Followers

Tuesday, February 1, 2011

KASIH KE SYURGA- BAB 2



Kasih ke Syurga bab 1 (KLIK)...

           Pondok keselamatan Villa Raudah diterangi cahaya lampu seawal jam 6.00 pagi. Pak Ali sedang khusyuk menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim di subuh hari. Di luar Villa Raudah pula, Yusuf sedang berjalan sambil menolak motosikal berkuasa tingginya. Dia tidak mahu kehadirannya dihidu oleh Pak Ali. Biarpun Pak Ali hanya sebagai pekerja di Villa Raudah namun dia amat segan dan menghormati orang tua yang sudah lama berkhidmat dengan keluarganya itu.
          Harapan Yusuf untuk curi-curi masuk, hampa. Rupa-rupanya dia terlupa membawa kunci pendua sedangkan pintu pagar utama masih tertutup rapat. Dia mengintai-intai ke arah pondok keselamatan. Di lihatnya Pak Ali sedang asyik berwirid. Dia terpaksa menunggu dengan sabar walaupun hatinya bersungut-sungut tidak puas hati.
          Setelah Pak Ali selesai berwirid, dia keluar dari pondok keselamatan. Dia melakukan senaman ringan untuk melonggarkan urat-urat tuanya.
          "Pak Ali! Pak Ali! Buka pagar ni, Pak Ali!" Yusuf tidak dapat main sorok-sorok lagi.
          Pak Ali berlari-lari anak apabila kedengaran sayup-sayup suara memanggilnya. Badannya yang gempal dan perut buncitnya menyukarkannya berlari pantas.
          Yusuf ketawa sendirian melihat gelagat Pak Ali yang menggelikan hati. Apabila Pak Ali semakin hampir, dia cepat-cepat menghentikan tawanya.
          "Siapa tu?" Mata tua Pak Ali melihat dalam samar-samar pagi.
          "Yusuf, Pak Ali!" Jawab Yusuf.
          "Yusuf! Dari mana pagi-pagi buta ni? Tak balik ke rumah ke malam tadi? Apa nak jadi dengan kamu ni, Yusuf. Suka sangat buat umi kamu naik angin." Teguran Pak Ali umpama teguran seorang ayah.
          "Pak Ali bukalah pagar ni dulu. Yusuf mengantuk ni." Ujar Yusuf dengan suara sedikit meninggi.
          "Tak tidur sepanjang malam ke?"
          "Apa-apa pun bagilah Yusuf masuk dulu. Lepas tu Pak Ali nak cakap apa pun, cakaplah. Cepatlah Pak Ali." Pinta Yusuf sambil menggeliat-gelitakan badannya.
          "Kamu tak bawa anak kunci ke?" Pak Ali masih belum membuka pintu pagar.
          "Kalau bawa taklah susah-susah panggil Pak Ali. Dahlah Pak Ali, jangan tanya lagi. Yusuf letih ni!" Kesabaran Yusuf hampir hilang. Soalan demi soalan dari Pak Ali begitu merimaskannya. Malangnya dia terpaksa menahan sabar dengan sikap Pak Ali. Tidak mungkin untuk dia melakukan kesalahan kedua. Cukuplah hukuman yang akan diberikan akibat semalaman tidak pulang ke rumah. Dia tidak mahu dimarahi oleh Puan Harlina kerana bersikap kurang ajar terhadap Pak Ali.
          Mengingatkan apa yang pernah dilakukan kepada Pak Ali pada zaman remajanya, Yusuf menjadi serik. Dia telah memarahi Pak Ali dengan kata-kata kesat dan menyakitkan hati orang tua itu. Dia telah berdendam dengan Pak Ali yang telah membuat aduan tentang kenakalannya kepada Puan Harlina. Kesalahan besarnya ialah ponteng sekolah dan bergaul dengan budak-budak liar. Akibatnya Puan Harlina telah menghantarnya ke sekolah berasrama dan sebahagian besar perbelanjaannya telah disekat.
          "Pak Ali jangan beritau umi ya."
          "Kalau Pak Ali tak cakap pun umi kamu tau juga. Siapa yang akan buka pintu untuk kamu kalau bukan umi kamu. Kamu bukan ada anak kunci pun!" Sindir Pak Ali.
          Kata-kata Pak Ali membuat Yusuf menepuk dahi. Bagaimana dia boleh lupa dengan kecuaiannya sendiri? Mahu tidak mahu dia terpaksa memberanikan diri berdepan dengan Puan Harlina. Sudah pasti leteran Puan Harlina akan menyambutnya sebaik sahaja pintu dibuka.
          "Masuk ajelah!" Pak Ali masih tersenyum sinis. Apa nak ditakutkan! Berani buat beranilah tanggung. Itu baru anak jantan." Sambungnya yang masih tersengih-sengih.
          Yusuf malas mendengar sindiran-sindiran Pak Ali. Biarpun Pak Ali suka campur urusannya tetapi dia disenangi oleh Puan Harlina dan Tuan Adam. Pak Ali adalah seorang pekerja yang begitu setia terhadap majikannya. Dia sudah berkhidmat di Villah Raudah sejak dia kanak-kanak lagi. Kedua orang tuanya selalu memberi ingatan agar dia menganggap Pak Ali sebagai sebahagian daripada ahli keluarga mereka.
          "Dah....masuk! Pak Ali harap mood umi kamu baik." Sikap Pak Ali berubah lunak sambil menepuk-nepuk belakang Yusuf.
          "Entahlah....." Balas Yusuf seperti tidak yakin.
          "Kalau boleh jangan ulang lagi." Pak Ali mengingatkan.
          Yusuf hanya tersenyum lebar sambil berlalu. Sebentar lagi dia akan berhadapan dengan seorang wanita tegas pendirian dan berdisiplin tinggi. Biar begitu dia amat menyayangi wanita yang telah melahir dan membesarkannya 24 tahun yang lalu.


          "Umi!" Yusuf mengucup tangan Puan Harlina yang menyambutnya di muka pintu.
          "Kamu tidur di mana malam tadi? Semalaman tak balik rumah. Dah tak ingat jalan balik lagi?" Memang sudah diduga Puan Harlina akan menyambut Yusuf dengan leterannya.
          "Yusuf tak ke mana, umi. Yusuf tidur di apartment kita malam tadi." Harapan Yusuf agar Puan Harlina dapat menerima alasannya.
          "Itu bukan soalnya! Soalnya entah anak dara siapa yang kamu bawa keluar masuk ke apartmen tu. Dah beribu kali umi beri amaran. Umi tak suka! Kita orang Islam, bukan itu cara hidup kita."
          "Bosannya! Umi dan Pak Ali sama je, asyik-asyik berleter." Telinga Yusuf telah letih mendengar leteran uminya itu.
           "Sebab apa yang kamu buat tu memang tak betul! Tak betul, faham!" Lontaran suara Puan Harlina agak meninggi.
           "Tapi Yusuf tetap balik rumah." Yusuf masih mahu membela diri.
           "Suka hati kamulah. Kamu dah besar panjang, dah tak perlukan nasihat umi lagi." Tidak mahu lebih sakit hati, Puan Harlina terus berlalu.
           Menyedari kemarahan uminya, Yusuf berasa bersalah. Cepat-cepat dia mengekori langkah kaki uminya. Sambil berjalan dia memikirkan kata-kata yang sesuai untuk menyejukkan hati wanita itu.
           "Umi, Yusuf janji tak buat lagi." Dia menarik tangan uminya yang sedang menyusun hidangan sarapan pagi di atas meja.
          Untuk beberapa ketika Puan Harlina membiarkan Yusuf ternanti-nanti. Dadanya masih terasa sesak apabila mengenangkan sikap anak tunggalnya. Dia tidak tahu bagaimana lagi mahu menerima kata-kata Yusuf. Sudah berkali-kali Yusuf berjanji untuk berubah tetapi hingga ke hari ini masih kecewa. Siapa lagi yang boleh mengubah sikap buruk Yusuf sedangkan dirinya sebagai seorang ibu gagal berbuat begitu. Dia menjadi benar-benar buntu. Memikirkan semua itu tiba-tiba kolam matanya berkaca.
           "Umi, Yusuf minta maaf. Umi jangan nangis lagi." Yusuf benar-benar rasa bersalah.
           "Apa yang boleh umi buat lagi? Kamu nak umi tutup mata dengan macam-macam kerenah kamu? Umi dah tua, dah letih tengok semua ni." Puan Harlina mengurut-urut dadanya.
           Rasa mengantuk Yusuf hilang melayang entah ke mana. Matanya tiba-tiba menjadi segar ekoran perasaan bersalahnya. Dia tidak pernah mahu dan tidak sanggup melihat uminya mengalirkan air mata. Bukan dia tidak pernah berusaha untuk berubah. Dia juga terlalu ingin membahagiakan uminya. Semuanya perlukan masa untuk menjadi anak yang benar-benar baik.
           "Bukan Yusuf tak pernah cuba umi. Kadang-kadang Yusuf pun bosan dengan hidup Yusuf. Cuma Yusuf tak tau macam mana nak buang semua tu."
           Tergambar ketulusan dalam kata-kata Yusuf. Sebagai seorang ibu, Puan Harlina dapat merasainya. Timbul rasa kasihan di hatinya melihat keadaan Yusuf. Dia terpaksa menerima hakikat, baik buruk Yusuf, dia tetap darah dagingnya. Yusuf mesti diberi semangat dan perangsang untuk terus berubah.
          "Kalau mahu berubah, kamu kena sembahyang, Yusuf. Sebenarnya sembahyang itulah ubat segala penyakit diri dan hati." Dengan perlahan dia memulakan bicara.
          Yusuf tertunduk mendengar nasihat uminya. Dia juga sedar kepincangan dirinya. Seumur hidupnya hanya beberapa kali sahaja dia menunaikan rukun Islam yang kedua.
          "Umi pilih nama yang baik-baik untuk Yusuf sebab umi nak anak umi jadi orang baik-baik. Umi nak kamu belajar jadi manusia. Siapa tahu, esok lusa umi 'pergi', sekurang-kurangnya kamu tahu urus diri sendiri. Tahu beza mana buruk mana baik." Harapan Puan Harlina terhadap Yusuf begitu tinggi.
          "Abah berharap kamu dapat ambil alih syarikatnya. Abah tu nampak je diam, sebenarnya dia dah banyak makan hati dengan perangai Yusuf." Dia menambah.
          "Setiap kali Yusuf nak berubah, ia cuma sekerat jalan je. Lepas tu Yusuf tak ada semangat."
          "Sebab itu kamu kena tukar kawan. Cari kawan yang baik-baik dan berakhlak." Nasihat Puan Harlina lagi.
          "Sebenarnya umi malas nak bangkitkan perkara ni selalu. Untuk kali ni, umi harap kamu boleh faham. Tak perlu umi nak ulang-ulang lagi. Kalau kamu nak sarapan, umi dah sediakan. Umi dah lambat ni." Puan Harlina kelihatan tergesa-gesa untuk ke pejabat.
          Jauh di lubuk hati Yusuf, dia kagum dengan kehebatan seorang wanita bernama Harlina. Kesabaran nya dalam mengurus rumah tangga memang sukar ditandingi. Biarpun uminya hidup dalam limpahan kemewahan namun dia tidak pernah lupa diri. Segala urusan masak-memasak untuk anak dan suami lebih suka dilakukannya sendiri.
          Uminya juga mengambil alih bebanan kerja di pejabat sementara ayahnya menguruskan syarikat di luar negara. Sebagai seorang anak pula, dia masih belum berjaya melakukan apa-apa sahaja yang menguntung kan dirinya sendiri. Apatah lagi untuk berjasa kepada Puan Harlina dan Tuan Adam, kedua orang tuanya.



0 ulasan:

 
Copyright suara hati... 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .