BAB 1
Kebingitan kenderaan yang lalu-lalang sedikit mengganggu emosi Raihana. Perlahan-lahan dia menekup cuping telinga untuk mengurangkan kebingitan itu. Terasa amat membosankan apabila terpaksa menghabiskan masa yang begitu lama di perhentian bas. Kenderaan yang bersimpang-siur membuatkan fikiran Raihana lebih berkecamuk.
Setelah merasakan penantiannya terlalu panjang, dia menjeling jam di tangannya. Setengah jam sudah berlalu, sayangnya bas yang ditunggu belum muncul-muncul lagi. Dia menarik nafas dalam-dalam untuk membuang kegusaran yang bersarang di dada.
Langit yang bertukar suram membuatkan dia semakin bimbang. Tompok-tompok awan hitam membawa perkhabaran hari akan hujan. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menjadi agak kencang, Bunyi dentuman guruh sahut-menyahut begitu mendebarkan. Akhirnya titis-titis hujan mula turun membasahi bumi.
Raihana berpeluk tubuh sambil memerhati orang ramai yang turut menumpang teduh. Masing-masing mencari tempat yang selesa biarpun tempias hujan tetap membasahi mereka. Seorang wanita tua turut berhimpit-himpit di celah-celah orang ramai. Kedua-dua tangannya sarat dengan barang-barang yang mungkin baru dibeli. Rasa kasihan menyelinap di lubuk hatinya.
"Auntie! Duduk sini." Raihana memberi tempat duduknya kepada wanita itu.
"Terima kasih nak." Ucapan penghargaan dibalas senyuman oleh Raihana.
Hujan yang lebat menjadikan bibir Raihana terketar-ketar menahan kesejukan. Baju kurungnya gagal memberi kehangatan pada tubuhnya. Sebahagian daripada pakaiannya telah pun dibasahi tempias hujan.
Sebuah motosikal Harley Davidson menyusur di tepi perhentian bas. Percikan air mengenai wajahnya. Dia hanya mampu mengetap bibir kerana penunggang dan pembonceng langsung tidak memandang ke arahnya apatah lagi untuk meminta maaf. Mereka turun dari motosikal lalu turut berteduh di perhentian bas itu.
"Agak-agaknya sampai bila hujan ni nak turun?" Gadis pembonceng bertanya kepada pemuda yang mungkin kekasihnya.
"Tak kisah sampai bila pun. Yang penting I ada dekat dengan you. Hari ni you tak payah balik, tidur di apartment I, okey!" Ucap pemuda itu sambil memaut pinggang si gadis.
"Mama I tau, mati I." Si gadis buat jual mahal.
"Macam tak biasa pulak." Pemuda itu mencuit hidung si gadis sambil tersenyum.
Rayuan demi rayuan membuat Raihana terasa mual. Bukan dia cemburu atau iri hati, keadaan itu membuat dia malu sendiri. Bukan hanya orang muda yang berteduh di situ, malahan banyak mata-mata tua yang memerhati. Mereka melihat gerak laku yang tidak beradab sopan. Gadis yang mungkin seusia dengannya itu tidak segan silu diperlakukan sesuka hati oleh pemuda itu. Dia juga berasa kesal melihat pemuda kacak itu sudah lupa batas agama dan nilai bangsa.
"Hai! Sorang je?" Tiba-tiba pemuda itu menyapa Raihana dengan senyuman menggoda.
'What's wrong with him? Stupid guy! Look at the girl! They are matched together.' Suara hati Raihana menggambarkan kejengkelan perasaannya.
Raihana membuang pandang ke arah lain tanpa mahu membalas sapaan kurang sopan itu. Melalui ekor matanya, dia dapat merasakan pemuda itu masih lagi merenungnya. Wajahnya merah padam menahan marah. Dia memberanikan diri memandang tepat ke wajah pemuda itu untuk melepaskan geram.
"What are you looking at?" Jerkahnya.
"Amboi boleh tahan garangnya! Macam singan betina. Speaking London lagi." Usik pemuda itu sambil mengenyit mata pada Raihana.
"Dahlah tu! Tak sukalah macam ni, Yusuf!" Si gadis menarik muka 14.
"Saja jer, dia tu cantik tapi 'kampung', tak macam you." Pujuk Yusuf separuh berbisik.
'Ah! Whispering! Think I'm deaf? Forget it! Let them do their own business...What a shame. Yusuf, that's a nice name...But...hmm Raihana! What's wrong with you? You have no right to say that! Just mind your own business!' Raihana melayani suara hatinya sendiri.
Dari jauh kelihatan bas merah bernombor 51 menuju ke perhentian bas. Raihana menarik nafas lega. Penantian dan penyeksaannya akan berakhir sebentar lagi. Dia bersiap sedia untuk menaiki bas yang akan membawanya ke tempat kerja. Dia membetul-betulkan jilbabnya agar lebih kemas biarpun dalam keadaan separuh basah. Sebaik bas berhenti, Raihana tergesa-gesa mencari laluan. Dia tidak mahu terlepas peluang untuk menaiki bas merah bernombor 51.
"Exsuce me." Raihana terpaksa bermanis muka terhadap Yusuf.
"Silakan!" Yusuf berlagak sopan sambil memberi laluan kepada Raihana.
"Jumpa lagi!" Malangnya suara Yusuf tidak lagi didengari oleh Raihana dalam hujan lebat dan bunyi deruman enjin bas.
"You jangan nak menggatal!" Kekasih Yusuf memberi amaran sambil mencubit lengan Yusuf.
"Apa ni? Main-main jelah." Yusuf ketawa.
Bas merah bernombor 51 bergerak perlahan-lahan meninggalkan perhentian. Yusuf mencuri pandang dengan harapan dapat melihat wajah ayu Raihana. Hujan lebat menghalang pandangannya. Namun ia tidak sedikit pun membuatkan dia kecewa. Yang pasti mereka tidak akan bertemu lagi. Esok atau lusa dia tidak akan ingat lagi suara atau wajah Raihana. Dia akan bertemu lebih ramai gadis secantik dan seayu Raihana. Yang pasti Raihana juga tidak akan pernah muncul-muncul lagi.
"Kenapa bad mood jer ni? Makan pun tak nak." Nisa menegur Raihana yang banyak mendiamkan diri sejak pulang kerja petang tadi.
"Tak sedap badan sikit. Siang tadi kena hujan." Jawab Raihana lemah.
"Dah tau hujan bawaklah kereta. Susah-susah, patah balik. Ambil cuti je." Nisa terlalu bimbang melihat keadaan Raihana.
"Hana tak tahu pulak hari nak hujan. Masa keluar rumah, langit cerah saja. Kak Nisa ni, senang-senang suruh Hana cuti. Cuti tahunan Hana dah habis! Lainlah kalau ofis tu Kak Nisa yang punya." Sambil menahan sakit, Raihana masih sempat bergurau.
"Kak Nisa ambil ubat ya?" Nisa masih bimbang biarpun Raihana cuba bersikap ceria.
"Tak apa! Biar baik sendiri. Hana dah bosan, sakit sedikit makan ubat, sakit sedikit makan ubat." Bidas Raihana.
"Kak Nisa call mama Hana ya?" Harapan Nisa agar cadangannya diterima tanpa soal jawab.
"Ya ALLAH! Kenapa Kak Nisa ni? Mama Hana jauh! Lagi pula sakitnya sedikit, bukan mahu mati. Sudah! Kak Hana tak perlu bimbang." Ucap Raihana sambil menarik kain selimut menutupi keseluruhan wajahnya.
"Suka hatilah!" Nisa seakan jauh hati lalu mahu beredar meninggalkan Raihana sendirian. Dia sudah lali dengan sikap Raihana yang tidak suka dibantu apabila dalam kesulitan. Biar Raihana tidur dengan puas. Harapannya agar esok pagi Raihana akan ceria semula. Tanpa rasa sakit atau sugul seperti malam ini.
"Kak Nisa! Sorry!" Belum sempat Nisa membuka daun pintu, Raihana memanggilnya setelah menyedari keterlanjuran kata-katanya sebentar tadi.
"Tidurlah!" Sebuah senyuman terukir di bibir Nisa. Emosi tidak menentu Raihana tidak mendatang kan masalah pada diri Nisa. Dia sudah terlalu biasa berhadapan dengan situasi seperti itu. Biarpun pada awalnya dia agak sukar untuk menyesuaikan diri, lama kelamaan ianya tidak lagi mendatangkan masalah. Enam tahun mengenali Raihana membuatkan dia begitu memahami hati seorang teman.
"Kak Nisa, malam ini temankan Hana tidur di sini, boleh?" Raihana berasa keseorangan dan perlukan teman.
"Perlu ke?" Nisa membatalkan niat untuk keluar dari bilik Raihana.
"Please!" Raihana seperti seorang kanak-kanak kecil.
"Baiklah." Nisa mengalah.
"Hana tidur dulu, Kak Nisa belum mengantuk lagi. Nak Kak Nisa picit badan Hana ke?"
"Terima kasih Kak Nisa. Tapi Hana minta jangan layan Hana seperti tuan puteri. Kak Nisa sudah banyak tolong Hana. Kadang-kadang Hana rasa malu." Pintas Raihana.
"Sekarang masa Hana, mana tau esok lusa masa Kak Nisa pulak." Nisa tidak pernah berkira.
"Hana takut tidak ada peluang nak tolong Kak Nisa." Raihana kelihatan hiba.
"Syhhh...kita lupakan jelah. Cerita pasal lainlah." Nisa berlagak acuh tak acuh.
"Kata-kata Kak Nisa terlalu jujur. Ia lebih bermakna daripada semua harta yang Hana ada. Kejujuran Kak Nisa selalu membuat Hana senang. Hana sayang Kak Nisa."
"Kak Nisa pun sayang Hana. Tanpa Hana, Kak Nisa tak akan berjaya seperti hari ini." Nisa cuba menyembunyikan perasaan sebak yang mula bertandang dalam hatinya.
Kedua sahabat saling berpelukan tanpa sebarang kata. Bilik tidur yang hening menjadi saksi betapa eratnya hubungan mereka. Biarpun suasana kelihatan tenang namun tersembunyi kocakan perasaan yang sukar untuk dizahirkan. Masing-masing cuba menyembunyikan perasaan di antara satu sama lain.
Raihana merungkai pelukan apabila dirasakan bahunya terasa hangat. Dia mengeluh lalu menggeleng-geleng sambil memandang tepat ke wajah Nisa. Nisa tidak berdaya untuk mengelak renungan Raihana. Perlahan-lahan dia menundukkan wajahnya tidak mahu membalas tatapan Raihana.
"Menangis lagi! Hana tak suka tengok Kak Nisa keluarkan air mata. Kak Nisa nak lihat Hana menangis juga?" Tegas Raihana sambil menarik kembali kain selimut menutupi seluruh tubuhnya.
Kata-kata Raihana tidak mendapat balasan daripada Nisa. Dia memilih untuk mendiamkan diri. Dia juga membiarkan Raihana bungkam di bawah selimut tebalnya. Sekali lagi emosi Raihana berubah. Untuk sekian lama juga dia sedia maklum akan keadaan itu.
Perlahan-lahan Nisa membaringkan tubuhnya di sebelah Raihana. Tidak lama kemudian tiada lagi gerakan tubuh Raihana. Dia berharap Raihana sudah terlena dalam kedinginan malam. Sayangnya kelopak matanya pula seakan tidak mahu mengerti bahawa malam sudah semakin larut. Fikirannya terus menerawang lantas menghilangkan rasa mengantuknya. Dia berharap hari esok akan menjanjikan sesuatu yang manis buat mereka berdua.
BERSAMBUNG......................
0 ulasan:
Post a Comment