Followers

There was an error in this gadget

Saturday, November 27, 2010

SUNDAY YANG BIASA-BIASA

ASSALAMUALAIKUM kepada Malaikat penjaga rumah kecilku..Mudah2an..
 
 
Hari ini sekali lagi tergerak hati untuk berkunjung ke rumah kedua ini. Rumah kecil yang pada pandangan mataku sudah cukup comel. Hehe..al maklumlah siapa lagi nak memuji kalau bukan diri sendiri. Yang pasti setiap kali aku sendiri, rumah kecil inilah yang aku cari. Rumah yang baru aku bina tidak sampai sebulan rasanya. Emm, apa sajalah yang akan aku tulis kali ini. Idea? Idea? Idea?.......????????????....Haaa, yeeeeess!!!......
 
 
Tika pagi matamu yang kelat terbuka
Lalu kau jenguk ke luar jendela 
Bersama kuapan yang mungkin tidur malammu tidak kecukupan 
Tubuh separuh segar kau regangkan
Saat itu jua semilir angin mulai menyapa
Mengusap dan membelai-belai seluruh wajah lesumu
Mahu menyegarkan jiwamu yang acap resah
Sayang sekali tiada ucapan syukur yang terluah
Hakikatnya kau jadi marah
Seimilir angin itu membuat tubuhmu dingin
Katamu, ah! bagaimana mahu mandi
Bukankah lebih baik ada sedikit panas
 Agar tidak terganggu rutinmu
Usai berkata, kau tutup jendela
Agar semilir angin malu mahu mengintai
Kemudian tidak pula kau terus membersihkan diri
Seperti mahumu awal-awal tadi
Kau ke meja sarapan dengan perut mulai berkeroncong
Huuuh, keluh-kesahmu kedengaran lagi
Bosan sungguh! ummi hanya menghidangkan roti
Mana nasi goreng yang kau gemari???
Dengan berat hati kau labuhkan punggung
Mencubit hujung roti tanpa hati
Sudahnya roti kau tolak ke tepi
Tidak mengapa menahan lapar untuk pagi itu
Kalau kau redha tidak mengapa
Sayang sekali menyumpah seranah dalam hati
 Apa saja yang ummi lakukan pagi-pagi hari??
Sarapan yang ummi sediakan membuat seleramu mati
Wajah yang kusut bertambah kecut
Lalu kau ke bilik ummi
Mahu meluah marah dan tidak puashati
Pintu bilik ummi kau kuak
Ummi tidak sedar kehadiranmu yang bagai pencuri
Apa ummi lakukan kali ini??
Dah agak dah! patutlah sarapan hanya ala kadar
Kau lihat bagai biasa, ummi di atas sejadah
Solat dhuha lewat jam delapan
Tertib dan lembut sekali pergerakkan ummi
Tapi mengapa kau begitu resah
Seringkali kau tidak selesa melihat ummi bersolah
Sudah puas juga ummi mahu kamu turut melakukan
Setiap kali itu juga kau beralasan
Katamu, esok masih ada dan hidup hanya sekali
Sudah tua nanti barulah mengubah diri
Setiap kali itu juga tetes air mata ummi jatuh
Berderai satu-satu membasahi pipi
Ummi tidak jemu-jemu berdoa saban waktu
Mahu melihat putri tunggal menjadi insan
Sedih sekali kau tidak pernah mengerti
Yang pasti kini kau sedang berkira-kira
Mahu melampias marah dan sakit hati
Soal ummi yang sedang solah tolak saja ke tepi
Asal hati dan nafsu mudamu kau penuhi
Ummi!!..Jerkahmu sebelum usai solah ummi
Ummi terus sahaja tenang melakukan
Sehinggalah diucapkan dua salam pengakhiran
Apa yang ummi hidang pagi ini??
Kembang tekak ni ummi!!
Ummi tetap diam kerna doa belum dipanjatkan
Dengan perlahan tangan ummi tadahkan
Kumat-kamit bibir dua ulas bibir ummi
Ummi!! tak dengarkah?? Ummi pekakkah??
Ummi memang selalu buat sakit hati
Kenapalah mesti jadi anak ummi??
Bukankah bagus kalau bukan lahir dari perut ummi??
Melihat doa ummi yang tenang, kau bagai kerasukan
Omelanmu sedikitpun tidak ummi layan
Hinggalah syaitan mulai bersarang ke dadamu
Ummiiiiii!!! Siaaallll!!! dengar taaaakkk???
Ummi tetap menyudah munajat padaNya
Memang siaall!! siaaa....
Kasihan! tiba-tiba mulutmu terkunci
Tubuhmu kaku dan rebah ke hujung kaki ummi
Tiada suara lagi yang bisa kau laungkan
Tiada caci-maki untuk ummi mampu kau beri
Berbalam-balam kau lihat ummi mengucup dahimu
Membisikkan kalimah suci ke cupingmu
Juga ummi berbisik lembut dan lemah
Ya Allah! Ampunkanlah segala dosa-dosanya
Telah kuhalalkan tetes peluh dan air susu kuberi buatnya
Andai ini kesudahannya, aku redha ya Allah!
Kau ambillah dia andai ini sudah takdirnya
Kau bisa lagi mendengar segalanya
Biar hanya sayup dan kian menjauh
Sedang rintih hatimu, mohon agar diberi ruang
Mahu peluang untuk hidup sekali lagi
Mahu memperbaiki diri dan menjadi anak soleh
Mahu berbakti dan menyayangi ummi
Kau merayu padaNya dengan segenap hati
Namun takdir itu penentu segalanya
Akhirnya wajah ummi kian kelam dan gelap
Yang tinggal buatmu hanya sekujur tubuh yang kaku
Membawa kesalan yang tidak tertebus
Namun ummi telah mengampun derhakamu
Ummi merelakan dan memberi halal segalanya
Selebihnya di antara kau dan Tuhanmu
Selebihnya di antara kau dan solahmu
Selebihnya di antara kau dan amal baikmu
Janganlah ada di antara kita menjadi anak derhaka..Nauzubillah..
Sama-samalah kita jadikan ia sebagai satu renungan bersama...
RAIHAN ZAFFYA

Monday, November 22, 2010

DATANG LAGI..

YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM
ASSALAMUALAIKUM

Entah sudah berapa ribu hari aku bernafas di maya ini
Yang pasti hari ini juga aku masih mengecap nikmatMU
Syukur ya Allah di atas pemberianMU yang tak terhingga
Tiada lisan yang dapat menggambarkan besarnya kasih KAU limpahkan
Tiada lakaran yang mampu untukku ceritakan dalamnya pengertian
Ampunkan aku ya ALLAH andai sering saja tergelincir
Sesungguhnya landasan yang kulalui dipenuhi ranjau berduri
Lalu aku sering tertewas dalam perjalanan yang panjang
Terkadang aku keliru, tercari-cari dan kurang mengerti


Ampunkan juga ya ALLAH andai sering saja aku berkeluh-kesah
Selalu sahaja mahu yang sempurna sedang aku amat kekurangan
Berilah aku ruang dan masa untukku terus berlari
Kerana tika ini langkah masih terus saja tersandung
Bukan aku tiada usaha hanya saja masih kurang upaya
Ku sedar juga masa yang ada begitu singkat
Sedang begitu banyak kebocoran belum bisa kutampal
Hanya munajat padaMU agar usia diperpanjangkan


Sesungguhnya hanya ENGKAU Maha Mengerti
Apa yang terzahir dan tersembunyi
Lalu aku pasrah dalam mengabdi diri
Walau aku tak mampu mahu mengukir janji
Namun aku tahu ENGKAU amat mengerti isi hatiku
Seumur hidup aku hanya mahu mencintaiMU
Sehingga aku tidak tahu mahu meluah cinta
Buat makhlukmu bernama manusia
Belum sekali dalam helaan nafasku
Meluah cinta pada mereka
Untuk mereka hanya sayang yang aku punya


KASIH! sungguh mata ini sering basah
Tika kurasakan diri semakin jauh
Alpa sering menemani tidur dan jagaku
Khayal dan mimpi indah pada dunia
Hingga akan tibalah masa aku tersentak
Berdetak hebat jantungku, rawan dan pilu hatiku
Perlahan-lahan aku gagahkan ke awal pencarian
Biar acapkali aku begitu, masih kuharap keampunanMU
Masih saja aku mahu menjadi kecintaanMU


Pada tika-tikanya aku bagai hilang upaya
Tertanya-tanya pada diri
Mampukah aku menjadi kekasih awal akhirMU
Mampukah aku menatap sinar wajahMU
Mampukah aku? Mampukah aku KASIH?
Lalu kolam mata ini berkaca kembali
Terasa betapa kerdil dan kurangnya diri
Juga tertanya-tanya lagi
Mampukah aku mendapat syafaat kekasihMU
Mampukah aku menjadi umat MUHAMMAD yang disayangi
Hingga akhirnya semua itu 
Membuat tubuhku gigil dan gentar
Terasa longlai menjalar di sekujur tubuh


Lantas ENGKAU sering saja menjentik aku
Mengejutkan aku dari ketiduran
Perlahan-lahan KAU semai kembali
Cintaku yang hampir layu tidak berbaja
Oh! betapa malunya aku pada diri
Malu juga padaMU KEKASIH
ENGKAU sering saja mahu menghulur tangan
Tika kuhampir tenggelam dan kelemasan
Masihkah aku tidak bisa mengerti?
Betapa besarnya cintaMU padaku yang kerdil ini
Hanya aku saja yang sering terlupa
Aku adalah milikmu sudah pasti 
Aku adalah amanah ke atas diriku sendiri
Yang kelak akan dipertanggungjawab dan dipersoalkan


Aku mahu merafak sembah padaMU KASIH
Kau peganglah tali-tali di hatiku
Jangan biar terputus dan terlerai
Kuserahkan diri dan pengabdian hanya padaMU
Bantulah aku! belailah hatiku! kucuplah semangatku
Agar aku tidak bisa jauh meninggalkanMU
Andai aku terkhilaf lagi, tariklah aku kembali
Jangan kau biarku berlama-lama menyelam dosa
Kupinta lagi padaMU KASIH
Segeralah kau tarik kembali tanganku
Andai saja aku mahu tenggelam
Biar untuk seribu kali banyaknya 
Kerana yang pasti aku hanyalah 
HambaMU yang begitu lemah dan sering tertewas


Wassalam


RAIHAN ZAFFYA



 

APA ITU SAYANG????..

ASSALAMUALAIKUM....
SEGALA PUJI BAGI ALLAH SERU SEKELIAN ALAM
SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN MUHAMMAD SA.W

SAYANG??????..

APA ITU SAYANG??????. 
Aku sendiri tidak pasti. Terlalu sukar untuk menafsir akan persoalan hati. Ia begitu halus dan amat payah untuk diselami. Ia juga adalah anugerah Allah yang telah disusun atur dengan begitu indah untuk setiap hambanya. Dalam sedar atau tidak, semua itu tidak kita pinta bagaimana keadaannya. Ada hati-hati yang memiliki sayang yang hanya senipis kulit bawang. Ada hati-hati yang dianugerahkan perasaan sayang yang melimpah ruah. Terkadang hampir tidak tahu mahu dikongsi untuk siapa. Limpahan sayang itulah yang menjadi saudara kepada simpati, belas dan kasih yang tulus. Tidak mengharap imbalan atau pujian. Hanya keredhaan Allah yang diimpikan.

BAHAGIAKAH ORANG YANG PUNYA LIMPAHAN SAYANG??????..
Hehe..aku semakin tidak pasti. Dari satu sudut mungkin sahaja bahagia. Bahagia kerana selalu menyayangi, bersimpati dan mengasihi. Segalanya adalah anugerah yang termahal dan terindah dari Allah. Orang yang penyayang sudah semestinya memiliki jiwa yang sungguh halus. Mudah terusik dengan kesusahan atau kesedihan orang lain. Andai mampu ingin membantu semua yang memerlukan perhatian. Hingga terkadang hampir sahaja terlupa akan kepentingan diri sendiri. Pada mereka, dapat membahagiakan orang lain adalah satu kepuasan yang tidak terhingga. Di sudut yang lain pula, ada masanya mereka ini juga perlukan perhatian daripada orang lain. Juga mahu disayangi dan difahami. Memadailah andai hanya bertanya khabar atau mengambil tahu serba sedikit tentang diri mereka.

ADAKAH MENAKUTKAN??????..
Mungkin! ya mungkin! aku begitu pasti jawapannya adalah mungkin. Pihak yang lain mungkin agak takut dengan 'sayang' yang begitu banyak dari mereka. Mungkin sahaja akan ada yang tersalah sangka atau salah penerimaan. Anggapan yang negatif seperti itu barangkali terjadi kerana ada yang tidak faham bahawa mereka yang penyayang hanya menyalurkan apa yang Allah beri untuk di kongsi bersama-sama. Jika sayang yang begitu banyak tidak dikongsi, ia hanya akan menimbulkan resah di hati dan hidup seperti dalam kekurangan.

ADAKAH YANG MENERIMA JUGA IKHLAS??????

Huuuh, susah juga mahu memberi jawapan yang tepat. Kita tidak bijak untuk membaca hati orang lain. Mungkin ya mungkin tidak. Mungkin akan ada pihak yang mengambil kesempatan. Kadang kala ada yang melihat penyayang itu sebagai satu kelemahan. Pihak lain akan menjadikannya sebagai salah satu cara untuk mendapatkan sesuatu. Apabila hajat sudah kesampaian, mereka akan ditinggalkan. Ketika ini hati akan jadi terlalu sedih, kecewa dan tertekan. Terasa bagai tidak mahu menyayangi sesiapa lagi. Sayangnya, percayalah! perasaan itu tidak akan lama. Setelah lega, mereka akan terus mahu menyayangi dan menyayangi tanpa henti. Yang pasti memang Allah mahukan mereka begitu. Yang pasti sayang itu telah menjadi sebahagian diri mereka. 

SIAPA AKU??????..

Huhu..mungkin aku salah seorang dari mereka. Ingin selalu menyayangi dan yang pasti mahu juga disayangi. Entahlah! Sukar sekali mahu menceritakan bagaimana banyaknya sayang yang ada dalam diri. Hanya yang pasti, aku amat bersyukur kepadaNYA. Kerana dengan sayang yang melimpah ruah, aku menjadi seorang pemaaf. Juga bukan pendendam. Ramai orang bertanya, mampukah andai orang yang beri tahi, kita balas dengan beri bunga. InsyaAllah setakat ini aku mampu berbuat begitu. Bukan riak atau takabur tetapi itu anugerah yang Allah beri. Biar perit dan sakit mahu memberi bunga kepada yang telah memberi tahi namun apabila dapat melakukan, aku berasa bahagia. Penuh kepuasan. Biarpun selalu dipersalahkan lantaran terlalu lembut hati namun aku tidak mampu menangkis pemberian Allah. Allah mahu aku begitu. Allah telah mengatur hatiku begitu. 

Tidak ada niat mahu menunjuk-nunjuk namun ia hanya sekadar luahan hati sendiri. Ada tikanya orang yang diberi limpahan sayang juga perlu memuntahkan isi hati agar tidak terlalu sesak dan padat sehingga diri kurang selesa. Hanya di blog yang serba kekurangan ini tempat aku bisa meluahkan. Di blog yang bisu ini juga bakal menjadi rakan akrabku selagi aku mampu meluah apa bersarang di hati.

Wassalam
********RAIHAN ZAFFYA********



 

Saturday, November 20, 2010

50 KOLEKSI KATA-KATA RAIHAN ZAFFYA

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG
SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN MUHAMMAD S.A.W


Di sini adalah koleksi kata-kata Raihan Zaffya yang pernah diterbitkan di fb Raihan Zaffya. Ia adalah pemikiran insan kerdil yang masih dangkal ilmu. Kalau sudi, sama-samalah kita jadikan sebagai satu renungan.

 1- Andai lidah api yang menjulang itu bisa bicara, ia masih tidak dapat menandingi kejahatan lidah manusia.

2- Pabila hati telah retak, walau dicantum semula mungkin sahaja tidak akan kembali ke asalnya.

3- Manusia itu bukanlah malaikat yang bersih dari noda dan dosa. Juga bukanlah syaitan yang di penuhi kejahatan. Ia di tengah-tengah kebaikan dan keburukan. Selagi bernama manusia, ia tetap tidak bisa sempurna.

4- Dalam hidup hanya ada dua pilihan, buruk atau baik. Tidak akan pernah ada pilihan ketiga atau keempat. Jangan tersilap bila memilih dan jangan ada sesal di hujungnya.

5-Tika kau mula menguak pintu kehidupan, maka bersedialah untuk melakar rentetan warna-warna di atas kanvasnya. Satu pintu yang telah ditinggalkan bernama sejarah dan satu pintu di hadapan kau akan mulai terus melangkah. Sehinggalah pintu demi pintu akan membawamu ke pintu yang terakhir. Maka di situlah berakhirnya pintu kehidupan.

6- Berbuatlah sesuatu dengan perhitungan akal kerana hanya akal yang jernih akan menunduk kan nafsu.

7- Allah itu menjadikan manusia tidak terlalu sempurna kerana yang sempurna adalah miliknya.

8- Sayangi seseorang dengan setulusnya hati. Selami perasaannya, terima dia seadanya. Selalu bersama ketika duka dan gembira. Ambil tahu apa yang sedang dirasainya. Waktu sihat atau sakit peningnya. Bila telah melakukan segalanya, sayang itu akan ada manisnya.

9- Perkara yang hampir kepada manusia adalah maut. Benda yang paling tajam adalah lidah manusia. Paling mudah dikumpul dalam hidup adalah dosa. Pergunakanlah lidahmu sebaik-baik nya untuk menghindari dosa sebelum maut menjemput.

10- Pergantungan sesama manusia terlalu sempit batasnya. Sedangkan pergantungan kepadaNYA kita tidak akan ditinggalkan walau sesingkat kerdipan mata.
11-Umpama mata kail tersangkut di dada, sakit mahu direnggut sakit juga andai dibiar sahaja.

12- Janganlah kamu membaja lalang yang menghijau dengan mematikan tanaman padi.
13- Ketika sabar itu berada di dua lambungmu, kamu mula mengenal diri. Ketika sabar itu telah berada di akalmu, mudah-mudahan Allah akan menaikkan satu darjat buatmu.

14- Seketika rindu kepada Allah adalah jauh lebih berharga dari seisi dunia ini.
15- Sewaktu merahmu sebesar telapak tangan, malam siang ibu dodoikan. lampin ibu tukarkan, susu ibu berikan. Sakit ibu kewalahan, nyamuk menggigit ibu halaukan. Sesudah dewasa ibu kau lupakan. Tinggal jauh tiada perkhabaran. Wang ringgit tidak kau hulurkan. Akhirnya tenggelam ibu dari ingatan. Jangan begitu kawan! Aku bimbang nanti kau tidak dapat melihat keranda ibu mu jiran-jiran usungkan.

16- Teman! Usah bersedih andai ada yang tidak ingin bersahabat denganmu. Sesungguhnya Allah telah menetapkan setiap orang itu dengan kumpulan-kumpulannya. Allah akan mengikat hati- hati manusia menurut zon-zon yang telah ditetapkan. Di kumpulan mana kamu berada itu adalah yang terbaik buatmu.

17- Tika engkau terlalu merindui mati, engkau telah begitu hampir pada Tuhanmu.
18- Putri! kau renunglah ke mata tua ibumu yang tidak bersinar lagi. Nanti kau akan mengerti berapa banyak peluh dan susu yang telah ibu teteskan untukmu.

19- Tidak mudah untuk menilai di hati biarpun sesuatu itu sudah jelas di mata.
20- Biarlah sepi itu berlalu pergi dari hatimu dan undanglah bahagia mengisi ruang-ruang kosong itu.

21- Cinta itu bukan paksaan. Lahir dari dua perasaan. Datangnya tidak diundang, perginya tiada siapa merelakan.
22- Taubat itu adalah kunci istiqomah bagi orang-orang yang soleh.

23- Takutilah kamu akan syaitan yang terdiri dari kalangan manusia.
24- Terima kasih Tuhan yang telah membuat aku terlalu banyak kehilangan. Sehingga akhirnya aku semakin meyintaiMU kerana aku telah faham akan maksudMU berbuat begitu.

25- Aku lebih berasa aman dengan musuh yang berakal dan berasa takut kepada sahabat yang gila. Akal adalah seni dan aku mengetahui jalan menyelaminya sementara kegilaan begitu sukar dijangka arahnya.

26- Dalam hidup kita perlu bersedia untuk kehilangan. Sama ada kita akan ditinggalkan atau kita terpaksa meninggalkan sesuatu yang kita sayang. Kerana sebesar mana pun sayang kita terhadap sesuatu ia tetap bukan milik kita.
27- Hati yang cacat begitu sukar mahu dibaik pulih. Namun dengan kemahuan ia masih boleh terjadi biarpun terpaksa mengambil masa yang begitu lama.

28- Amat sukar mahu menjadi insan yang berhati mulia namun amat bahagia tika dapat memiliki nya.
29- Budi baik sering tidak kelihatan biar melimpah seluas lautan. Keburukan juga jelas pada peng lihatan biar hanya sekuman melayang ke bumi.

30- Andai sesuatu itu milik kita, sayangi ia sepenuh hati. Seandainya ia bukan hak kita, biarkan sahaja ia pergi. Bila kita melakukan dengan ketulusan, tiada siapa yang akan rugi dan sakit hati.
31- Perempuan hanya dengan satu akal dan sembilan nafsu. Oleh itu kerah akalmu, pacu minda mu agar satu akal itu boleh menundukkan sembilan nafsu.

32- Kejahatan itu sedang mengintai-intai untuk mengusir sedikit kebaikan yang menghuni di dalam hati. Semailah kebaikan yang sedikit cuma agar bercambah menjadi benteng diri.
33- Apa yang terjadi saban hari adalah pelajaran buat kita. Ia percuma dan akan rugi orang yang tidak tahu menghargainya.

34- Apabila mata berkata-kata sebenarnya ia sedang membohongi hati. Ketika hati berkata-kata ia sedang membohongi akal. Sesungguhnya akal yang dibelai akan mampu menguasai mata dan hati.
35- Orang yang bijaksana akan berkata-kata dengan berhemah. Orang yang dungu hanya akan berkata-kata dengan nafsu amarah.

36- Biar sahaja menjadi yang satu di antara seribu andai yang satu itu jauh lebih baik dari yang seribu.
37- Ketika kebaikan telah menjadi seringan buih lautan dan kejahatan telah mulai menguasai nafsu dan hati, tika itu kita bukan lagi seorang insan.

38- Lontarkan sahaja kerikil di hati kerna jika disimpan ia akan sakit dan memedihkan.
39- Semalam tidurku di rahim ibu. Hari ini lelapku di kamar yang mewah. Semoga 'esok lusa' lenaku di daerah paling indah.

40- Mengalah jadi berhemah bila diletakkan pada tempatnya. Berjuang jauh lebih mulia daripada berdiam diri kerna bila kita terus berdiam diri, perlahan-lahan keyakinan diri akan mati.

41- Hari ini alam sedang bersedih. Mengalirkan air mata bertali arus tanpa henti. Sekujur tubuh ku begitu dingin di bawah langit putih.Apakah hingga esok hari alam masih begitu. Menangis dan menangis dengan resah yang tiada siapa pun tahu.

42- Kehidupan seperti satu transit antara pelabuhan ke pelabuhan dan dari satu pintu ke satu pintu.

43- Seseorang yang tidak suka pada orang yang baik adalah kerana hatinya telah kotor.

44- Maafkan aku andai telah tersesat jalan. Jangan kau hanya pandai menghukum dengan caci nista dan umpat cela. Sedangkan aku hanya manusia biasa yang terkadang tersilap langkah dan tewas di lorong-lorong hidup yang terlalu rumit dan perit.

45- Ingin sekali aku berdiri di pusar bumi. Mahu mengkhabar pada dunia. Jangan kamu sakiti hati bumi menjadi puing-puing berserakan. Jangan kau robek jantungnya menjadi pecahan bernanah. Jangan kau lukai jiwanya menjadi serpihan kecil berterbangan. Ketahuilah bumi juga punya rasa. Bumi juga punya marah. Suatu ketika sabarnya kan lenyap dan menghilang.

46- Mengharaplah pada yang Abadi, pemilik jiwa dan hati. Penawar luka pengubat segala rasa. Syukron ya Allah.

47- Kehidupan hanya sesingkat batas waktu. Pabila tiba masa ia akan ditinggalkan.

48- Di antara dosa dan pahala tiada dinding yang menjarakkan. Di antara hidup dan mati adalah senipis tabir yang memisahkan.

49- Bila Allah menarik kembali sesuatu nikmat, syukuri sahaja. Ada sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya.

50- Mengapa harus ada benci di hati andai diri sendiri tidak mahu disakiti. Mengapa ada dendam yang dipendam sedangkan ia hanya memakan diri. Mengapa ada sayang yang tidak dizahirkan sedangkan ia membahagiakan apabila dikongsi. Mengapa ada kasih yang tidak dilafazkan sedang kan ia akan bisa membuat kita saling mengerti.



**************RAIHAN ZAFFYA**************  

CORETAN PENAKU

AKU DAN WARNA DUNIA

DI SINAR MATA INI
TELAH LELAH MEMAMAH
GOLEK GELENTANG PENTAS DUNIA
SENYUM SUMBING SANG PELAKAR
MELAKAR HITAM YANG KELAM


DI CUPING INI
BISA MENDENGAR MERGAS BERBISIK
SALING BERKICAU BERCERITA
DI SANA ADA BUMI SEDANG BAH
MENJADI LAUTAN
ADA GUNUNG SEDANG MARAH
MELAHAR MUNTAHAN MERAH
ADA DAERAH YANG MASIH BERDARAH
BERSAMA TUBUH BERGELIMPANGAN

DI HATI KECIL INI
MELEGAR DI SEGENAP RUANG
YANG TERKADANG BERLARI SENDIRI
MAHU MERENTAS SEMALAM
DAN MENGUBAH LAKAR WARNA
MENJADI CORETAN KANVAS YANG INDAH

SAYANG SANG HELANG YANG TERBANG
MERENGGUT DAGING HATI
MEMBAWA PERGI JAUH
SELAYANG PANDANG
LALU DIRI MASIH DI SINI
MEMANDANG DALAM SEPI
MENDENGAR LEWAT ANGIN YANG LALU
SEDANG AKU HANYA MAMPU
MERASA TANPA HATI

******RAIHAN ZAFFYA******

Wednesday, November 10, 2010

SOAL HATI

ASSALAMUALAIKUM:

DENGAN NAMA ALLAH, TUHAN MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG:
Segala puji bagi Tuhan seru sekalian alam. Selawat dah salam kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW, penutup segala Nabi dan Rasul:

Suara hati adalah halaman blog seorang orang awam. Yang masih dangkal ilmu dan pengetahuan. Apa yang mahu diperkatakan juga adalah perkataan-perkataan dari pemikiran seorang orang awam. Walau siapa pun kita, sudah tentu kita mempunyai satu tanggungjawab untuk saling menyampaikan kebaikan. Biar pun hanya sedikit yang mahu dikongsi, ia masih perlu juga dilakukan. Sampaikanlah kebaikan itu walau hanya dengan sebaris ayat.

Dalam era yang terkini, terlalu ramai dari kita yang tidak lagi memikirkan tentang soal hati. Hati adalah satu fungsi terpenting dalam tubuh setiap manusia. Baik hati seseorang itu, maka akan baiklah seluruh tubuhnya. Sebaliknya andai rosak hati, maka rosaklah perjalanan seluruh tubuhnya. Hati adalah ketua yang menggerakkan atau menjana sifat-sifat baik atau buruk dalam diri setiap manusia. Lalu sudahkah kita melihat jauh ke dalam hati kita. Menerobos hingga ke dasarnya. Merenung diri sendiri, hati yang sebagaimanakah yang menjadi milik kita. Sudah terasuhkah hati-hati kita agar selalu tunduk tawaduk kepada ALLAH Maha Pencipta.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai anugerah yang sangat banyak pada hari-hari dalam kehidupanmu. Oleh itu berusahalah untuk mendapatnya."

ALLAH telah memberi anugerah hati kepada setiap manusia. Maka asuh dan didiklah seketul daging yang bernama hati. Sucikanlah ia. Sentiasalah mensucikan hati sehingga akan kelihatan cahaya yang memantul ke wajah setiap dari kita. Kerana sesungguhnya cahaya di wajah adalah pantulan daripada cerminan di hati.

Ramai juga dari kita memiliki hati yang tidak tenang. Kacau dan bergolak. Maka marilah kita sama-sama memikirkan mengapa terjadinya begitu. Mungkin sahaja ia terjadi kerana:

1. Mungkin sahaja kita sendiri tidak memahami apa yang kita cari. Apa yang diri kita mahu.

Kita tidak tahu untuk apa kita dihidupkan. Malangnya kita tidak juga pernah mahu memikirkan. Sudah tentu sebagai manusia, kitalah khalifah di atas muka bumi ini. Manusia dipertanggung jawabkan untuk menjadi pemimpin. Lalu apakah kita sudah layak memimpin diri kita sendiri sebelum kita menjadi pemimpin terhadap apa yang ada di sekeliling kita. Bagaimana pula kita mahu memimpin diri kita? Jawapannya adalah dengan mendidik hati terlebih dahulu. Kerana hati yang terdidik sahaja yang akan dapat menundukkan nafsu.

2. Setelah kita kenal, kita akan tahu mendidik diri.

Untuk mendidik diri kita mestilah tahu membezakan di antara roh, akal dan nafsu. Ketiga-tiga itulah yang menggerakkan manusia. Ketiga-tiganya juga hanya ALLAH sahaja yang tahu cara mendidiknya. Kerana DIA yang menjadikan dan menyusun atur ke dalam diri manusia. Kita hanya mampu mengenalnya melalui ilmu rasa yang ALLAH anugerahkan kepada kita. Kita hanya perlu tahu dan memahami gelombang rasa dalam diri kita. Dengan gelombang rasa itu kita akan tahu bahawa peranan akal adalah untuk berfikir. Hati pula menjadikan kita berperasaan. Nafsu pula menjadikan kita berkeinginan terhadap sesuatu. Setelah kita kenal ketiga-tiganya itu, kita akan mulai mendidik yang kemudiannya akan mendorong kita untuk mengenal ALLAH. Dengan kata lain, kita perlu mengenal hakikat diri kita dengan ilmu rasa yang dipandu dengan ilmu wahyu.

SIFAT HATI

1. Ia adalah sesuatu yang amat peka dan menjadi wadah untuk dipenuhi dengan sesuatu. Sering saja hati ini menjadi perebutan di antara Malaikat dan syaitan. Mana satu yang dapat menguasai, dialah yang akan menang. Malaikat mahu merebut hati manusia untuk mengisi ilham dan hidayah. Manakala syaitan hanya akan membisikkan isi-isi kekufuran, ragu-ragu atau was-was.

2. Hati akan mudah merasa apabila kita mula ditimpakan dengan dugaan. Maka akan terbit pelbagai perasaan dari dalam hati. Seperti sedih, simpati, marah, cemburu dan pelbagai lagi.
3. Hati juga bersifat baik dan jahat. Sifat baik itu adalah mahmudah dan yang jahat adalah mazmumah. Sifat baik dan jahat telah menjadi fitrah terhadap manusia. Kita hanya perlu mendidik hati dari awal-awal lagi. Hati yang baik kita persuburkan dan yang sebaliknya cepat- cepat kita bendung.

BAGAIMANA MAHU MEMBENTUK HATI

Mahu membentuk hati hendaklah dengan belajar ilmu. Kerana hanya ilmu sahajalah yang akan menerangi hati. Ilmu itu ialah ilmu hati atau Ilmu Tassauf. Ia boleh dipelajari hanya sekadar untuk mengenal pengertian hati dan cara mahu menghampiri jalan sufi. Latihan perlu dilakukan daripada awal, jika sudah terlewat akan menjadi agak susah.
EMPAT PERINGKAT HATI

1. Hati yang terlalu terang bersinar adalah hati Muqarrabin yang dapat melihat Loh Mahfuz, kasyaf dan ilmu laduni
2. Hati yang cerah pula adalah hati orang-orang soleh yang selalu sahaja benar dan selalu juga tepat pilihannya ketika menilai kebenaran.
3. Hati yang kabur adalah hati mukmin yang begitu kerap tersilap dalam memilih dan menilai kebenaran.
4. Hati yang buta dan tidak akan pernah nampak kebenaran dan ia banyak dimiliki oleh orang- 
orang kafir.

Apabila kita sudah mengenal diri dan hati kita, marilah kita sama-sama memimpin hati kita dengan iman. Hanya orang yang berakidah sahaja akan mempunyai hati dan jiwa yang bebas dan subur. Orang yang berjiwa tauhid akan juga mempunyai sifat berani dan hanya akan takut kepada ALLAH sahaja. 
Andai kita sedang benar-benar marah, ia adalah fitrah sebagai manusia. Namun cepat-cepat siram api yang sedang marak dengan kejernihan hati yang akan segera menundukkan nafsu. Dalam sekelip mata kita akan tenang semula. InsyaAllah.

ANDAI MAHU MENGGILAP HATI, MARILAH KITA SAMA-SAMA MEMPERBANYAKKAN ZIKRULLAH DAN MENGINGATI ALLAH. INI ADALAH PERINGATAN UNTUK DIRI TUAN RUMAH DAN UNTUK SESIAPA SAHAJA YANG SUDI BERKUNJUNG. SEGALA APA YANG BAIK ADALAH DATANGNYA DARI ALLAH DAN YANG BURUK ADALAH DARI KESILAPAN KITA SEBAGAI MANUSIA. JIKA ADA KESILAPAN DALAM APA YANG DICORET, HARAP SUDI MEMBERI TEGURAN.

WASSALAM................RAIHAN ZAFFYA


 
Copyright suara hati... 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .