Followers

There was an error in this gadget

Saturday, January 29, 2011

Mujahid Kecil




Gelak besar
Wahahahahahaha
Aku tak sihat sebenarnya hari ni
Seluruh badan rasa lemah semacam je
Tak boleh berdiri lama-lama sebab aku akan pitam
Bosan pula rasanya asyik duduk diam-diam
Tak tau nak buat apa, aku pun berblogging
Ada follower baru rupanya, tak sedar aku
Pemiliknya ialah Mujahid Kecil
Entah kenapa, sekali pandang aku rasa tertarik
Blogger baru rupanya dia, baru ada 2 orang followers kalau tak silap
Aku pun masuklah blognya
Itu pun dengan tak ada rasa apa-apa
Niat sekadar nak jenguk-jenguk je, nak isi masa yang terasa lambat berlalu
Dengan muka selamba dan agak tak bermaya aku masuk blog dia
Maklumlah aku ni spesis penyedihlah juga
Bila badan tak selesa mood mudah je jadi lain
Kalau aku 'normal' aku memang jenis yang mudah ketawa
Korang buatlah apa je lawak, mesti aku ketawa punya
Satu masalahnya, bila aku dah ketawa memang susah sikit nak berhenti
Kadang-kadang dah macam orang tercekik je bunyinya
Sebab tulah kadang-kadang aku geram je dengan diri aku sendiri
Tiap kali nak merajuk lama-lama asyik tak menjadi je
Apa taknya, diorang yang dah faham sangat perangai aku ni
Sengaja le nak melawak depan aku, nak bagi aku ketawa
Bila aku dah ketawa, merajuk dan marah pun lintang-pukang tah ke mana
Huuuh! kadang-kadang terasa rugi sebab jadi orang yang senang ketawa....ekekeke
Haaiissh, apalah aku ni
Dah lupa pulak pokok asal
Asyik nak cerita tentang diri aku je, sapa le pun yang nak tau
Aku nak cerita tentang blog Mujahid Kecil tadi
Aku pun tak tau kenapa macam tertarik sangat bila dah masuk blog dia tu
Memang aku langsung tak kenal dia, dia pun dah sah-sah le tak kenal aku
Bila aku baca entri pertama Mujahid Kecil, aku sengih-sengih
Cerita tentang kentut yang dia tulis
Mood aku yang dek pada mulanya dah bertukar sikit
Dah mula lupa aku kurang sihat
Habis entri pertama aku terus masuk entri kedua
Kali ni kisah cikgu dengan anak-anak muridnya
Cikgu arahkan anak-anak muridnya buat perkataan berlawan
Dengan khusyuk aku baca, menghayati le kononnya
Ahahahahaha, sudahnya aku gelak sorang-sorang
Besar kecik besar kecik mata aku sebab gelak terlebih sangat
Senak perut ni rasanya, air mata pun mulalah keluar
Bukan sebab sedih tapi tak dapat tahan gelihati
Payah jugak aku nak hentikan gelak aku yang memanjang tadi
Fuuhhh, sudahnya berjaya jugak aku stopkan
Berpeluh aku...ehehehe
Lepas tu satu benda pelik dah jadi
Aku rasa macam sihat je, rasa free
Lepas tu aku ingat nak le share dengan seseorang dek aku tengah kehappyan
Hmmm, tapi macam tak ada respon
Tapi tak apalah, mungkin dia sedang bermasalah atau tak sihat
Mungkin jugak dia tengah moody
Jadi aku abaikan jelah
Sudahnya aku sambung balik baca semua entri Mujahid kecil
Semakin banyak aku baca, tah kenapa aku rasa macam dah kenal dia lama
Walaupun sekadar melalui tulisan lawaknya
Hati aku jadi senang, fikiran lapang
Nampaknya dalam tak sedar, adalah pahala untuk kamu
Mujahid Kecil
Dalam tak sedar jugak, kamu dah gembirakan aku hari ni
Yang pasti kamu macam dah lama aku kenal
Hehehe...tapi itu cuma sekadar naluri
Apa-apa pun, terima kasih untuk kamu
MUJAHID KECIL
Inilah caranya aku menghargai kamu
Orang yang memang aku tak kenal
Sebabnya aku memang suka menghargai dan berterima kasih
Dengan semua yang berada di sekelilingku
Biar pun apa yang mereka lakukan itu secara langsung atau pun tidak
Asalkan ianya berjaya buat aku senyum, sengih dan ketawa
Terima kasih sekali lagi wahai
MUJAHID KECIL
















Monday, January 24, 2011

KASIH KE SYURGA






BAB 1



          Kebingitan kenderaan yang lalu-lalang sedikit mengganggu emosi Raihana. Perlahan-lahan dia menekup cuping telinga untuk mengurangkan kebingitan itu. Terasa amat membosankan apabila terpaksa menghabiskan masa yang begitu lama di perhentian bas. Kenderaan yang bersimpang-siur membuatkan fikiran Raihana lebih berkecamuk.
          Setelah merasakan penantiannya terlalu panjang, dia menjeling jam di tangannya. Setengah jam sudah berlalu, sayangnya bas yang ditunggu belum muncul-muncul lagi. Dia menarik nafas dalam-dalam untuk membuang kegusaran yang bersarang di dada.
          Langit yang bertukar suram membuatkan dia semakin bimbang. Tompok-tompok awan hitam membawa perkhabaran hari akan hujan. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menjadi agak kencang, Bunyi dentuman guruh sahut-menyahut begitu mendebarkan. Akhirnya titis-titis hujan mula turun membasahi bumi.
          Raihana berpeluk tubuh sambil memerhati orang ramai yang turut menumpang teduh. Masing-masing mencari tempat yang selesa biarpun tempias hujan tetap membasahi mereka. Seorang wanita tua turut berhimpit-himpit di celah-celah orang ramai. Kedua-dua tangannya sarat dengan barang-barang yang mungkin baru dibeli. Rasa kasihan menyelinap di lubuk hatinya.
          "Auntie! Duduk sini." Raihana memberi tempat duduknya kepada wanita itu.
          "Terima kasih nak." Ucapan penghargaan dibalas senyuman oleh Raihana.
          Hujan yang lebat menjadikan bibir Raihana terketar-ketar menahan kesejukan. Baju kurungnya gagal memberi kehangatan pada tubuhnya. Sebahagian daripada pakaiannya telah pun dibasahi tempias hujan.
          Sebuah motosikal Harley Davidson menyusur di tepi perhentian bas. Percikan air mengenai wajahnya. Dia hanya mampu mengetap bibir kerana penunggang dan pembonceng langsung tidak memandang ke arahnya apatah lagi untuk meminta maaf. Mereka turun dari motosikal lalu turut berteduh di perhentian bas itu.
           "Agak-agaknya sampai bila hujan ni nak turun?" Gadis pembonceng bertanya kepada pemuda yang mungkin kekasihnya.
           "Tak kisah sampai bila pun. Yang penting I ada dekat dengan you. Hari ni you tak payah balik, tidur di apartment I, okey!" Ucap pemuda itu sambil memaut pinggang si gadis.
           "Mama I tau, mati I." Si gadis buat jual mahal.
           "Macam tak biasa pulak." Pemuda itu mencuit hidung si gadis sambil tersenyum.
           Rayuan demi rayuan membuat Raihana terasa mual. Bukan dia cemburu atau iri hati, keadaan itu membuat dia malu sendiri. Bukan hanya orang muda yang berteduh di situ, malahan banyak mata-mata tua yang memerhati. Mereka melihat gerak laku yang tidak beradab sopan. Gadis yang mungkin seusia dengannya itu tidak segan silu diperlakukan sesuka hati oleh pemuda itu. Dia juga berasa kesal melihat pemuda kacak itu sudah lupa batas agama dan nilai bangsa.
          "Hai! Sorang je?" Tiba-tiba pemuda itu menyapa Raihana dengan senyuman menggoda.
          'What's wrong with him? Stupid guy! Look at the girl! They are matched together.' Suara hati Raihana menggambarkan kejengkelan perasaannya.
          Raihana membuang pandang ke arah lain tanpa mahu membalas sapaan kurang sopan itu. Melalui ekor matanya, dia dapat merasakan pemuda itu masih lagi merenungnya. Wajahnya merah padam menahan marah. Dia memberanikan diri memandang tepat ke wajah pemuda itu untuk melepaskan geram.
          "What are you looking at?" Jerkahnya.
          "Amboi boleh tahan garangnya! Macam singan betina. Speaking London lagi." Usik pemuda itu sambil mengenyit mata pada Raihana.
          "Dahlah tu! Tak sukalah macam ni, Yusuf!" Si gadis menarik muka 14.
          "Saja jer, dia tu cantik tapi 'kampung', tak macam you." Pujuk Yusuf separuh berbisik.
          'Ah! Whispering! Think I'm deaf? Forget it! Let them do their own business...What a shame. Yusuf, that's a nice name...But...hmm Raihana! What's wrong with you? You have no right to say that! Just mind your own business!' Raihana melayani suara hatinya sendiri.
          Dari jauh kelihatan bas merah bernombor 51 menuju ke perhentian bas. Raihana menarik nafas lega. Penantian dan penyeksaannya akan berakhir sebentar lagi. Dia bersiap sedia untuk menaiki bas yang akan membawanya ke tempat kerja. Dia membetul-betulkan jilbabnya agar lebih kemas biarpun dalam keadaan separuh basah. Sebaik bas berhenti, Raihana tergesa-gesa mencari laluan. Dia tidak mahu terlepas peluang untuk menaiki bas merah bernombor 51.
          "Exsuce me." Raihana terpaksa bermanis muka terhadap Yusuf.
          "Silakan!" Yusuf berlagak sopan sambil memberi laluan kepada Raihana.
          "Jumpa lagi!" Malangnya suara Yusuf tidak lagi didengari oleh Raihana dalam hujan lebat dan bunyi deruman enjin bas.
          "You jangan nak menggatal!" Kekasih Yusuf memberi amaran sambil mencubit lengan Yusuf.
          "Apa ni? Main-main jelah." Yusuf ketawa.
          Bas merah bernombor 51 bergerak perlahan-lahan meninggalkan perhentian. Yusuf mencuri pandang dengan harapan dapat melihat wajah ayu Raihana. Hujan lebat menghalang pandangannya. Namun ia tidak sedikit pun membuatkan dia kecewa. Yang pasti mereka tidak akan bertemu lagi. Esok atau lusa dia tidak akan ingat lagi suara atau wajah Raihana. Dia akan bertemu lebih ramai gadis secantik dan seayu Raihana. Yang pasti Raihana juga tidak akan pernah muncul-muncul lagi.



          "Kenapa bad mood jer ni? Makan pun tak nak." Nisa menegur Raihana yang banyak mendiamkan diri sejak pulang kerja petang tadi.
          "Tak sedap badan sikit. Siang tadi kena hujan." Jawab Raihana lemah.
          "Dah tau hujan bawaklah kereta. Susah-susah, patah balik. Ambil cuti je." Nisa terlalu bimbang melihat keadaan Raihana.
          "Hana tak tahu pulak hari nak hujan. Masa keluar rumah, langit cerah saja. Kak Nisa ni, senang-senang suruh Hana cuti. Cuti tahunan Hana dah habis! Lainlah kalau ofis tu Kak Nisa yang punya." Sambil menahan sakit, Raihana masih sempat bergurau.
          "Kak Nisa ambil ubat ya?" Nisa masih bimbang biarpun Raihana cuba bersikap ceria.
          "Tak apa! Biar baik sendiri. Hana dah bosan, sakit sedikit makan ubat, sakit sedikit makan ubat." Bidas Raihana.
          "Kak Nisa call mama Hana ya?" Harapan Nisa agar cadangannya diterima tanpa soal jawab.
          "Ya ALLAH! Kenapa Kak Nisa ni? Mama Hana jauh! Lagi pula sakitnya sedikit, bukan mahu mati. Sudah! Kak Hana tak perlu bimbang." Ucap Raihana sambil menarik kain selimut menutupi keseluruhan wajahnya.
          "Suka hatilah!" Nisa seakan jauh hati lalu mahu beredar meninggalkan Raihana sendirian. Dia sudah lali dengan sikap Raihana yang tidak suka dibantu apabila dalam kesulitan. Biar Raihana tidur dengan puas. Harapannya agar esok pagi Raihana akan ceria semula. Tanpa rasa sakit atau sugul seperti malam ini.
          "Kak Nisa! Sorry!" Belum sempat Nisa membuka daun pintu, Raihana memanggilnya setelah menyedari keterlanjuran kata-katanya sebentar tadi.
           "Tidurlah!" Sebuah senyuman terukir di bibir Nisa. Emosi tidak menentu Raihana tidak mendatang kan masalah pada diri Nisa. Dia sudah terlalu biasa berhadapan dengan situasi seperti itu. Biarpun pada awalnya dia agak sukar untuk menyesuaikan diri, lama kelamaan ianya tidak lagi mendatangkan masalah. Enam tahun mengenali Raihana membuatkan dia begitu memahami hati seorang teman.
           "Kak Nisa, malam ini temankan Hana tidur di sini, boleh?" Raihana berasa keseorangan dan perlukan teman.
           "Perlu ke?" Nisa membatalkan niat untuk keluar dari bilik Raihana.
           "Please!" Raihana seperti seorang kanak-kanak kecil.
           "Baiklah." Nisa mengalah.
           "Hana tidur dulu, Kak Nisa belum mengantuk lagi. Nak Kak Nisa picit badan Hana ke?"
           "Terima kasih Kak Nisa. Tapi Hana minta jangan layan Hana seperti tuan puteri. Kak Nisa sudah banyak tolong Hana. Kadang-kadang Hana rasa malu." Pintas Raihana.
           "Sekarang masa Hana, mana tau esok lusa masa Kak Nisa pulak." Nisa tidak pernah berkira.
           "Hana takut tidak ada peluang nak tolong Kak Nisa." Raihana kelihatan hiba.
           "Syhhh...kita lupakan jelah. Cerita pasal lainlah." Nisa berlagak acuh tak acuh.
           "Kata-kata Kak Nisa terlalu jujur. Ia lebih bermakna daripada semua harta yang Hana ada. Kejujuran Kak Nisa selalu membuat Hana senang. Hana sayang Kak Nisa."
           "Kak Nisa pun sayang Hana. Tanpa Hana, Kak Nisa tak akan berjaya seperti hari ini." Nisa cuba menyembunyikan perasaan sebak yang mula bertandang dalam hatinya.
           Kedua sahabat saling berpelukan tanpa sebarang kata. Bilik tidur yang hening menjadi saksi betapa eratnya hubungan mereka. Biarpun suasana kelihatan tenang namun tersembunyi kocakan perasaan yang sukar untuk dizahirkan. Masing-masing cuba menyembunyikan perasaan di antara satu sama lain.
           Raihana merungkai pelukan apabila dirasakan bahunya terasa hangat. Dia mengeluh lalu menggeleng-geleng sambil memandang tepat ke wajah Nisa. Nisa tidak berdaya untuk mengelak renungan Raihana. Perlahan-lahan dia menundukkan wajahnya tidak mahu membalas tatapan Raihana.
           "Menangis lagi! Hana tak suka tengok Kak Nisa keluarkan air mata. Kak Nisa nak lihat Hana menangis juga?" Tegas Raihana sambil menarik kembali kain selimut menutupi seluruh tubuhnya.
           Kata-kata Raihana tidak mendapat balasan daripada Nisa. Dia memilih untuk mendiamkan diri. Dia juga membiarkan Raihana bungkam di bawah selimut tebalnya. Sekali lagi emosi Raihana berubah. Untuk sekian lama juga dia sedia maklum akan keadaan itu.
           Perlahan-lahan Nisa membaringkan tubuhnya di sebelah Raihana. Tidak lama kemudian tiada lagi gerakan tubuh Raihana. Dia berharap Raihana sudah terlena dalam kedinginan malam. Sayangnya kelopak matanya pula seakan tidak mahu mengerti bahawa malam sudah semakin larut. Fikirannya terus menerawang lantas menghilangkan rasa mengantuknya. Dia berharap hari esok akan menjanjikan sesuatu yang manis buat mereka berdua.


BERSAMBUNG...................... 


Saturday, January 22, 2011

PERNAH SUSAH HATI????






Assalamualaikum

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad S.A.W
Para isteri, kaum keluarga dan sahabat-sahabat baginda

Tak tahu apa yang nak dicoretkan pada malam ini. Entah kenapa kepala macam beku, blur dan terlalu sarat.
Mungkin sama saratnya dengan fail-fail dan emel-emel dalam lappy ni. Mungkin juga sama macam saratnya sardin dalam tin. Tak tau juga kenapa selalu rasa keseorangan, disisihkan dan tak dihargai. Fikiran rasa kosong dan melayang. Apa yang aku tahu, hanya sekadar mau menulis dan terus menulis. Tak kira apa atau macam mana yang aku tulis. Bila susah hati, fb dan bloglah sahabatku. Akan puas bila dapat mencoretkan sesuatu. Akan sedikit rasa lapang dalam dada yang selalu padat ini. Aku selalu bertanya apakah yang kurang hingga membuat diri selalu resah. Aku juga tahu, aku mesti mengadu pada ALLAH. Merintih dan mengharap padaNYA. Aku juga selalu yakin DIA akan selalu ada untuk membantu. Tapi sebagai manusia biasa, aku juga perlu seseorang yang memahami. Yang mengerti dan ambil peduli. Yang akrab dan ikhlas. Yang tak akan meninggalkan aku sendiri ketika aku terkapai-kapai.

Kalau dulu setiap kali rasa susah hati, aku selalu rasa nak ke bulan. Ke Marikh, ke Kutub Utara atau ke mana saja. Yang jauh, tersangat jauh. Kadang rasa macam nak pilih mati saja. Tapi sekarang aku sedar, itu bukan tanda orang yang beriman. Aku pun semakin sedar, itu tanda orang yang putus asa. ALLAH sangat benci pada orang yang putus asa. Kalau sudah dibenci terlalu ramai manusia, apa lagi yang tinggal kalau aku juga dibenci ALLAH. Akhirnya aku jadi malu. Malu yang bukan kepalang. Kenapa aku harus membiarkan diriku jauh dari RAHMAT ALLAH. Kenapa mesti aku memikirkan sesuatu yang tidak begitu penting berbanding ALLAH. Aku tak boleh terus begini. Aku harus kembali pada ketentuanNYA. Ketentuan yang tak ada sesiapa layak mempertikaikannya.

Bila sudah tau ALLAH destinasi. ALLAH hala tuju, rasa terpujuk hati. Dada rasa lapang. Mudah-mudahan jiwa akan sentiasa rasa tenang. Aku dah pun memilih jalan 'hijrah'. Aku telah diingatkan oleh 'seseorang' yang aku akan mendapat begitu banyak dugaan di sepanjang 'hijrah'ku. Harus tabah, harus cekal, harus ada keyakinan. Jangan sesekali berpatah balik di pertengahan jalan. Tak usah menoleh lagi. Kalau menoleh semula aku tak akan nampak kasihNYA lagi. Aku tak mahu tercari-cari lagi. Kalau jalan di depanku dah nampak terang, tak ada gunanya untuk aku undur lagi.

Aku bukanlah perempuan yang terlalu hebat. Tidak juga terlalu kuat. Aku mudah lemah hati. Tapi bila aku dah berada hampir denganNYA, kadang-kadang aku bagai tak kenal diri sendiri. Ada semangat aneh yang susah untuk digambarkan. Ada perasaan tenang yang payah nak diceritakan. Mungkin hanya orang-orang yang sudah mengalami akan merasainya sendiri. Sekarang aku dah jumpa jawapan untuk orang yang susah hati. Caranya hanya satu, kembali padaNYA. MencintaiNYA. Merafak sembah hanya padaNYA. Menangis dan mengadu jugalah kepadaNYA. Merintih semahu hati dan teteskanlah air mata sebanyak-banyaknya hanya di hadapanNYA. INSYAALLAH cinta kasih dan rahmatNYA akan bertali arus setiap hari. Selepas itu akan sentiasa ada sinar pelangi indah.

Hanya ini saja coretanku duhai bogku sayang. Ada masa nanti kita jumpa lagi. Aku sangat, sangat, sangat sayang kamu. Walaupun engkau cuma kaku dan bisu.

Saturday, January 1, 2011

APA YANG 'SEPATUTNYA' TERJADI TELAH PUN TERJADI

Assalamualaikum dan salam sejahtera
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad S.A.W,
para isteri, sahabat-sahabat dan kaum keluarga baginda

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang

6 Dis 2009 bersamaan 19 Zhulhijjah 1430H

7-15pg...
Seawal pagi aku sudah keluar mengambil angin pagi sambil meregangkan otot-otot yang agak tegang. Hari itu tidak ke dapur untuk menyiapkan sarapan pagi. Putri sulungku, Ecah atau 'ayong' yang pulang bercuti semesta mengambil alih tugasanku pada pagi itu. Memang begitulah ayong, setiap kali berada di rumah. Tidak lelah meringankan tangan membantu aku. Ayong putri manis, sweet seventeenku, sahabat baik dan teman sembangku. Ayong tempat perkongsian segala masalah. Ayong kadang-kadang kata-katanya 'lebih dewasa' daripada aku..hehee..

Selesai menyediakan sarapan pagi, ayong menonton tv sebentar. Aku pula berjumpa dan berbual-bual dengan seorang jiran di tepi padang. Sedang menonton tv, ayong seperti biasa yang tidak pernah letih bercakap, berbual-bual dengan ayahnya. Hmm, ayong dah berangan-angan nak memohon kerja sebaik sahaja menamatkan pengajiannya dalam jurusan Kejuruteraan Teknilogi Multimedia. Asyik tersenyum dia apabila membayangkan dirinya sudah bekerja dan membantu kami sekeluarga.

Hidangan yang sudah tersedia, ayong tidak jamah. Sebaik sahaja terlihat adiknya 'angah' keluar dari bilik, ayong langsung menerpa. Angah terpinga-pinga tapi menurut sahaja tarikan tangan ayong yang mengajaknya menunggang basikal. Kedua beradik berbasikal seawal pagi. Hidangan di dalam rumah juga belum tersentuh. Ketika melewati tempat aku sedang berbual-bual, ayong tersenyum lebar sambil melambaikan tangan ke arahku. Aku membalas lambaian sambil tersenyum. Dalam hati berbisik, "sudah besar anak daraku". Kemudian mereka menghilang dari pandangan.

Tidak sampai 15 minit, terdengar jeritan seorang jiran. Kemudian anak bongsuku yang kebetulan sedang berada di padang berlari mendapatkan aku. Imran memberitahu, ayong dan angah jatuh dari basikal. Aku tetap berlari ke tempat kejadian walaupun di dalam hati tidak mengesyaki sesuatu yang buruk akan berlaku. Pada fikiranku mungkin luka kecil atau pitam sahaja. Sayangnya ketika tiba ke tempat itu, aku lihat ayong seperti sedang berhalunasi. Kelopak matanya separuh terbuka, lemah sekali. Angah pula sedang menangis ketakutan. Mungkin juga rasa bersalah kerana ayong yang membonceng basikal waku itu.

Tidak ada suara kuat yang kedengaran. Hanya dengusan nafas payah dan rintihan yang begitu perlahan. Hampir sahaja tidak kedengaran. "Ayong sakit mak!! sakit!!" Hanya itu luahan yang dapat aku dengar. Suara lemah ayong buat aku jadi tak menentu. "Sabar sayang, sabar. Ingat Allah banyak-banyak. Instighfar sayang." Hanya itu juga kata-kata semangat yang mampu aku luahkan. Dengan perlahan aku dengar ayong menuruti kata-kataku, beristighfar berkali-kali sambil kedua tangan tidak henti-henti menekan-nekan dahi. Ayongku kelihatan terlalu sakit. 

Tanpa berlengah kami kejarkan ayong ke klinik kesihatan. Mujur juga jiran kami bekerja di situ. Agak mudah kerana dia yang menghubungi orang-orang tertentu. Hari minggu memang semua orang bercuti. Dalam perjalanan ke klinik kesihatan, ayong merintih lagi, berkali-kali tanpa henti. "Mak, jangan hantar ayong tempat lain mak. Ayong nak balik rumah ayong!!" rintih ayong lemah. Serentak dengan itu berjuraian air mataku. Aku jadi begitu lemah ketika melihat kesakitannya. Aku genggam tangan ayong kuat sekali. Tidak mahu aku lepaskan. Setiba di klinik kesihatan, ayong mula muntah darah. Kelopak matanya juga semakin berat untuk dibuka. Jantungku seakan berhenti berdetak. Ah! petanda apakah itu? Aku begitu gusar sekali. Seorang pembantu klinik menghampiri aku dan berkata lemah. "Kak, sabar ya. Aisyah dah muntah darah, tu tanda kurang baik." Aku terkedu. Terdiam. Terpempan. 'Tanda kurang baik?? kurang baik macam mana?? apa yang jadi sebenarnya??. Banyak soalan berpusing-pusing di kepalaku tapi aku tidak mampu untuk meluahkannya sehinggalah aku terdengar suara berkata, "kak, kami kena hantar anak akak ke hospital secepat mungkin. Aku hanya akur sahaja.

Di dalam ambulan yang bergerak laju, ayong membuka mata semula. Direnungnya dagu angah yang berlubang besar dan berdarah. Dua beradik berbalas renungan hiba. Sedang aku masih menggenggam kuat tangan ayong. Melihat luka besar di dagu angah, air mata ayong merembes keluar. Ayong sedih melihat adiknya luka berdarah sehingga ayong terlupa sebentar kesakitannya sendiri. Air mataku juga jadi begitu murah waktu itu. Aku agak lega kerana sepanjang perjalanan, ayong tidak muntah lagi. Harapan berbunga kembali di hati kecilku.

Tiba di hospitak TTJ, ayong lemah kembali. Seorang doktor pakar berbangsa India memeriksa buah hati sulungku. Scan segera dilakukan. X-ray juga. Ketika itu hanya aku yang terpaksa berhadapan dengan doktor. Suami terpaksa menguruskan soal angah yang turut melakukan pemeriksaan. Selesai scan dan X-ray, doktor memberitahu, "puan, ada pendarahan kecil dalam otak anak puan." Aku kaget sekali. Sekali lagi terasa sakit di jantungku. "apa maksudnya doktor, macam mana nak atasi. tak ada ke ubat yang boleh hentikan pendarahan." Bertalu-talu aku menyoal doktor India itu. Lambat sungguh dia menjawab soalan aku. Tak sabar rasanya bila melihat dia asyik merenung aku. Hingga lah dia bersuara, "puan, setakat ni tidak ada ubat untuk otak." Jadi macam mana anak saya nak sembuh? nak hentikan pendarahan kalau tak ada ubat?" Aku bertanya dengan kebingungan. Doktor mula menerangkan, aku cuma diminta menunggu perkembangan dalam jangkamasa 7 hari. Doktor kata, ada kemungkinan pendarahannya akan mulai mengecut dalam 7 hari dan akan pulih secara semulajadi. Aku percaya, aku mula menyimpan harapan semula. Masih mengharap 7 hari itu akan mampu mengubah semuanya. Doktor juga berjanji akan memasukkan ayong ke dalam wad pengawasan khusus atau mungkin wad ICU. Sekali lagi aku akur.

Sayangnya satu perkara pelik yang berlaku. Ayong hanya di tempatkan di wad biasa dengan pengawasan doktor junior. Mengapa pula alat bantuan pernafasan ayong dibuka? Apa semua ini? Tidak pentingkah kes ayong? Tidak berhargakah nyawa ayong? Aku jadi berontak!!. Di atas katil wad, ayong muntah darah lagi. Ketar tanganku menadah muntah darah ke dalam basin kecil yang diberi oleh jururawat. Lemah juga tubuhku. Ayong juga mulai semakin lemah. Aku berjumpa jururawat bertugas kerana tiada doktor yang kelihatan. Jururawat hanya bersikap acuh tak acuh. "Tak apa kak, tadah je muntah tu. Akak jaga anak akak pastikan dia tidak pengsan. kejutkan dia setiap 1/2 jam sekali. Akak selalu soal diri dia. kalau dia masih kenal diri sendiri, kira oklah tu." Kenapa begitu mudah sekali??. Kenapa aku yang mesti mengawasi sedangkan aku tak arif dunia perubatan. Aku tak faham tentang apa sahaja kesan atau akibat daripada pendarahan itu!! Aku berontak lagi. Sakit sekali hati ini. Sehinggalah ayong muntah darah untuk kali ke 6, masih tidak ada tindakbalas daripada doktor. Aku semakin tidak menentu.

Kali ini omelan ayong tidak henti-henti. Sayu sekali. Sebentar-sebentar pula dia ketiduran dek sakitnya yang terlalu. Tidak jemu-jemu kubisikkan kalimah-kalimah suci ke telinganya. Terkadang bila dia sedar kembali, gerakan bibirnya mengikuti kalimah yang aku bisikkan ke telinganya. Setiap kali dia tersedar akan aku bertanya siapa dia dan siapa aku. Aku jadi lega setiap kali dia berkata, "ni ayong, tu mak." Harapanku berbunga lagi tidak tahu untuk kali ke berapa. Namun kegelisahan masih tidak dapat aku sembunyikan. Sehinggalah ketika kulihat jam sudah 2 petang, ayong semakin layu. Panggilanku jarang bersahut. Harapan yang baru berbunga, lenyap kembali. Sewaktu suamiku mahu pulang ke rumah sebentar untuk mengambil pakaianku, ayong mampu membuka mata. Ketika suamiku memberitahu pada ayong, dia mahu pulang sebentar. Ayong merenung tepat ke wajahnya. Sayu sekali pandangannya. Suamiku segera mengucup dahi ayong. Sedaya upaya ayong cuba mengangkat tangan untuk melambai suamiku yang mahu beredar. Suamiku berhenti seketika lalu merenung lama putri kesayangannya. Kemudian terdengar lemah ayong bersuara, "ayah, ayah panjang umur, ayong tak." Duhai!! robek hatiku. Hancur perasaanku. Malangnya suamiku tidak dapat menangkap maksud kata-kata ayong. Padanya mungkin ayong sedang berhalunasi kerana menahan sakit. Aku pun mahu memikirkan yang baik-baik setelah terngiang-ngiang kata-kata doktor pagi tadi. Ada 7 hari lagi untuk melihat perkembangannya. Setelah suamiku pulang sebentar, ayong berkata pula padaku, "mak, maafkan ayong mak. maafkan ayong." Aku terkedu sekali lagi. Tidak ada kata-kata yang mampu membalas ucapan ayong. Bukan aku tidak mahu, aku mahu sekali menjawab tapi suaraku tidak mampu keluar. Aku sedang berperang dengan perasaan sendiri. Tangan ayong semakin kuat aku genggam. Aku menangis dan menjerit dalam hati namun air mataku tidak kelihatan. Aku takut jika ayong melihat air mataku, dia akan jadi lebih lemah. Aku kuatkan semangat yang masih ada. Namun jauh dalam hati aku menangis semahunya. Tuhan, apakah ini semua???..

Tidak sampai 5 minit dada ayong berombak kencang. Nafasnya mencungap. Aku jadi panik. Aku takut sekali. Terlalu takut. Nafas ayong terhenti tiba-tiba. Apa maksdunya??. Aku laung nama ayong berkali-kali, aku goncang tubuhnya sedaya upaya. Sayangnya ayong tidak bergerak lagi. Wajah ayong terus memucat dan kakinya sedingin salji. Ayong sudah begitu barulah datang seorang doktor perempuan dengan wajah tenang-tenang saja. Seperti tidak ada apa yang berlaku di depan matanya.
Doktor menepuk-nepuk pipi ayong dengan santai. Hanya memanggil nama ayong berkali-kali. Tidak ada juga gerakan balas. Akhirnya doktor mula berwajah cemas, alat perentak dada digunakan. Kali keempat barulah ayong bernafas semula. Malangnya ayong sedang berada dalam kesakitan yang teramat sangat. Tidak mampu untuknya bertahan. Suamiku pula belum datang ke hospital semula. 

Tidak lama kemudian datang seorang doktor pakar memperkenalkan diri. Kulihat waktu itu hampir jam 5 petang. Aku marah pada doktor pakar itu sebenarnya. Mengapa dia baru muncul setelah berjam-jam ayong menanggung derita. Sayangnya aku tidak mampu lagi meluahkan marah. Doktor segera memberitahu perlu dilakukan sesuatu ke atas ayong. Perlu diberi suntikan pelali untuk jangka masa 24 jam agar ayong dapat bertahan dari kesakitan. Aku akur juga kerana tidak sanggup melihat kesakitannya. Ini bererti ayong akan koma sebentar lagi. Ia juga bermakna aku tidak dapat mendengar suara ayong lagi. Kali ini air mata tidak dapat aku bendung lagi. Selesai suntikan pelali, pelbagai jenis wayar dipasang, berselirat di tubuh ayong. Alat bantuang pernafasan dan mesin bantuan hayat amat menakutkan aku. benar-benar tidak senang duduk. Kali ini doktor sentiasa memantau setiap perkembangan ayong. Sayangnya untuk kali ini aku sudah hilang sabar. "Kenapa masih biarkan saja di wad biasa?? kenapa tak buat perawatan rapi?? kenapa biarkan saja anak saya?? Aku benar-benar buntu. Kemudian doktor menerangkan, sebentar lagi ayong akan discan semula. Keputusan scan akan menentukan tindakan yang akan diambil seterusnya. Aku jadi geram, kenapa baru sekarang nak buat?? setelah berjam-jam terbiar!!!. Doktor menyabarkan aku hingga aku tenang semula.

Selesai scan, doktor menerangkan pendarahan di otak ayong sudah merebak dengan pantas. Hospital TTJ tidak mampu berbuat apa-apa. Mesti dihantar ke HBKL dengan segera. Aku sudah terlalu lemah. Hilang kata-kata. Hilang tenaga. Hilang semangat. Suamiku yang datang semula ke hospital, tanpa sengaja telah meraung ketika melihat ayong terkaku koma. Aduh! sakitnya dadaku. Sakit sangat! aku turut menangis teresak-esak. Pukul 6-30ptg ayong dikejarkan ke HBKL. Kali ini aku sendirian lagi menemani ayong. Suamiku terpaksa memandu kereta kami. Masuk sahaja ke dalam ambulan keralatan berlaku lagi. Tabung oksigen tidak berfungsi. "Apa lagi niii??". Sabarku diuji lagi. Kenapa tidak periksa terlebih dahulu baru bawa ayong masuk ke dalam ambulan??. Bercampur baur perasaanku. Gusar, sedih, sakit hati dan tidak sabar menjadi satu. Terasa mahu menjerit melihat kecuaian demi kecuaian berlaku.

Tiba di HBKL ayong terus dikejarkan di wad kecemasan. Hatiku menjadi agak sejuk dengan kebaikan dan budi-bahasa doktor pakar di HBKL. Sekali lagi scan dilakukan. Di masa yang sama adik-beradik dan ipar duaiku sudah mula berkumpul dan memberi semangat kepadaku. Selesai scan doktor memanggil aku. Entah mengapa kali ini firasatku buruk sekali. Serentak itu juga tubuhku jadi longlai. Aku tidak lagi mampu berjalan sendiri. Kakak dan adik iparku memapah aku untuk menemui doktor. Doktor menyapa aku dengan baik. Minta aku banyak bersabar, ingat pada Tuhan dan ketentuanNya. Aku hanya mengangguk lemah.
Doktor mahu aku melihat hasil scan. Aku lihat ada retakan panjang pada tempurung kepalanya. Juga kesan pembengkakan. Tidak mampu untuk aku meluahkan kata-kata biarpun terlalu banyak soalan mahu aku ajukan. Aku diam sahaja sambil cuba menahan gelora di hati. Doktor  memberitahu ayong sudah terlalu kritikal. Penarahan semakin membesar dan tempurung kepala tidak lagi mampu menampung pembengkakan. Perlu dibuang sebahagian daripada tempurung kepala. Doktor mahu aku membuat pilihan yang amat berat untuk aku lakukan. Mahu mencabut bantuan hayat dan ayong akan 'pergi' masa itu juga atau aku mesti menandatangan surat persetujuan pembedahan. Aku buntu mahu berfikir sendiri. Suamiku pula tidak sampai-sampai lagi akibat kesesakan lalu lintas di lebuhraya. Aku ambil sedikit masa untuk berfikir semasak-masaknya. 

Doktor menerangkan dengan jelas agar aku faham. Harapan untuk ayong hidup andai dilakukan juga pembedahan hanya 20%. Andai pembedahan berjaya, ayong tidak akan jadi seperti ayong lagi. Ayong tidak akan mampu bergerak atau mengurus diri sendiri. Ayong juga tidak mungkin akan kenal diri sendiri. Oh Tuhan!!! Pilihan apa yang aku ada??. Harus bagaimana aku TUhan??. Berilah aku kekuatan, beri aku semangat." rintihku dalam hati. Aku cuba jernihkan fikiran untuk mencari yang terbaik. Masa begitu suntuk untuk aku menunggu suamiku. Keputusan harus aku ambil sendiri. Aku sempat berfikir bahawa kedua-dua pilihan memang tidak memberi apa-apa harapan. Dan  firasatku juga berkata, walau apa aku pilih, kesudahannya masih sama. Akhirnya dengan amat sedikit harapan aku memilih pembedahan. Aku cuba membohongi diri sendiri. Memberi harapan palsu bahawa ayong masih ada peluang untuk hidup. Tidak mengapa andai ayong tidak lagi kenal diri sendiri. Aku tidak juga peduli andai terpaksa mengurus ayong seumur hidupku. Atau memasukkan air susu ke dalam tiub ke kerongkong ayong. Juga mengganti lampin pakai buang ayong saban hari. Aku sanggup lakukan segalanya asalkan ayong tetap di sisi. Kerana aku tidak sanggup berpisah dengan ayong. Kerana aku sangat sangat sayang ayong. Dengan harapan yang begitu sedikit, aku memilih pembedahan. Dengan tangan ketar aku menandatangani borang pembedahan.

Setibanya suami ke hospital, adik iparku menerangkan segala-galanya. Berjurai air matanya. Begitu juga aku dan semua yang ada di situ. Kelopak mataku sudah mulai bengkak. Air mata tiada hentinya. Bertali arus dengan laju. Kami menunggu dengan sabar di ruang menunggu bilik pembedahan. Masa terasa begitu lambat sekali. Sementara doktor melakukan tugasan, aku tidak henti-henti membaca surah Yassin. Mohon dipermudahkan segalanya. Tidak lama selepas itu seorang doktor pakar bedah keluar lalu memanggil aku dan suamiku. Dengan lemah doktor memberitahu, pembedahan terpaksa ditangguhkan akibat tekanan darah yang semakin tidak stabil. Tekanan darah juga semakin rendah. Doktor kata kalau dilakukan juga pembedahan waktu itu, pendarahan yang teruk akan berlaku dan jawapannya hanya maut. Aku mengusap dada dengan mata basah dan bengkak. Kemudian doktor sedikit bersungut, katanya "saya hairan kenapa doktor dari Seremban biarkan pesakit ni hingga 7-8 jam tanpa hantar ke sini secepat mungkin." Kata-kata doktor tidak berjawab kerana aku dan suami tidak ada jawapannya. Selepas itu doktor masuk lagi. Aku membaca Yassin untuk entah kali yang keberapa.

Mungkin kerana terlalu letih dan mengantuk, aku hampir terlena ketika membaca Yassin. Antara sedar dan tidak aku terdengar suara ayong memanggil, sayup-sayup sekali. Lalu aku membalasnya, "ayong!" aku melaung agak kuat. Kemudian aku dikejutkan oleh kakakku, "kenapa ni dik?". "Entah, mimpi ayong panggil", sahutku sambil menangis. Lantas kakakku agak hairan kerana katanya aku tidak tidur. Mataku masih terbuka tetapi mengapa aku seperti menyedari apa yang berlaku sebentar tadi. Aku pujuk lagi hati, aku sambung membaca kalimah suci. Kali ini detik hatiku amat berbeza dari sebelumnya. Aku mulai berbisik dalam hati. Aku berdoa dalam diam. "Ya Allah, kali ini aku redha apa sahaja yang Engkau akan beri kepadaku. Andai ia yang terbaik untuk anakku Nur Aisyah, aku akan terima dengan lapang hati. Engkau permudahkanlah perjalanannya ya Allah. Kau bantulah dia, Kau temani dia dalam detik-detik akhirnya ya Allah. Aku serahkan dia kepadaMu ya Allah. Aku serahkan dia dalam penjagaanMu yang sempurna ya Allah." Selesai berdoa hatiku jadi agak tenang namun air mata masih belum kering.

Tidak lama kemudian aku dan suamiku dipanggil lagi. Kali ini aku pergi dengan tenang. Firasatku juga amat jelas. Hanya mahu mendengar sendiri apa kata doktor. Doktor memberitahu sebentar tadi degup jantung ayong sudah berhenti. Ayong tidak lagi bernafas untuk beberapa detik. Tapi kata doktor lagi, kemudiannya degup jantung berfungsi kembali. Namun doktor telah mengambil keputusan untuk membatalkan pembedahan dan mahu memindahkan ayong ke wad ICU. Biar itu penerangan doktor tapi aku tidak merasakan itu hakikatnya. Hati kecil dan naluriku sebagai ibu kuat mengatakan ayong sudah tidak ada lagi. Memikirkan itu aku berpaut pada suamiku agar aku tidak rebah. Tapi aku merahsiakan apa yang aku rasa daripada suamiku. Pada waktu itu juga pandangan mataku mulai kabur dek air mata yang semakin laju. Hatiku berbisik, "andai ini ketentuanMu ya Allah, aku telah redha."

Kemudian kami berpindah ke ruang menunggu di wad ICU. Tidak sabar menanti doktor memanggil ku untuk melihat bagaimana sebenarnya ayongku. Tidak sampai 20 minit kami dipanggil doktor lagi. Kali ini masuk je ruangan doktor. Doktor mahu kami duduk di hadapannya. Doktor dan kami saling berpandangan. Lambat-lambat doktor bersuara, "abang, kakak...kami dah cuba apa yang mampu..... sayangnya kami tak dapat berbuat apa-apa...Nur Aisyah sudah tidak ada.....Allah sayang dia....tanpa sedar suamiku menangis kuat lalu berlari meninggalkan ruangan doktor, tidak tahan hatinya menerima hakikat itu. Sedang aku?? kenapa aku tidak menangis?? mana pergi air mataku??  kenapa kering tiba-tiba?? kenapa aku cuma diam??..aku dan doktor saling berpandangan hingga akhirnya doktor mengarahkan jururawat memberi aku secawan air putih. "Kak, baca selawat, minum air ni ya" dan aku hanya menurut sahaja seperti anak kecil. Sesudah meneguk sedikit air, aku terus berdiri dengan tenang. Yassin di tangan, aku genggam erat. "Akak nak tengok anak akak." Kataku juga tenang. Jururawat memimpin tanganku lalu membawa aku ke katil ayong. Aku minta jururawat meninggalkan aku sendirian. Aku selak kain penutup wajah ayong dan aku kucup wajahnya tanpa ada air mata yang jatuh. Aku usap kepalanya yang sudah bercukur sebelah dan kukucup lagi. Setelah puas, kuhadiahkan bacaan Yassin lagi. Dengan cukup tenang dan penuh dengan rasa sayang.

Hari itu tepat 2.45pg sepertiga malam, bersamaan hari Isnin 20 zulhijjah, perginya ayongku, Nur Aisyah. Pagi yang sama, pukul 9 pagi aku telah memandikan ayongku, buah hatiku, kekasihku, sahabatku dunia akhirat untuk yang terakhir kalinya. Aku siram lembut air ke tubuhnya. Perlahan- lahan dan dengan berhati-hati. Aku tidak mahu ayongku sakit lagi andai aku kasar memandikannya. Kemudian dengan rasa kasih juga aku pakaikan dia pakaian baru yang paling mahal pernah aku belikan untuknya. Semuanya serba putin, bersih sekali. Kulihat ayong bagaikan sedang tidur dengan lena sekali. Wajahnya bersih seperti sedang tersenyum padaku. Kesan jerawat-jerawat kecil yang nakal tidak lagi kelihatan sama sekali. Semuanya hilang begitu sahaja. Aku cukup tenang ketika menatap wajahnya buat terakhir kali. Aku huga sudah bersedia untuk menemani dan menghantarnya ke rumah barunya, yang lebih besar dan lebih indah. Aku sudah bersedia untuk mengembalikannya  semula kepada Tuannya. Dan aku amat yakin dan pasti pemeliharaan Tuannya jauh lebih sempurna dari penjagaanku. Aku juga semakin tenang bila memikirkan kasih-sayangNya jauh lebih besar dari kasih-sayangku sendiri. Akhirnya aku iringi ayong ke daerahnya yang ABADI. Yang memisahkan antara yang hidup dan yang mati. Namun apa yang pasti ayong masih hidup dan tetap hidup di dalam hatiku. Sampai bila-bila, selagi ada nyawa dikandung badan.

AL-FATEHA...........AMIN...... 
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh..Amin..

Hakikat kematian, sesungguhnya kematian hanyalah berpisahnya roh dan jasad, bukan lenyapnya roh itu. Roh itu akan tetap hidup dan kekal sampai bila-bila.

Allah berfirman;
"Janganlah engkau berfikir bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira."641

WASSALAM......
 
Copyright suara hati... 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .