Followers

Saturday, February 12, 2011

MENANTI FAJAR SIDIQ









BUAT PEMINAT-PEMINAT NOVEL.......MENANTI FAJAR SIDIQ

oleh Raihan Zaffya pada pada 11hb Februari 2011 pukul 9.18 ptg
Mia Sakinah seorang gadis bertudung litup. Anak tunggal di rumah agam milik Ruby dan Zaki. Seorang gadis yang berani menongkah arus dalam keluarga. Mahukan kesempurnaan Islam namun terpaksa berjuang sendiri. Cuba membina kekuatan dengan dorongan ibu tuanya, Mak Jah. Tekadnya mahu seperti Rabiah Al-Adawiyah. Mahunya jadi seperti Sumayyah. Takdir Tuhan penentu segala. Titik hitam mendatangi tanpa mahunya.Dia hampir tewas dan kecundang. Terlalu sukar mahu membina semula keyakinan diri. Terlalu banyak air mata yang mahu ditumpahkan. Sayang sekali sedih itu tidak bisa dizahirkan. Dalam payah Mia Sakinah harus pasrah. Biarpun perjalanan terlalu pahit untuk ditempuh. Masih perlu hidup kerana mati bukan pilihannya.

Danny membesar dalam arus kemodenan. Hasil didikan Datuk Zahid, barat jadi pegangan. Bar mini di mahligai mewah Datuk Zahid dirasakan penawar segala masalah. Di situlah asuhannya bermula. Danny tidak pernah lelah menggenggam dosa. Malahan jauh di sudut hati, Danny begitu bangga. Sehinggalah tanpa sengaja Danny telah memperkosa gadis yang tidak dikenali. Natijahnya Danny jadi resah. Jiwanya semakin parah. Bayangan dosa kian menghantui. Danny sesal. Suara-suara asing acap mengganggu damainya. Mencelarukan lagi jiwanya. Danny tidak dapat bertahan. Sesuatu harus dilakukan. Gadis yang dinodai mesti dijejak. Mahu dipohon kemaafan dan ingin menebus kesilapan. Danny tiada pilihan. Terpaksa mengorbankan perasaan asing yang mula menjalar dalam diri terhadap gadis bertudung litup. Danny perlu memilih satu antara dua. Gadis bertudung litup atau simalang yang ternoda.

Emily gadis malang yang tewas dalam laluan hidup yang tiada belas. Dalam usia semuda 17 tahun telah mengandung anak luar nikah. Tiada jalan yang terlihat di depan mata. Bayi itu mesti dibuang. Emily nekad mengambil jalan hitam. Membina dosa di atas dosa. Malang juga, tiada kedamaian yang ditemui. Emily hampir hilang akal warasnya. Sehingga dendam demi dendam terhimpun di dada. Emily jadi begitu benci mama dan papanya. Baginya mereka telah berhutang. Hutang yang tidak akan pernah tertunai. Emily enggan untuk memaafkan dosa mama dan papa pada dirinya. Tiada juga ruang-ruang untuknya menyayangi mereka. Hati Emily telah mati. Yang pasti perjalanan hidup mesti diteruskan. Tidak kira bagaimana cara dan tujuan.


BUAT PEMINAT-PEMINAT NOVEL......MENANTI FAJAR SIDIQ......COMING SOON......INSYAALLAH

Saturday, February 5, 2011

HANYA PERLU SATU SEBAB




III
Isu tentang kahwin muda sudah acap diperkatakan di mana-mana. Ada kebaikan dan keburukan di dalamnya. Aku adalah di antara salah seorang yang terlibat dalam kancah perkahwinan di usia remaja. Aku di sini hanya mahu mengambilkira dari sudut positifnya sahaja. Perlu dicari sebab terlebih dahulu untuk kita memilih jalan yang satu ini. Mungkin ada yang merasakan diri sudah cukup bersedia. Sebahagiannya pula masih mahu berhuha huha bersama-sama rakan sebaya. Untuk kahwin muda, hanya perlu cari satu sebab yang cukup kuat mengapa kita perlu melakukan itu. Seperti aku juga, hanya dengan satu sebab aku telah memilih jalan itu. Aku mahu berasa selamat. Ya, aku mahu selamat. Lantas aku memilih satu ikatan perkahwinan dengan nawaitu kerana ALLAH. Aku teramat-amat bimbang akan tersungkur ke lembah yang tidak sepatutnya. Pada masa itu aku melihat terlalu ramai rakan-rakan yang mengandung anak luar nikah. Aku juga melihat begitu banyak kes bersekedudukan. Lalu perasaan takut mulai menjalar di hati. Tanpa banyak fikir aku memilih untuk berkahwin.





   Anehnya aku tidak pernah 'mencari' bakal suamiku. Waktu itu aku hanya berserah pada jodoh. Dengan keyakinan jodoh itu di tangan ALLAH. Hanya yang diidamkan hanyalah seorang jejaka yang soleh. Yang dapat membimbing ke jalan yang dipenuhi sinar terang. Sekali lagi aku hanya mahu diri ini selamat. Selamat dari segala fitnah dunia. Yang pasti di tika itu aku hanya seorang remaja yang sedang tercari-cari. Hala tuju dan arah hidup yang sebenar amat aku dambakan. Aku terlalu dangkal dengan hukum-hakam agama. Namun yang anehnya jauh di sudut hati aku begitu membenci segala macam perlakuan rakan-rakan yang menyakitkan mata dan hati. Aku jadi berontak. Enggan jadi seperti mereka. Mereka melakukan segala-galanya tanpa ada ruang-ruang sesal. Biarpun di waktu itu aku juga tidak sebaik mana. Juga punya kekurangan dan khilaf, jauh di sudut hati aku jadi benci dengan kehidupan yang tiada berhaluan. Lalu tekadku untuk kahwin muda semakin menyala-nyala. Bukan gelojoh, hanya mahu yang terbaik untuk diri sendiri. Biarpun ada suara-suara sumbang yang menyindir dan memperlekeh aku tidak peduli. Bagi aku mereka tidak akan pernah tahu apa yang sedang bersarang di hati.


Takdir ALLAH tidak siapa tahu. ALLAH mendengar dan melihat. Seseorang telah menyuarakan hasrat untuk melamar aku yang masih 'hingusan' mungkin...hehehe...Aku tidak melihat pada rupa-parasnya. Hanya yang aku lihat hanya keikhlasannya pada waktu itu. Katanya, biarlah kita berkahwin kerana ALLAH.



                                                                                 
                                                                                           
Pada waktu itu mungkin tidak begitu perlu untuk membicarakan soal 'aku cinta kamu'. Hampir tidak terlintas rasanya. Hanya mengharapkan luahan kata-kata itu akan hadir kemudian. Cukuplah andai ada sekelumit rasa sayang di dalam hati. Akhirnya daripada seorang, aku telah hidup berdua. Dengan seseorang yang sebelumnya terlalu asing bagiku. Di waktu yang sama aku melihat teman-teman terus memilih jalan kelam. Bertukar-tukar pasangan tanpa ikatan. Dalam diam memanjat syukur kerana aku telah berada di posisi yang selamat.









Yang lebih penting sekarang ini, anak-anakku mulai membesar. Sudah remaja seperti aku dulu. Seandainya jodoh mereka sudah begitu hampir, aku akan senang hati menerimanya. Semuanya hanya kerana satu sebab. Dunia sudah begitu panas dengan segala macam maksiat. Alam sudah begitu sedih dengan melihat di sana-sini remaja mengandung anak luar nikah. Buang anak dan segala macam titik-bengik yang amat menakutkan. Hanya yang perlu bagi adik-adikku semua, persiapkan diri untuk menjadi sebenar-benarnya MUSLIMAH. Lindungi apa yang harus dilindungi. Tutup dengan rapi apa yang perlu ditutupi. Kunci dengan kemas apa yang sepatutnya dipelihara. Tidak akan bernilai seorang wanita itu apabila dengan rela hati dirinya dijadikan bahan pameran.











Tuesday, February 1, 2011

KASIH KE SYURGA- BAB 2



Kasih ke Syurga bab 1 (KLIK)...

           Pondok keselamatan Villa Raudah diterangi cahaya lampu seawal jam 6.00 pagi. Pak Ali sedang khusyuk menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim di subuh hari. Di luar Villa Raudah pula, Yusuf sedang berjalan sambil menolak motosikal berkuasa tingginya. Dia tidak mahu kehadirannya dihidu oleh Pak Ali. Biarpun Pak Ali hanya sebagai pekerja di Villa Raudah namun dia amat segan dan menghormati orang tua yang sudah lama berkhidmat dengan keluarganya itu.
          Harapan Yusuf untuk curi-curi masuk, hampa. Rupa-rupanya dia terlupa membawa kunci pendua sedangkan pintu pagar utama masih tertutup rapat. Dia mengintai-intai ke arah pondok keselamatan. Di lihatnya Pak Ali sedang asyik berwirid. Dia terpaksa menunggu dengan sabar walaupun hatinya bersungut-sungut tidak puas hati.
          Setelah Pak Ali selesai berwirid, dia keluar dari pondok keselamatan. Dia melakukan senaman ringan untuk melonggarkan urat-urat tuanya.
          "Pak Ali! Pak Ali! Buka pagar ni, Pak Ali!" Yusuf tidak dapat main sorok-sorok lagi.
          Pak Ali berlari-lari anak apabila kedengaran sayup-sayup suara memanggilnya. Badannya yang gempal dan perut buncitnya menyukarkannya berlari pantas.
          Yusuf ketawa sendirian melihat gelagat Pak Ali yang menggelikan hati. Apabila Pak Ali semakin hampir, dia cepat-cepat menghentikan tawanya.
          "Siapa tu?" Mata tua Pak Ali melihat dalam samar-samar pagi.
          "Yusuf, Pak Ali!" Jawab Yusuf.
          "Yusuf! Dari mana pagi-pagi buta ni? Tak balik ke rumah ke malam tadi? Apa nak jadi dengan kamu ni, Yusuf. Suka sangat buat umi kamu naik angin." Teguran Pak Ali umpama teguran seorang ayah.
          "Pak Ali bukalah pagar ni dulu. Yusuf mengantuk ni." Ujar Yusuf dengan suara sedikit meninggi.
          "Tak tidur sepanjang malam ke?"
          "Apa-apa pun bagilah Yusuf masuk dulu. Lepas tu Pak Ali nak cakap apa pun, cakaplah. Cepatlah Pak Ali." Pinta Yusuf sambil menggeliat-gelitakan badannya.
          "Kamu tak bawa anak kunci ke?" Pak Ali masih belum membuka pintu pagar.
          "Kalau bawa taklah susah-susah panggil Pak Ali. Dahlah Pak Ali, jangan tanya lagi. Yusuf letih ni!" Kesabaran Yusuf hampir hilang. Soalan demi soalan dari Pak Ali begitu merimaskannya. Malangnya dia terpaksa menahan sabar dengan sikap Pak Ali. Tidak mungkin untuk dia melakukan kesalahan kedua. Cukuplah hukuman yang akan diberikan akibat semalaman tidak pulang ke rumah. Dia tidak mahu dimarahi oleh Puan Harlina kerana bersikap kurang ajar terhadap Pak Ali.
          Mengingatkan apa yang pernah dilakukan kepada Pak Ali pada zaman remajanya, Yusuf menjadi serik. Dia telah memarahi Pak Ali dengan kata-kata kesat dan menyakitkan hati orang tua itu. Dia telah berdendam dengan Pak Ali yang telah membuat aduan tentang kenakalannya kepada Puan Harlina. Kesalahan besarnya ialah ponteng sekolah dan bergaul dengan budak-budak liar. Akibatnya Puan Harlina telah menghantarnya ke sekolah berasrama dan sebahagian besar perbelanjaannya telah disekat.
          "Pak Ali jangan beritau umi ya."
          "Kalau Pak Ali tak cakap pun umi kamu tau juga. Siapa yang akan buka pintu untuk kamu kalau bukan umi kamu. Kamu bukan ada anak kunci pun!" Sindir Pak Ali.
          Kata-kata Pak Ali membuat Yusuf menepuk dahi. Bagaimana dia boleh lupa dengan kecuaiannya sendiri? Mahu tidak mahu dia terpaksa memberanikan diri berdepan dengan Puan Harlina. Sudah pasti leteran Puan Harlina akan menyambutnya sebaik sahaja pintu dibuka.
          "Masuk ajelah!" Pak Ali masih tersenyum sinis. Apa nak ditakutkan! Berani buat beranilah tanggung. Itu baru anak jantan." Sambungnya yang masih tersengih-sengih.
          Yusuf malas mendengar sindiran-sindiran Pak Ali. Biarpun Pak Ali suka campur urusannya tetapi dia disenangi oleh Puan Harlina dan Tuan Adam. Pak Ali adalah seorang pekerja yang begitu setia terhadap majikannya. Dia sudah berkhidmat di Villah Raudah sejak dia kanak-kanak lagi. Kedua orang tuanya selalu memberi ingatan agar dia menganggap Pak Ali sebagai sebahagian daripada ahli keluarga mereka.
          "Dah....masuk! Pak Ali harap mood umi kamu baik." Sikap Pak Ali berubah lunak sambil menepuk-nepuk belakang Yusuf.
          "Entahlah....." Balas Yusuf seperti tidak yakin.
          "Kalau boleh jangan ulang lagi." Pak Ali mengingatkan.
          Yusuf hanya tersenyum lebar sambil berlalu. Sebentar lagi dia akan berhadapan dengan seorang wanita tegas pendirian dan berdisiplin tinggi. Biar begitu dia amat menyayangi wanita yang telah melahir dan membesarkannya 24 tahun yang lalu.


          "Umi!" Yusuf mengucup tangan Puan Harlina yang menyambutnya di muka pintu.
          "Kamu tidur di mana malam tadi? Semalaman tak balik rumah. Dah tak ingat jalan balik lagi?" Memang sudah diduga Puan Harlina akan menyambut Yusuf dengan leterannya.
          "Yusuf tak ke mana, umi. Yusuf tidur di apartment kita malam tadi." Harapan Yusuf agar Puan Harlina dapat menerima alasannya.
          "Itu bukan soalnya! Soalnya entah anak dara siapa yang kamu bawa keluar masuk ke apartmen tu. Dah beribu kali umi beri amaran. Umi tak suka! Kita orang Islam, bukan itu cara hidup kita."
          "Bosannya! Umi dan Pak Ali sama je, asyik-asyik berleter." Telinga Yusuf telah letih mendengar leteran uminya itu.
           "Sebab apa yang kamu buat tu memang tak betul! Tak betul, faham!" Lontaran suara Puan Harlina agak meninggi.
           "Tapi Yusuf tetap balik rumah." Yusuf masih mahu membela diri.
           "Suka hati kamulah. Kamu dah besar panjang, dah tak perlukan nasihat umi lagi." Tidak mahu lebih sakit hati, Puan Harlina terus berlalu.
           Menyedari kemarahan uminya, Yusuf berasa bersalah. Cepat-cepat dia mengekori langkah kaki uminya. Sambil berjalan dia memikirkan kata-kata yang sesuai untuk menyejukkan hati wanita itu.
           "Umi, Yusuf janji tak buat lagi." Dia menarik tangan uminya yang sedang menyusun hidangan sarapan pagi di atas meja.
          Untuk beberapa ketika Puan Harlina membiarkan Yusuf ternanti-nanti. Dadanya masih terasa sesak apabila mengenangkan sikap anak tunggalnya. Dia tidak tahu bagaimana lagi mahu menerima kata-kata Yusuf. Sudah berkali-kali Yusuf berjanji untuk berubah tetapi hingga ke hari ini masih kecewa. Siapa lagi yang boleh mengubah sikap buruk Yusuf sedangkan dirinya sebagai seorang ibu gagal berbuat begitu. Dia menjadi benar-benar buntu. Memikirkan semua itu tiba-tiba kolam matanya berkaca.
           "Umi, Yusuf minta maaf. Umi jangan nangis lagi." Yusuf benar-benar rasa bersalah.
           "Apa yang boleh umi buat lagi? Kamu nak umi tutup mata dengan macam-macam kerenah kamu? Umi dah tua, dah letih tengok semua ni." Puan Harlina mengurut-urut dadanya.
           Rasa mengantuk Yusuf hilang melayang entah ke mana. Matanya tiba-tiba menjadi segar ekoran perasaan bersalahnya. Dia tidak pernah mahu dan tidak sanggup melihat uminya mengalirkan air mata. Bukan dia tidak pernah berusaha untuk berubah. Dia juga terlalu ingin membahagiakan uminya. Semuanya perlukan masa untuk menjadi anak yang benar-benar baik.
           "Bukan Yusuf tak pernah cuba umi. Kadang-kadang Yusuf pun bosan dengan hidup Yusuf. Cuma Yusuf tak tau macam mana nak buang semua tu."
           Tergambar ketulusan dalam kata-kata Yusuf. Sebagai seorang ibu, Puan Harlina dapat merasainya. Timbul rasa kasihan di hatinya melihat keadaan Yusuf. Dia terpaksa menerima hakikat, baik buruk Yusuf, dia tetap darah dagingnya. Yusuf mesti diberi semangat dan perangsang untuk terus berubah.
          "Kalau mahu berubah, kamu kena sembahyang, Yusuf. Sebenarnya sembahyang itulah ubat segala penyakit diri dan hati." Dengan perlahan dia memulakan bicara.
          Yusuf tertunduk mendengar nasihat uminya. Dia juga sedar kepincangan dirinya. Seumur hidupnya hanya beberapa kali sahaja dia menunaikan rukun Islam yang kedua.
          "Umi pilih nama yang baik-baik untuk Yusuf sebab umi nak anak umi jadi orang baik-baik. Umi nak kamu belajar jadi manusia. Siapa tahu, esok lusa umi 'pergi', sekurang-kurangnya kamu tahu urus diri sendiri. Tahu beza mana buruk mana baik." Harapan Puan Harlina terhadap Yusuf begitu tinggi.
          "Abah berharap kamu dapat ambil alih syarikatnya. Abah tu nampak je diam, sebenarnya dia dah banyak makan hati dengan perangai Yusuf." Dia menambah.
          "Setiap kali Yusuf nak berubah, ia cuma sekerat jalan je. Lepas tu Yusuf tak ada semangat."
          "Sebab itu kamu kena tukar kawan. Cari kawan yang baik-baik dan berakhlak." Nasihat Puan Harlina lagi.
          "Sebenarnya umi malas nak bangkitkan perkara ni selalu. Untuk kali ni, umi harap kamu boleh faham. Tak perlu umi nak ulang-ulang lagi. Kalau kamu nak sarapan, umi dah sediakan. Umi dah lambat ni." Puan Harlina kelihatan tergesa-gesa untuk ke pejabat.
          Jauh di lubuk hati Yusuf, dia kagum dengan kehebatan seorang wanita bernama Harlina. Kesabaran nya dalam mengurus rumah tangga memang sukar ditandingi. Biarpun uminya hidup dalam limpahan kemewahan namun dia tidak pernah lupa diri. Segala urusan masak-memasak untuk anak dan suami lebih suka dilakukannya sendiri.
          Uminya juga mengambil alih bebanan kerja di pejabat sementara ayahnya menguruskan syarikat di luar negara. Sebagai seorang anak pula, dia masih belum berjaya melakukan apa-apa sahaja yang menguntung kan dirinya sendiri. Apatah lagi untuk berjasa kepada Puan Harlina dan Tuan Adam, kedua orang tuanya.


 
Copyright suara hati... 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .