Followers

Saturday, December 18, 2010

HANYA DIRIKU

                                                            ASSALAMMUALAIKUM
                                Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW
                                         Para isteri, sahabat-sahabat dan keluarga baginda
           


Pejam celik, pejam celik rupa-rupanya telah puluhan tahun aku menghirup udara segar di bumi Allah ini. Udara bersih yang kuhirup dengan percuma tidak membuat aku begitu banyak bersyukur . Tika itu yang aku tahu, hidup adalah hidup. Tanpa pengisian, tanpa rasa syukur dan keinsafan. Jika ada pun mungkin hanya sekilas ingatan yang akan hilang bersama kelekaan menatap indahnya dunia. Aku tidak pernah memikirkan lebih daripada itu. Isi dunia telah menipu dan memperkosa nuraniku sehingga terperangkap di dalam kekalutannya. Serpihan kaca yang terhimpun sinarnya kusangka permata asli. Tika itu juga kusangkakan itulah yang bernama kehidupan.

Hari terus sahaja berlari tanpa sudi menanti aku yang kian lelah. Langkahku tidak lagi seiring irama pentas dunia. Ketinggalankah aku atau aku telah kehilangan sesuatu selama puluhan tahun ini? Tiba di satu garis yang belum bernoktah, tiba-tiba aku terasa resah. Seperti ada sesuatu yang hilang dalam diri yang serba kerdil ini. Ada bimbang, ada kekosongan, ada kehilangan dan seribu satu rasa yang berbaur menjadi satu. Entah bagaimana aku mulai berasa keseorangan di tengah-tengah keramaian. Aku bagaikan sendirian biar berada di dalam lautan manusia. Aku mulai membenci segala isi dunia yang bagai menyesakkan. Sayangnya aku tidak tahu untuk apa aku harus membenci. Kian hari hati kian resah. Jiwa amat celaru, tercari-cari, teraba-raba dalam gelapnya  nuraniku. Aku mulai tidak faham akan kemahuan diri. Apa lagi yang harus aku cari? Apa yang mesti aku miliki?

Satu masa aku mulai membina duniaku sendiri. Tidak lagi betah dengan hiruk-pikuk yang menjengkel kan. Aku mahu menyelusur ke dalam diri sendiri. Mengintai-intai ke dalam hati dan mulai menyoal apa mahunya. Hati hanya diam, tidak akur pada kotak fikir yang kian ligat berputar. Aku jadi marah kerana hati tidak bisa mengerti. Duhai hati! mengapa engkau begini? Bukankah engkau raja bagi segala anggota ini?. Benakku mulai capek. Aku mulai lebih lemah. Tenggelam dalam pencarian yang belum berkesudahan. Jiwa mulai berontak, marah dan benci. Sehingga aku menyoal lagi, untuk apa? Untuk apa kumuntahkan rasa benci yang hanya akan memakan diri. Untuk siapa pula aku harus membenci. Gelodak rasaku mulai kembara. Jauh! Jauh merentas maya. Aku biarkan rasa ini terapung tanpa batas sempadan.
Tiba di satu garisan, aku mulai tersentak. Melihat jauh ke dalam diri. Menyoal dan terus menyoal. Siapa sebenarnya aku? Di manakah aku? Dan untuk apakah aku? Akhirnya butir-butir mutiara jernih merembes laju ke pipi. Lalu aku melihat seorang bayi kecil keluar dari rahim ibu. Dari tiada kepada ada. Bayi yang kecil terus membesar saban hari. Sehingga meningkat usia dari tahun berganti tahun. Rupa-rupanya itulah aku. Yang diciptakan dengan semulia-mulia dan sesempurna kejadian. Siapa yang mencipta dan meniup roh ke tubuhku? Oh! Apa harus aku perbuat? Mengapa selama ini aku lupa pada yang mencipta tubuh dan jiwa.

Oh Tuhaaaaann!!! Ampunkan akuuuu!!! Kulihat ke sekujur tubuhku. Aku biarkan ia tanpa perisai. Terdedah pada mata-mata jalang. Rambut hitam pekatku menjadi pameran. Tubuh kecilku tiada perlindungan. Lalu aku jadi takut dan malu. Ketar tubuhku dan gentar hatiku. Namun begitu fikiran kembara lagi, menyoal bertalu-talu. Solat? Bagaimana dengan solat? Berapa kali yang diperbuat dan berapa ribu kali ditinggalkan? Oh Tuhaaaaaann!!! Tolonglah akuuuu!!! Bantu akuuuu!!! Aku tidak mahu nyawa KAU renggut di tika aku kealpaan. Tuhaaaaann!!! Berilah aku peluang, berilah aku pengharapan. Beri juga aku kesempatan.

Sesungguhnya ENGKAU maha pengasih lagi penyayang. Satu persatu peluang KAU beri dengan rasa kasih tiada bandingan. ENGKAU belai jiwa rapuhku. Sedikit-sedikit tanpa henti. Biarpun onak dan duri kau beri untuk menguji, aku mulai mampu berdiri. Aku telah tahu apa aku mahu, juga apa aku cari. Aku hanya mahu ENGKAU, dambaan hatiku. Yang memberi tenang dan damai yang tidak tergambar dek ungkapan kata. Biarpun aku tidak terlalu kuat namun aku juga tidak terlalu lemah. Selagi ada hayatku di perjalanan yang bakal ke titik noktah, ku pohonkan padaMU TUHAN agar menetapkan hati dan iman. Jangan ENGKAU bolak-balikkan hati ini dan mengulang kekhilafan semalam. Jangan ENGKAU beri keputus-asaan dalam diri ini. Aku mahu ENGKAU beriku peluang untuk menatap nur wajahMU di daerah paling abadi.

Sahabat-sahabat yang tersayang, ini adalah perkongsian yang ikhlas dari saya. Segala yang tidak baik jadikanlah iktibar dan renungan. Andai jiwa resah kekosongan, carilah TUHANmu. Letakkan DIA di dasar hati. Hanya DIAlah penawar pada jiwa yang resah. Diingat juga keindahan dunia ini hanyalah untuk seketika. Tiba waktunya ia akan ditinggalkan. Jangan membenci dunia dan usah terlalu memuliakan dunia. Hanya akhirat sahaja tempat yang abadi.

 


 
Copyright suara hati... 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .