli buku yang menceritakan kisah-kisahnya,” balas Mak Jah.
“Tak sama kalau umi yang cerita. Bolehlah, umi,” pujuk Mia Sakinah dengan manja.
“Hmm, yalah.” Mak Jah terus bercerita dengan tonasi suara yang tinggi dan rendah.
Mia Sakinah mendengar dengan penuh asyik.
“Dia adalah wali ALLAH. Kesabaran dan perjuangannya harus dicontohi wanita Islam hari ini. Kehidupannya bermula dari seorang wanita yang tak mentaati ALLAH, tapi akhirnya memilih jalan sufi untuk ketenangan hidupnya.”
“Satu ketika, Rabiah terpaksa mewarisi tugas ayahnya sebagai pendayung sampan. Dia akan mendayung sambil menyanyi. Suaranya amat merdu sekali. Sehinggalah dia dipaksa berkhidmat untuk raja. Rabiah menyanyi dan menuang arak untuk raja dan tetamu istana.” Mak Jah berhenti seketika. Kuapannya menandakan dia telah terlalu tua untuk terus berjaga. Hanya sayangnya pada Mia Sakinah yang membuat Mak Jah bersengkang mata.
“Umi nak tidur ke?” Kasihan Mia Sakinah melihat wajah layu wanita itu.
“Sikit lagi. Umi cerita ringkas, ya.”
Lantas Mia Sakinah mengangguk laju. Dasar hatinya sedikit menyesal. Andai dia tidak meminta untuk Mak Jah terus bercerita, sudah tentu Mak Jah telah lama diulit mimpi.
“Akhirnya timbul sedar di hatinya. Rabiah insaf dan mula mendekatkan diri pada ALLAH. Dia sering duduk bersendirian, sedangkan lidahnya sentiasa dibasahi zikir. Raja menyeksanya dengan kerja berat, melepaskan ular dan kala jengking ke dalam bilik Rabiah yang asyik berzikir.” Mak Jah terbatuk-batuk kecil.
“Ajaibnya binatang-binatang bisa itu menerkam pengawal raja. Rabiah tetap tenang dan terus beribadat kepada ALLAH. Apabila raja mengintai biliknya, Rabiah sedang terus beribadat, bermunajat dan berdoa pada ALLAH. Dalam biliknya yang gelap, kelihatan cahaya terang sedang menyuluh ke arahnya.
Raja bermimpi seorang tua datang dan memintanya melepaskan Rabiah dan jangan menyeksanya lagi, lalu raja melihat Rabiah berpakaian serba putih naik ke atas langit. Selepas bermimpi, raja bergegas ke bilik Rabiah dan mendapati dia sedang asyik berzikir dan berdoa.” Dia berhenti lagi. Dia menguap perlahan lalu menutup mulutnya dengan telapak tangan. Mata tuanya kian layu dan wajahnya makin lesu.
“Cukuplah, umi. Kesian Mia tengok, umi. Umi tidur, ya.” Mia Sakinah tidak sampai hati.
“Ada masa nanti, umi sambung, ya,” ujar Mak Jah sambil meninggalkan birai katil.
Cepat-cepat Mia Sakinah menyambar tangan Mak Jah. Untuk malam itu, dia mahu Mak Jah tidur bersamanya. Sudah begitu lama dia tidak dapat memeluk tubuh tua itu. Dia merindui saat-saat tangannya melingkari pinggang pengasuhnya itu. Dulu dia sering begitu. Tidurnya akan jadi mudah dan pulas. Jika igaunya bertandang, Mak Jah akan menepuk-nepuk lembut tubuhnya sehingga dia terlena semula.
“Dah besar masih nak bermanja-manja,” usik Mak Jah dengan mata separuh terbuka.
“Umi tak suka?” Mia Sakinah sengaja menduga.
Mak Jah ketawa kecil. Enggan untuk menjawab. Kelopak matanya terasa berat. Untuk beberapa ketika, mulutnya terkumat-kamit membaca kalimah suci untuk menghadapi mati yang sementara.
Mia Sakinah menatap wajah tenang Mak Jah lama-lama. Dia mencongak-congak sendiri. Wanita di sisinya itu telah pun berusia hampir 70 tahun. Entah untuk berapa lama lagi dia bisa mendampinginya. Dia menjadi sayu. Rasa hiba mengintai-intai diri.
“Tidur, Mia. Jangan lupa apa yang umi ajar. Sebelum tidur, khatamkan al-Quran.” Masih kedengaran suara Mak Jah yang perlahan biar pun tirai matanya tidak lagi terbuka.
Bismillah memulakan pimpinan. Diikuti oleh al-Fatihah, ibu segala doa. Mia Sakinah membaca dengan tertib. Itu ajaran Mak Jah dan itu amanat Rasulullah. Nabi Muhammad SAW berpesan, bacalah al-Ikhlas sebanyak tiga kali, maka khatamlah Al-Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 juz al-Quran. Ianya menjadi amalannya sejak Mak Jah mula mengajarnya. Dia mengakhiri dengan surah aL-Mulk. Al- Tirmidzi telah meriwayatkan sabda Rasulullah, barangsiapa membaca Al-Mulk dia akan bebas dari azab kubur.
Tubuh langsingnya dikisar ke sisi. Tangan kanan Mia Sakinah erat melingkari pinggang pengasuh tuanya. Mak Jah telah kembara dalam mimpinya. Terlalu sukar memujuk matanya agar tidak terus berjaga. Tapi entah mengapa mata itu berdegil. Dalam damai hatinya ada gelora melanda. Dalam tenangnya jiwa ada kocakan yang membahana.
Sejujurnya, dia kurang senang dengan tingkah papa dan mamanya. Umur lewat mereka dilalui bagaikan kehidupan anak-anak muda. Sehingga malam merangkak ke pagi, mereka masih belum pulang lagi. Dirinya sebagai seorang anak tunggal sering terabai. Selayaknya, curahan kasih untuknya melimpah ruah. Sewajarnya belaian mereka lebih daripada mencukupi. Anehnya dirinya terasa dipinggirkan. Mak Jah adalah ibu sejati biarpun lahirnya Mia Sakinah bukan dari dalam kandungannya.
“ALLAH... berilah kekuatan untuk aku berdiri di atas paksi-MU. ENGKAU peliharalah kedua ibu bapaku. .
Bukakanlah pintu hati mereka untuk melihat kebenaran. Amin.” Namun kasih Mia Sakinah pada mereka tidak pernah berubah.

BAB 2- MENANTI FAJAR SIDIK

BAB 1-MENANTI FAJAR SIDIK (KLIK)
BAB 2- MENANTI FAJAR SIDIK

MALAM itu Danny tidak ke mana-mana. Lelahnya masih terasa apabila terpaksa menghabiskan masa berjam-jam dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru. Biar pun dia tidak memandu, namun perjalanan yang terlalu jauh itu amat memenatkan.
Danny hanya mahu bersantai sambil menonton tayangan filem Iron Man di TV. Dia be...rbaring di atas hamparan permaidani tebal sambil mengunyah popcorn. Setin minuman keras turut menjadi temannya ketika itu.
Sedang asyik menonton, dia terpandang kelibat Datuk Zahid sedang berjalan. Tidak lama selepas itu, dia melihat Bik Surti berjalan separuh bongkok mengekori langkah tuan besarnya. Dia tersenyum sinis melihat kepatuhan pembantu rumah dari seberang itu. ‘Kalau mama ambil yang lebih muda, kan best. Mama! Mama! Cemburu sangat dengan papa.’ Dia berbisik sambil ketawa dalam hati sehingga membuat sengihannya berpanjangan. “Papa! Nak ke mana tu?” laung Danny dari jauh.
“Tak payah tanyalah, papa dah lambat ni.” Datuk Zahid juga melaung dari balik dinding yang memisahkan ruangan.
‘Macamlah aku tak tau,’ bisik Danny lagi. Dia amat arif dengan sikap papanya yang suka menghabiskan sepertiga daripada malamnya di kelab-kelab malam. ‘Mama pula entah bila nak balik. Bila papa keluar, barulah mama balik. Esok pagi bila papa balik, mama pula keluar. Tak faham aku.’ Tumpuannya pada filem yang ditonton agak terganggu apabila terkenangkan sikap kedua orang tuanya.
“Bik Surti tidur dulu ya, tuan muda.” Bik Surti meminta diri dengan penuh hemah.
“Alah! Nak tidur, tidur ajelah, bik. Tak payahlah minta izin! Boringlah bibik ni!” marah Danny dengan wajah kelat.
“Mana tau tuan muda mahu apa-apa.” Bik Surti tunduk.
“Pergi ajelah, bik! Jangan kacau lagi.”
Kelantangan suara Danny membuat Bik Surti tergesa-gesa pergi dari situ.
“Sibuk betul orang tua ni!” Namun kemarahan Danny masih belum ada kesudahannya. Rasa sakit hati cuba dibuang jauh-jauh. Tidak guna melepaskan beban perasaannya pada seorang pembantu rumah yang tidak tahu apa-apa. Lebih baik dia meneruskan tontonannya. Kalau tidak kerana tubuhnya yang terlalu letih, awal-awal lagi dia sudah menghilangkan diri dari kediaman mewah itu. Lebih baik menghabiskan masa di pub-pub daripada menjadi penunggu mahligai mewah yang jarang sekali berpenghuni.
Sekali lagi tumpuannya terganggu tatkala terdengar bunyi derap sepatu. Dia segera menoleh. Dilihatnya Emily, adik perempuannya sedang berlenggang.
Emily sudah siap berdandan. Wajahnya yang masih remaja menjadi lebih berusia dengan solekan yang menyakitkan mata. Dia tidak menghiraukan Danny yang sedang memandang tepat ke arahnya.
“Hei, perempuan. Nak pergi mana tu?” soal Danny keras.
“Ni Emily, okey! Senang-senang panggil orang macam tu.” Balas Emily dengan rasa marah.
“Ah! Apa-apalah. Emily nak ke mana?” Soal Danny lagi sambil cuba mengalah.
“Baru hari ni nak tanya? Oh! Yalah, baru hari ni orang tu lekat di rumah. Kalau tak dialah yang lesap dulu.” Sindir Emily dengan berani.
“Aku tanya baik-baik ni!” Danny memberi amaran dengan nada suara yang lebih tinggi.
“Biasalah clubbing dengan kawan-kawan. Nak joint ke?” Emily sengaja mahu menyakitkan hati Danny.
“Ingat sikit, awak tu perempuan, jangan berani sangat,” balas Danny separuh mengingatkan.
“Jangan nak lebih-lebih. Mama dan papa tak pernah bising. Apa nak dikisahkan. Malas nak layan. Dahlah nak pergi ni… daaa.” Emily terus berlalu tanpa menoleh lagi.
‘Ahh! Tensionnya hidup macam ni!’ jerit Danny di dalam hati. Tin minuman disambar dengan keras. Namun, tiada rasa puas di hatinya. Dengan minuman itu, dia masih tidak boleh melupakan segala-galanya. Kegusaran berlegar-legar di segenap ruang diri. Harapannya untuk bersantai dan berehat-rehat di rumah hanya sia-sia. Semuanya benar-benar menyakitkan hati.
Seisi rumah tidak sudi menemaninya. Masing-masing dengan hal dan keperluan sendiri. Mengapa harus begini ikatan sebuah keluarga. Tiada simpulan kukuh dan hampir tiada pengertian di antara satu dengan yang lain. “Habis pulak!” gerutunya apabila tin minuman keras di tangannya telah kosong. “Bik Surti! Bik Surti! Bik Surti! Hoi! Bik Surti!” jerit Danny dengan geram.
“Memang nak kena orang tua ni!” Sepantas kilat Danny melompat dari tempatnya berbaring. Sepantas itu juga dia berjalan mencari Bik Surti di bilik pembantu rumah itu. Danny mengetuk daun pintu bertalu-talu. Tiada sahutan. Tiada juga tanda-tanda Bik Surti akan membuka pintu untuknya.
Wajah Danny bagaikan singa lapar. Merah padam dek aliran darah panas yang bersatu dengan minuman keras. Penat mengetuk, Danny me nendang daun pintu dengan kaki kanannya. Amarahnya kian membakar diri. Sabarnya tiada lagi dalam memori.
“Ya, tuan muda.” Hanya beberapa minit kemudian barulah Bik Surti muncul dengan kain telekung masih di tubuhnya.
“Bik Surti pekak ke?” marah Danny. Bibirnya bergetar menahan marah yang membuak-buak.
“Bi... bik solat, tuan muda,”kata Bik Surti dengan suara yang terketar-ketar.
“Buka ni! Buka! Rimas aku tengok!” Dengan kasar, Danny merentap kain telekung sehingga kepala Bik Surti terhantuk ke bucu pintu.
“Ya ALLAH! Jangan tuan muda, sakit tuan muda.” Wajah tua Bik Surti berkerut menahan sakit.
“Pergi sekarang! Ambilkan aku air lagi!” herdik Danny yang merasakan pembantu rumah dari seberang itu tiada sebarang nilai di matanya.
“Tuan muda ambil sendiri, ya. Bik Surti tak boleh. Haram, tuan muda,” jawab Bik Surti dengan takut dan semakin kalut.
“Bik Surti nak kalau aku hantar Bik Surti balik Indon?” gertak Danny dengan matanya dijegilkan.
“Jangan, tuan muda. Bik Surti mau cari wang. Anak Bik Surti sakit kuat di sana,” rayu Bik Surti.
“Kalau tak nak aku hantar balik, pergi ambil!”
“Bik Surti ambil, tuan muda.” Bik Surti berlalu dengan titisan air mata. Hatinya benar-benar sakit. Pedih bagaikan luka dititis cuka. Perit dan getir harus dimamah saban waktu. Dia akur dalam paksa. Syubahah itu menyeksa batinnya. Sayangnya dia tiada pilihan. Hingga akhirnya dia merasakan betapa seksanya hidup menumpang di negara orang. ‘TUHAN... ampunkan aku. Aku tak kuat, TUHAN.’ Titisan air matanya seiring dengan tangisan hatinya.
Di ruang menonton, Danny tidak lagi selesa. Filem di layar LCD 42 inci itu tidak lagi menarik perhatiannya. Dia merenung setiap sudut dan ruang yang begitu sunyi dan sepi. Kediaman yang dilengkapi perabot serba mewah itu dirasakan begitu kosong. Sekosong hati dan perasaannya. Seringkali dia tercari-cari apa yang dirinya telah kehilangan.
“Ini airnya, tuan muda.” Bik Surti datang semula dengan dua tin minuman keras di tangannya. Dengan pantas, dia meletakkan tin itu di atas meja.
Danny mengerling Bik Surti acuh tidak acuh. Pandangan mata itu masih dipenuhi percikan amarah terhadap wanita tua di hadapannya itu.
Bik Surti masih berdiri di situ. Kaku. Tidak berani untuk pergi dan tidak juga mahu menunggu lebih lama lagi. Hatinya meronta. Mengharap agar Danny mengarahkannya segera beredar.
“Apa tunggu lagi, bik?” soal Danny kaku.
“Ya, ya. Bik Surti pergi.” Lantas sebuah keluhan lega dilepaskan. Bik Surti berjalan simpang-perenang. Di hatinya masih dibaluti takut. Bimbang juga andai tuan mudanya masih lagi memerhati gerak-gerinya. Semua itu membuatkan dia jadi serba tidak kena.
‘Jalan macam orang mabuk,’ cemuh Danny. Matanya masih mengekori langkah Bik Surti. Tin minuman di atas meja direnung lama. Tiada juga gerakan tangan untuk mencapainya. Sedang benaknya menerawang jauh. Terlintas di kotak fikirnya, jika ia haram, mengapa papa dan mamanya tidak pernah melarangnya menyentuh minuman itu. Bahkan ia juga menjadi minuman rutin mereka.
Tiba-tiba hatinya menjadi enggan. Kedua tin minuman itu dibiarkan sahaja. Dia terus melayan kembara ingatannya. Dari alam kanak-kanak hinggalah sekarang ini. Masih terlalu sukar untuk menyelami bagaimana perjalanan hidup mereka di mahligai mewah itu. Hidup dalam sebuah keluarga, sayangnya tidak saling kenal. Ikatannya begitu longgar. Walau ketika mereka bersama, namun masih terasa jauh dan asing. ‘Ah! Baik aku tidur.”
Dua tin minuman di atas meja tidak disentuh. Biar nanti Bik Surti yang akan menguruskan semuanya. Langkahnya yang gontai memasuki kamar yang akan membantunya melupai semua perkara, biar pun hanya untuk seketika.

BAB 1- MENANTI FAJAR SIDIK.

BAB 1- MENANTI FAJAR SIDIK.

MIA Sakinah memusing-musingkan tubuhnya di hadapan cermin solek beberapa kali. Entah mengapa, untuk kali ini juga dia masih tidak puas hati. Semua pakaian yang disarungkan ke tubuhnya dirasakan tidak selesa. Sehelai demi sehelai pakaian yang berselerakan di atas katil telah dicuba.
...Setiap kali pakaian itu diganti, setiap kali itu juga dia akan membelek-beleknya semula. Andai cermin solek di hadapannya bisa berkata-kata, tentu ia akan menegur atau mengejeknya. “Alah! Tensionnya!” gerutunya.
Akhirnya dia membiarkan sahaja pakaian-pakaian itu. Dia melirik ke arah almari pakaian di sudut bilik. Hanya ada beberapa helai yang masih tergantung di situ. Dia melihat satu per satu dengan rasa malas. Sebaik-baik ekor matanya terpandang sehelai blaus merah jambu, dia tersenyum senang. Tanpa berlengah lagi, dia mencapai blaus yang masih tergantung itu. ‘Pakai yang ni ajelah,’ bisiknya di dalam hati.
Blaus merah jambu segera disarung sambil ekor matanya mencuri-curi pandang melihat jam di dinding. Terlalu lama dia berada di situ. Sudah tentu Tuan Zaki dan Puan Ruby sedang menunggunya di tingkat bawah. Papa dan mamanya tidak suka andai dia tidak bijak mengatur masa. Semua perkara mesti berlaku dengan cepat dan tepat pada masanya.
Setelah blaus merah jambu tersarung di tubuhnya, dia menggaru-garu kepalanya. Dalam waktu yang singkat dia terpaksa pula memilih kain tudung yang sedondon dengan warna blausnya. Sekali lagi dia membuka daun pintu almari. Beberapa helai kain tudung tergantung dengan rapi. Dia hampa. “Alamak! Tak ada warna pink la,” keluhnya.
Sedang dia berada dalam keadaan buntu, dia terdengar bunyi ketukan di luar pintu. Dengan tergesa-gesa, dia mengambil sehelai kain tudung berwarna biru muda. ‘Ah! Biru pun birulah.’
“Masuk, ma!” ucap Mia Sakinah sambil mengenakan kain tudung. Kedengaran kuakan daun pintu dari luar. Dia membiarkan sahaja kerana sedang asyik melilit kain tudung di atas kepalanya. Kali ini dia merasakan begitu sukar untuk memastikan kain tudungnya dalam keadaan yang kemas. Dia membukanya lalu mencuba sekali lagi.
Ruby mengamat-amati sekujur tubuh anak gadisnya. Kemudian pandangan itu beralih pada longgokan pakaian di atas katil. Dia menjadi kurang senang dengan apa yang sedang dilihatnya. Hatinya menjadi sedikit panas, namun cuba ditahankannya. “Kenapa baju ni yang Mia pakai?” luahnya sambil mengawal emosi.
“Kenapa, ma? Baju ni kan okey,” kata Mia Sakinah selamba. Dia tidak dapat menghidu lagi rasa kurang senang dalam diri mamanya.
“Okey kata kamu? Bila pakai macam ni untuk pergi parti, kamu nampak lebih tua tau,” komen Ruby sambil menarik hujung blaus Mia Sakinah. “Kan mama dah pilih baju-baju yang lebih sesuai. Tu ha, kan cantik-cantik semuanya.” Tambahnya lagi.
“Takkkan Mia nak pakai baju macam tu dengan bertudung,” sahut Mia Sakinah sambil terus membetul-betulkan kain tudungnya.
“Tak payahlah pakai tudung. Mia nampak lebih cantik dengan rambut Mia yang ikal mayang tu,” kata Ruby sambil membetul-betulkan rambutnya yang telah berubah warna.
Gerakan tangan Mia Sakinah terhenti. Dia berdiri tegak, terkaku. Tidak tahu apa yang mahu diucapkan. Juga tidak tahu bagaimana mahu menyatakan kebenaran. Perlahan-lahan, anak matanya menyelusuri sekujur tubuh wanita yang dipanggilnya mama. Mamanya yang sudah menjangkau ke usia pertengahan lima puluhan masih lagi bergaya. Gaun labuh ketatnya menggambarkan dia seorang wanita yang up to date. Rambut yang mulai diintai-intai uban telah pun diwarnakan. “Mama, Mia dah sembilan belas tahun, dah akil baligh. Mia dah wajib bertudung,” balas Mia Sakinah perlahan sambil tertunduk. Harapannya agar hati mamanya tidak terguris.
“Alah! Kamu masih muda! Nanti tua sikit pakailah,” sahut Ruby dengan wajah serius.
“Tak boleh, ma. Ini kewajipan. Semua orang perempuan yang sudah cukup umur mesti bertudung,” terang Mia Sakinah dengan lembut dan berhati-hati.
“Jadi kamu sindir mama? Nak ajar mama?” Ruby meninggikan suaranya.
“Tak, ma. Mia tak ada niat pun. Mia tak berniat nak sakitkan hati mama.” Balas Mia Sakinah tenang.
“Tengok tu! Baju kamu warna pink tapi kain tudung warna biru. Sakit mata mama!” marah Ruby lagi.
Kemarahan mamanya telah pun diduga Mia Sakinah. Dari awal lagi memang mamanya kurang senang dengan keputusannya untuk bertudung. Dia terpaksa menadah cuping telinga mendengar leteran mamanya yang bertali arus. Biarlah apa sahaja yang mahu diperkata dan dileterkan, Dia tidak akan melawan. Mak Jah telah berpesan agar tidak derhaka kepada kedua ibu bapa.
“Bila mama bercakap, tak nak dengar!” Ruby jengkel.
“Mia dengar, ma,” jawab Mia Sakinah perlahan.
“Malulah mama nak bawa kamu macam ni.”
“Ma, Mia tak nak ikutlah.” Mia Sakinah membuat keputusan.
Ruby bercekak pinggang. Jam di tangan dijeling sebentar. Lalu kerlingannya meratah sekujur tubuh Mia Sakinah. Bosan apabila melihat pakaian yang dikenakan oleh anak dara suntinya. Untuk menunggu Mia Sakinah bertukar pakaian dan berdandan sekali lagi, akan memakan masa. Sudah tentu rakan-rakan suaminya telah lama menunggu di pesta ulang tahun perkahwinan Datuk Khalid dan isterinya. “Suka hati kamulah tapi tak ada makanan di rumah kita malam ni. Mak Jah kurang sihat hari ni.”
“Tak apalah, ma. Mia makan roti saja nanti,” sahut Mia Sakinah dengan dada lapang. Hatinya begitu senang kerana tidak perlu membuat sesuatu yang tidak disukainya. Lebih elok dia duduk di rumah bersama Mak Jah. Sekurang-kurangnya, bolehlah dia belajar sesuatu dari pembantu rumah yang telah di anggapnya seperti ibu sendiri itu. Setiap kali kedua orang tuanya tiada di rumah, Mak Jahlah menjadi pengubat sepinya.
Sebaik sahaja mamanya melangkah keluar, senyuman di ulas bibir Mia Sakinah pun mengembang. Dia menanggalkan semula kain tudung biru mudanya. Blaus merah jambunya juga diganti dengan sehelai pijama berwarna suram. Selepas itu, dia mengutip semua pakaian yang bersepah di atas katil.
“Kenapa Mia tak ikut mama?”
Suara dari arah muka pintu membuat Mia Sakinah agak tersentak.
“Ya ALLAH! Umi! Terkejut Mia,” ujar Mia Sakinah sambil mengusap-usap dada.
“Ya tak ya juga. Lupa pula umi nak beri salam.”
“Umi jangan buat selalu tau. Nasib baik Mia tak sakit jantung,” pinta Mia Sakinah dengan manja.
“Beri pada umi baju-baju tu, biar umi tolong gantung.”
“Tak payahlah umi. Ni senang aje, pejam mata pun Mia boleh buat.” Lalu Miah Sakinah menggantung pakaian-pakaian sambil ketawa kecil.
Tanpa di pinta, Mak Jah telah pun duduk di birai katil. Dia memerhati segala gerak-geri Mia Sakinah dengan rasa bangga. Dari sebesar dua tapak tangan, Mia Sakinah diasuh seperti anaknya sendiri. Kesibukan dan sikap sambil lewa Ruby membuatkan hubungannya dan Mia Sakinah menjadi terlalu dekat.
“Kenapa tak ikut mama?” soalan Mak Jah diulang sekali lagi.
“Mia tak suka. Lebih baik duduk dengan umi di rumah. Mama kata umi tak masak, ya?” Mia Sakinah turut duduk di birai katil.
“Tengah hari tadi umi tak masak. Malam ni umi akan masak khas untuk Mia,” ujar Mak Jah sambil menarik hidung Mia Sakinah.
“Perut Mia ni masih kenyang. Kita borak-borak lagi best,” pinta Mia Sakinah sambil melentokkan kepalanya pada bahu Mak Jah.
“Umi, apa yang Mia buat ni tak betul ke?” soal Mia Sakinah setelah diam seketika.
“Apa yang Mia cakap ni? Umi tak fahamlah.”
Mia Sakinah menarik perlahan tangan Mak Jah. Dia bermain-main dengan jari-jemari yang telah dibaluti oleh kulit yang mula berkedut. Hatinya begitu senang setiap kali dapat bermanja-manja dengan orang tua yang tiada pertalian darah dengannya. Dalam diri Mak Jah, tersemat kasih sayang yang melimpah ruah. Dari raut wajah tuanya, terpamer perhatian yang besar buat Mia Sakinah.
“Mama selalu tak puas hati dengan Mia. Sejak Mia bertudung ni, ada-ada aje yang tak kena pada mata mama. Kadang-kadang Mia rasa kecewa sebab sepatutnya mama yang didik Mia. Mama pun harus berubah,” kata Mia Sakinah dengan nada hampa.
“Mia dengar sini. Setiap kali apabila kita mahu mencari kebaikan dan kebenaran, akan ada seribu halangan di depan kita. Memang kadangkala halangan itu datangnya dari orang yang paling hampir dengan kita. Itu semua ujian. Kalau Mia rasa apa yang Mia buat adalah betul, teruskan saja,” nasihat Mak Jah sambil mengusap pipi gebu Mia Sakinah.
“Kalau Mia membantah mama, bukan derhaka ke, umi?”
“Apa yang Mia lakukan adalah suruhan ALLAH. Itu adalah hukum yang tak boleh dinafikan. Semua hamba-NYA dituntut untuk melakukan yang wajib. Tiada istilah derhaka untuk Mia. Cuma yang umi nak, jangan sekali-kali Mia bersikap kasar dengan mama,” nasihat Mak Jah lagi.
“Mia selalu beralah dengan mama. Tapi Mia sedih, mama langsung tak faham diri Mia. Papa pun sama. Cukup makan pakai Mia dah memadai buat mereka. Umi tau tak? Kadang-kadang Mia berfikir, kenapalah Mia tak dilahirkan dari perut umi,” keluh Mia Sakinah.
“Shyy... jangan cakap macam tu, Mia. Apa yang ALLAH dah tentukan adalah yang terbaik buat hamba-NYA. Di situ ada rahsia yang tersembunyi. Di situ juga adanya hikmah yang mana kita sebagai manusia sukar untuk memahaminya,” pujuk Mak Jah yang amat mengerti hati dan perasaan seorang gadis yang mula mencari jalan kebenaran.
Mia Sakinah mendengar nasihat Mak Jah dengan hati terbuka. Setiap tutur kata Mak Jah, adalah kata-kata hikmat. Acapkali apabila mendengar nasihat dan tunjuk ajar Mak Jah, hatinya menjadi lapang. Jiwanya begitu tenang dan dia dapat merasakan dirinya lebih selamat apabila berada di sisi pengasuhnya itu.
Dia menarik sebiji bantal lalu memeluknya dengan erat. Sinar matanya yang redup merenung tepat ke wajah Mak Jah. Dia mahu malam itu berlalu dengan perkara-perkara yang menyenangkan. Semenjak dia menyambung pelajarannya, sukar sekali mahu meluangkan masa bersama Mak Jah. Dia merindui masa-masa lalu tatkala setiap detik dan waktu Mak Jah sentiasa di sisi menemaninya. Sayangnya, masa kanak-kanak itu sudah lama ditinggalkan. Kini hanya pada waktu-waktu tertentu, dia dapat bermanja dengan orang tua yang begitu disayanginya itu.
“Kenapa pandang umi macam tu?” soal Mak Jah sambil tersenyum.
“Umi baik.”
“Miah pun anak yang baik,” puji Mak Jah pula.

Friday, April 8, 2011

SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN MUHAMMAD SAW
PARA ISTERI, KAUM KELUARGA DAN SAHABAT HANDAI SEMUA

Alhamdulillah bersyukur kepada ALLAH SWT yang telah memberi kekuatan untuk Raihan Zaffya terus berkarya. Walau dengan susah payah dan berbagai dugaan terpaksa di lalui, akhirnya terlahirlah juga karya terbaru Raihan Zaffya yang berjudul MENANTI FAJAR SIDIK. Harapan tinggi Raihan Zaffya agar MFS akan mendapat sambutan hangat seperti novel sebelum ini, KASIH KE SYURGA. Semoga ia juga akan turut diulang cetak seperti KKS juga.

SINOPSIS

Mia Sakinah, tidak pernah menduga yang kegadisannya diragut ketika umurnya mencapai 19 tahun. Biarpun enggan, musibah yang datang terpaksa diterima. Ketentuan TUHAN memang tidak pernah terduga. Kehidupan biarpun pahit masih perlu diteruskan

Danny – Dia tercari-cari ‘jalan pulang’. Dia dihantui dosa-dosa lalunya. Kekotoran dalam diri harus dibersihkan. Dia memulakan kembara menjejak sekeping hati yang telah dilukai. Niatnya hanya satu, mahu memohon kemaafan. Dia juga mahu mengubah rasa benci menjadi sayang. Dia ingin mengembalikan harga diri yang telah tercalar. Dia juga rela melakukan apa sahaja agar niat baiknya terlaksana.
Dapatkah niat Mia Sakinah dan Danny bersatu. MENANTI FAJAR SIDIK jawapan kepada segala-galanya. Dapatkan di pasaran sekarang.

                                                                MY NEWBORN BABY
 
Copyright suara hati... 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .