Followers

Saturday, February 5, 2011

HANYA PERLU SATU SEBAB




III
Isu tentang kahwin muda sudah acap diperkatakan di mana-mana. Ada kebaikan dan keburukan di dalamnya. Aku adalah di antara salah seorang yang terlibat dalam kancah perkahwinan di usia remaja. Aku di sini hanya mahu mengambilkira dari sudut positifnya sahaja. Perlu dicari sebab terlebih dahulu untuk kita memilih jalan yang satu ini. Mungkin ada yang merasakan diri sudah cukup bersedia. Sebahagiannya pula masih mahu berhuha huha bersama-sama rakan sebaya. Untuk kahwin muda, hanya perlu cari satu sebab yang cukup kuat mengapa kita perlu melakukan itu. Seperti aku juga, hanya dengan satu sebab aku telah memilih jalan itu. Aku mahu berasa selamat. Ya, aku mahu selamat. Lantas aku memilih satu ikatan perkahwinan dengan nawaitu kerana ALLAH. Aku teramat-amat bimbang akan tersungkur ke lembah yang tidak sepatutnya. Pada masa itu aku melihat terlalu ramai rakan-rakan yang mengandung anak luar nikah. Aku juga melihat begitu banyak kes bersekedudukan. Lalu perasaan takut mulai menjalar di hati. Tanpa banyak fikir aku memilih untuk berkahwin.





   Anehnya aku tidak pernah 'mencari' bakal suamiku. Waktu itu aku hanya berserah pada jodoh. Dengan keyakinan jodoh itu di tangan ALLAH. Hanya yang diidamkan hanyalah seorang jejaka yang soleh. Yang dapat membimbing ke jalan yang dipenuhi sinar terang. Sekali lagi aku hanya mahu diri ini selamat. Selamat dari segala fitnah dunia. Yang pasti di tika itu aku hanya seorang remaja yang sedang tercari-cari. Hala tuju dan arah hidup yang sebenar amat aku dambakan. Aku terlalu dangkal dengan hukum-hakam agama. Namun yang anehnya jauh di sudut hati aku begitu membenci segala macam perlakuan rakan-rakan yang menyakitkan mata dan hati. Aku jadi berontak. Enggan jadi seperti mereka. Mereka melakukan segala-galanya tanpa ada ruang-ruang sesal. Biarpun di waktu itu aku juga tidak sebaik mana. Juga punya kekurangan dan khilaf, jauh di sudut hati aku jadi benci dengan kehidupan yang tiada berhaluan. Lalu tekadku untuk kahwin muda semakin menyala-nyala. Bukan gelojoh, hanya mahu yang terbaik untuk diri sendiri. Biarpun ada suara-suara sumbang yang menyindir dan memperlekeh aku tidak peduli. Bagi aku mereka tidak akan pernah tahu apa yang sedang bersarang di hati.


Takdir ALLAH tidak siapa tahu. ALLAH mendengar dan melihat. Seseorang telah menyuarakan hasrat untuk melamar aku yang masih 'hingusan' mungkin...hehehe...Aku tidak melihat pada rupa-parasnya. Hanya yang aku lihat hanya keikhlasannya pada waktu itu. Katanya, biarlah kita berkahwin kerana ALLAH.



                                                                                 
                                                                                           
Pada waktu itu mungkin tidak begitu perlu untuk membicarakan soal 'aku cinta kamu'. Hampir tidak terlintas rasanya. Hanya mengharapkan luahan kata-kata itu akan hadir kemudian. Cukuplah andai ada sekelumit rasa sayang di dalam hati. Akhirnya daripada seorang, aku telah hidup berdua. Dengan seseorang yang sebelumnya terlalu asing bagiku. Di waktu yang sama aku melihat teman-teman terus memilih jalan kelam. Bertukar-tukar pasangan tanpa ikatan. Dalam diam memanjat syukur kerana aku telah berada di posisi yang selamat.









Yang lebih penting sekarang ini, anak-anakku mulai membesar. Sudah remaja seperti aku dulu. Seandainya jodoh mereka sudah begitu hampir, aku akan senang hati menerimanya. Semuanya hanya kerana satu sebab. Dunia sudah begitu panas dengan segala macam maksiat. Alam sudah begitu sedih dengan melihat di sana-sini remaja mengandung anak luar nikah. Buang anak dan segala macam titik-bengik yang amat menakutkan. Hanya yang perlu bagi adik-adikku semua, persiapkan diri untuk menjadi sebenar-benarnya MUSLIMAH. Lindungi apa yang harus dilindungi. Tutup dengan rapi apa yang perlu ditutupi. Kunci dengan kemas apa yang sepatutnya dipelihara. Tidak akan bernilai seorang wanita itu apabila dengan rela hati dirinya dijadikan bahan pameran.











0 ulasan:

 
Copyright suara hati... 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .