Followers

Wednesday, November 10, 2010

SOAL HATI

ASSALAMUALAIKUM:

DENGAN NAMA ALLAH, TUHAN MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG:
Segala puji bagi Tuhan seru sekalian alam. Selawat dah salam kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW, penutup segala Nabi dan Rasul:

Suara hati adalah halaman blog seorang orang awam. Yang masih dangkal ilmu dan pengetahuan. Apa yang mahu diperkatakan juga adalah perkataan-perkataan dari pemikiran seorang orang awam. Walau siapa pun kita, sudah tentu kita mempunyai satu tanggungjawab untuk saling menyampaikan kebaikan. Biar pun hanya sedikit yang mahu dikongsi, ia masih perlu juga dilakukan. Sampaikanlah kebaikan itu walau hanya dengan sebaris ayat.

Dalam era yang terkini, terlalu ramai dari kita yang tidak lagi memikirkan tentang soal hati. Hati adalah satu fungsi terpenting dalam tubuh setiap manusia. Baik hati seseorang itu, maka akan baiklah seluruh tubuhnya. Sebaliknya andai rosak hati, maka rosaklah perjalanan seluruh tubuhnya. Hati adalah ketua yang menggerakkan atau menjana sifat-sifat baik atau buruk dalam diri setiap manusia. Lalu sudahkah kita melihat jauh ke dalam hati kita. Menerobos hingga ke dasarnya. Merenung diri sendiri, hati yang sebagaimanakah yang menjadi milik kita. Sudah terasuhkah hati-hati kita agar selalu tunduk tawaduk kepada ALLAH Maha Pencipta.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai anugerah yang sangat banyak pada hari-hari dalam kehidupanmu. Oleh itu berusahalah untuk mendapatnya."

ALLAH telah memberi anugerah hati kepada setiap manusia. Maka asuh dan didiklah seketul daging yang bernama hati. Sucikanlah ia. Sentiasalah mensucikan hati sehingga akan kelihatan cahaya yang memantul ke wajah setiap dari kita. Kerana sesungguhnya cahaya di wajah adalah pantulan daripada cerminan di hati.

Ramai juga dari kita memiliki hati yang tidak tenang. Kacau dan bergolak. Maka marilah kita sama-sama memikirkan mengapa terjadinya begitu. Mungkin sahaja ia terjadi kerana:

1. Mungkin sahaja kita sendiri tidak memahami apa yang kita cari. Apa yang diri kita mahu.

Kita tidak tahu untuk apa kita dihidupkan. Malangnya kita tidak juga pernah mahu memikirkan. Sudah tentu sebagai manusia, kitalah khalifah di atas muka bumi ini. Manusia dipertanggung jawabkan untuk menjadi pemimpin. Lalu apakah kita sudah layak memimpin diri kita sendiri sebelum kita menjadi pemimpin terhadap apa yang ada di sekeliling kita. Bagaimana pula kita mahu memimpin diri kita? Jawapannya adalah dengan mendidik hati terlebih dahulu. Kerana hati yang terdidik sahaja yang akan dapat menundukkan nafsu.

2. Setelah kita kenal, kita akan tahu mendidik diri.

Untuk mendidik diri kita mestilah tahu membezakan di antara roh, akal dan nafsu. Ketiga-tiga itulah yang menggerakkan manusia. Ketiga-tiganya juga hanya ALLAH sahaja yang tahu cara mendidiknya. Kerana DIA yang menjadikan dan menyusun atur ke dalam diri manusia. Kita hanya mampu mengenalnya melalui ilmu rasa yang ALLAH anugerahkan kepada kita. Kita hanya perlu tahu dan memahami gelombang rasa dalam diri kita. Dengan gelombang rasa itu kita akan tahu bahawa peranan akal adalah untuk berfikir. Hati pula menjadikan kita berperasaan. Nafsu pula menjadikan kita berkeinginan terhadap sesuatu. Setelah kita kenal ketiga-tiganya itu, kita akan mulai mendidik yang kemudiannya akan mendorong kita untuk mengenal ALLAH. Dengan kata lain, kita perlu mengenal hakikat diri kita dengan ilmu rasa yang dipandu dengan ilmu wahyu.

SIFAT HATI

1. Ia adalah sesuatu yang amat peka dan menjadi wadah untuk dipenuhi dengan sesuatu. Sering saja hati ini menjadi perebutan di antara Malaikat dan syaitan. Mana satu yang dapat menguasai, dialah yang akan menang. Malaikat mahu merebut hati manusia untuk mengisi ilham dan hidayah. Manakala syaitan hanya akan membisikkan isi-isi kekufuran, ragu-ragu atau was-was.

2. Hati akan mudah merasa apabila kita mula ditimpakan dengan dugaan. Maka akan terbit pelbagai perasaan dari dalam hati. Seperti sedih, simpati, marah, cemburu dan pelbagai lagi.
3. Hati juga bersifat baik dan jahat. Sifat baik itu adalah mahmudah dan yang jahat adalah mazmumah. Sifat baik dan jahat telah menjadi fitrah terhadap manusia. Kita hanya perlu mendidik hati dari awal-awal lagi. Hati yang baik kita persuburkan dan yang sebaliknya cepat- cepat kita bendung.

BAGAIMANA MAHU MEMBENTUK HATI

Mahu membentuk hati hendaklah dengan belajar ilmu. Kerana hanya ilmu sahajalah yang akan menerangi hati. Ilmu itu ialah ilmu hati atau Ilmu Tassauf. Ia boleh dipelajari hanya sekadar untuk mengenal pengertian hati dan cara mahu menghampiri jalan sufi. Latihan perlu dilakukan daripada awal, jika sudah terlewat akan menjadi agak susah.
EMPAT PERINGKAT HATI

1. Hati yang terlalu terang bersinar adalah hati Muqarrabin yang dapat melihat Loh Mahfuz, kasyaf dan ilmu laduni
2. Hati yang cerah pula adalah hati orang-orang soleh yang selalu sahaja benar dan selalu juga tepat pilihannya ketika menilai kebenaran.
3. Hati yang kabur adalah hati mukmin yang begitu kerap tersilap dalam memilih dan menilai kebenaran.
4. Hati yang buta dan tidak akan pernah nampak kebenaran dan ia banyak dimiliki oleh orang- 
orang kafir.

Apabila kita sudah mengenal diri dan hati kita, marilah kita sama-sama memimpin hati kita dengan iman. Hanya orang yang berakidah sahaja akan mempunyai hati dan jiwa yang bebas dan subur. Orang yang berjiwa tauhid akan juga mempunyai sifat berani dan hanya akan takut kepada ALLAH sahaja. 
Andai kita sedang benar-benar marah, ia adalah fitrah sebagai manusia. Namun cepat-cepat siram api yang sedang marak dengan kejernihan hati yang akan segera menundukkan nafsu. Dalam sekelip mata kita akan tenang semula. InsyaAllah.

ANDAI MAHU MENGGILAP HATI, MARILAH KITA SAMA-SAMA MEMPERBANYAKKAN ZIKRULLAH DAN MENGINGATI ALLAH. INI ADALAH PERINGATAN UNTUK DIRI TUAN RUMAH DAN UNTUK SESIAPA SAHAJA YANG SUDI BERKUNJUNG. SEGALA APA YANG BAIK ADALAH DATANGNYA DARI ALLAH DAN YANG BURUK ADALAH DARI KESILAPAN KITA SEBAGAI MANUSIA. JIKA ADA KESILAPAN DALAM APA YANG DICORET, HARAP SUDI MEMBERI TEGURAN.

WASSALAM................RAIHAN ZAFFYA


0 ulasan:

 
Copyright suara hati... 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .