Followers

Saturday, November 20, 2010

50 KOLEKSI KATA-KATA RAIHAN ZAFFYA

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG
SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN MUHAMMAD S.A.W


Di sini adalah koleksi kata-kata Raihan Zaffya yang pernah diterbitkan di fb Raihan Zaffya. Ia adalah pemikiran insan kerdil yang masih dangkal ilmu. Kalau sudi, sama-samalah kita jadikan sebagai satu renungan.

 1- Andai lidah api yang menjulang itu bisa bicara, ia masih tidak dapat menandingi kejahatan lidah manusia.

2- Pabila hati telah retak, walau dicantum semula mungkin sahaja tidak akan kembali ke asalnya.

3- Manusia itu bukanlah malaikat yang bersih dari noda dan dosa. Juga bukanlah syaitan yang di penuhi kejahatan. Ia di tengah-tengah kebaikan dan keburukan. Selagi bernama manusia, ia tetap tidak bisa sempurna.

4- Dalam hidup hanya ada dua pilihan, buruk atau baik. Tidak akan pernah ada pilihan ketiga atau keempat. Jangan tersilap bila memilih dan jangan ada sesal di hujungnya.

5-Tika kau mula menguak pintu kehidupan, maka bersedialah untuk melakar rentetan warna-warna di atas kanvasnya. Satu pintu yang telah ditinggalkan bernama sejarah dan satu pintu di hadapan kau akan mulai terus melangkah. Sehinggalah pintu demi pintu akan membawamu ke pintu yang terakhir. Maka di situlah berakhirnya pintu kehidupan.

6- Berbuatlah sesuatu dengan perhitungan akal kerana hanya akal yang jernih akan menunduk kan nafsu.

7- Allah itu menjadikan manusia tidak terlalu sempurna kerana yang sempurna adalah miliknya.

8- Sayangi seseorang dengan setulusnya hati. Selami perasaannya, terima dia seadanya. Selalu bersama ketika duka dan gembira. Ambil tahu apa yang sedang dirasainya. Waktu sihat atau sakit peningnya. Bila telah melakukan segalanya, sayang itu akan ada manisnya.

9- Perkara yang hampir kepada manusia adalah maut. Benda yang paling tajam adalah lidah manusia. Paling mudah dikumpul dalam hidup adalah dosa. Pergunakanlah lidahmu sebaik-baik nya untuk menghindari dosa sebelum maut menjemput.

10- Pergantungan sesama manusia terlalu sempit batasnya. Sedangkan pergantungan kepadaNYA kita tidak akan ditinggalkan walau sesingkat kerdipan mata.
11-Umpama mata kail tersangkut di dada, sakit mahu direnggut sakit juga andai dibiar sahaja.

12- Janganlah kamu membaja lalang yang menghijau dengan mematikan tanaman padi.
13- Ketika sabar itu berada di dua lambungmu, kamu mula mengenal diri. Ketika sabar itu telah berada di akalmu, mudah-mudahan Allah akan menaikkan satu darjat buatmu.

14- Seketika rindu kepada Allah adalah jauh lebih berharga dari seisi dunia ini.
15- Sewaktu merahmu sebesar telapak tangan, malam siang ibu dodoikan. lampin ibu tukarkan, susu ibu berikan. Sakit ibu kewalahan, nyamuk menggigit ibu halaukan. Sesudah dewasa ibu kau lupakan. Tinggal jauh tiada perkhabaran. Wang ringgit tidak kau hulurkan. Akhirnya tenggelam ibu dari ingatan. Jangan begitu kawan! Aku bimbang nanti kau tidak dapat melihat keranda ibu mu jiran-jiran usungkan.

16- Teman! Usah bersedih andai ada yang tidak ingin bersahabat denganmu. Sesungguhnya Allah telah menetapkan setiap orang itu dengan kumpulan-kumpulannya. Allah akan mengikat hati- hati manusia menurut zon-zon yang telah ditetapkan. Di kumpulan mana kamu berada itu adalah yang terbaik buatmu.

17- Tika engkau terlalu merindui mati, engkau telah begitu hampir pada Tuhanmu.
18- Putri! kau renunglah ke mata tua ibumu yang tidak bersinar lagi. Nanti kau akan mengerti berapa banyak peluh dan susu yang telah ibu teteskan untukmu.

19- Tidak mudah untuk menilai di hati biarpun sesuatu itu sudah jelas di mata.
20- Biarlah sepi itu berlalu pergi dari hatimu dan undanglah bahagia mengisi ruang-ruang kosong itu.

21- Cinta itu bukan paksaan. Lahir dari dua perasaan. Datangnya tidak diundang, perginya tiada siapa merelakan.
22- Taubat itu adalah kunci istiqomah bagi orang-orang yang soleh.

23- Takutilah kamu akan syaitan yang terdiri dari kalangan manusia.
24- Terima kasih Tuhan yang telah membuat aku terlalu banyak kehilangan. Sehingga akhirnya aku semakin meyintaiMU kerana aku telah faham akan maksudMU berbuat begitu.

25- Aku lebih berasa aman dengan musuh yang berakal dan berasa takut kepada sahabat yang gila. Akal adalah seni dan aku mengetahui jalan menyelaminya sementara kegilaan begitu sukar dijangka arahnya.

26- Dalam hidup kita perlu bersedia untuk kehilangan. Sama ada kita akan ditinggalkan atau kita terpaksa meninggalkan sesuatu yang kita sayang. Kerana sebesar mana pun sayang kita terhadap sesuatu ia tetap bukan milik kita.
27- Hati yang cacat begitu sukar mahu dibaik pulih. Namun dengan kemahuan ia masih boleh terjadi biarpun terpaksa mengambil masa yang begitu lama.

28- Amat sukar mahu menjadi insan yang berhati mulia namun amat bahagia tika dapat memiliki nya.
29- Budi baik sering tidak kelihatan biar melimpah seluas lautan. Keburukan juga jelas pada peng lihatan biar hanya sekuman melayang ke bumi.

30- Andai sesuatu itu milik kita, sayangi ia sepenuh hati. Seandainya ia bukan hak kita, biarkan sahaja ia pergi. Bila kita melakukan dengan ketulusan, tiada siapa yang akan rugi dan sakit hati.
31- Perempuan hanya dengan satu akal dan sembilan nafsu. Oleh itu kerah akalmu, pacu minda mu agar satu akal itu boleh menundukkan sembilan nafsu.

32- Kejahatan itu sedang mengintai-intai untuk mengusir sedikit kebaikan yang menghuni di dalam hati. Semailah kebaikan yang sedikit cuma agar bercambah menjadi benteng diri.
33- Apa yang terjadi saban hari adalah pelajaran buat kita. Ia percuma dan akan rugi orang yang tidak tahu menghargainya.

34- Apabila mata berkata-kata sebenarnya ia sedang membohongi hati. Ketika hati berkata-kata ia sedang membohongi akal. Sesungguhnya akal yang dibelai akan mampu menguasai mata dan hati.
35- Orang yang bijaksana akan berkata-kata dengan berhemah. Orang yang dungu hanya akan berkata-kata dengan nafsu amarah.

36- Biar sahaja menjadi yang satu di antara seribu andai yang satu itu jauh lebih baik dari yang seribu.
37- Ketika kebaikan telah menjadi seringan buih lautan dan kejahatan telah mulai menguasai nafsu dan hati, tika itu kita bukan lagi seorang insan.

38- Lontarkan sahaja kerikil di hati kerna jika disimpan ia akan sakit dan memedihkan.
39- Semalam tidurku di rahim ibu. Hari ini lelapku di kamar yang mewah. Semoga 'esok lusa' lenaku di daerah paling indah.

40- Mengalah jadi berhemah bila diletakkan pada tempatnya. Berjuang jauh lebih mulia daripada berdiam diri kerna bila kita terus berdiam diri, perlahan-lahan keyakinan diri akan mati.

41- Hari ini alam sedang bersedih. Mengalirkan air mata bertali arus tanpa henti. Sekujur tubuh ku begitu dingin di bawah langit putih.Apakah hingga esok hari alam masih begitu. Menangis dan menangis dengan resah yang tiada siapa pun tahu.

42- Kehidupan seperti satu transit antara pelabuhan ke pelabuhan dan dari satu pintu ke satu pintu.

43- Seseorang yang tidak suka pada orang yang baik adalah kerana hatinya telah kotor.

44- Maafkan aku andai telah tersesat jalan. Jangan kau hanya pandai menghukum dengan caci nista dan umpat cela. Sedangkan aku hanya manusia biasa yang terkadang tersilap langkah dan tewas di lorong-lorong hidup yang terlalu rumit dan perit.

45- Ingin sekali aku berdiri di pusar bumi. Mahu mengkhabar pada dunia. Jangan kamu sakiti hati bumi menjadi puing-puing berserakan. Jangan kau robek jantungnya menjadi pecahan bernanah. Jangan kau lukai jiwanya menjadi serpihan kecil berterbangan. Ketahuilah bumi juga punya rasa. Bumi juga punya marah. Suatu ketika sabarnya kan lenyap dan menghilang.

46- Mengharaplah pada yang Abadi, pemilik jiwa dan hati. Penawar luka pengubat segala rasa. Syukron ya Allah.

47- Kehidupan hanya sesingkat batas waktu. Pabila tiba masa ia akan ditinggalkan.

48- Di antara dosa dan pahala tiada dinding yang menjarakkan. Di antara hidup dan mati adalah senipis tabir yang memisahkan.

49- Bila Allah menarik kembali sesuatu nikmat, syukuri sahaja. Ada sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya.

50- Mengapa harus ada benci di hati andai diri sendiri tidak mahu disakiti. Mengapa ada dendam yang dipendam sedangkan ia hanya memakan diri. Mengapa ada sayang yang tidak dizahirkan sedangkan ia membahagiakan apabila dikongsi. Mengapa ada kasih yang tidak dilafazkan sedang kan ia akan bisa membuat kita saling mengerti.



**************RAIHAN ZAFFYA**************  

2 ulasan:

ticher ina said...

sukeeenyeee..
paling suka yg num 50..
huhu

raihan zaffya said...

emm..hehe

 
Copyright suara hati... 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .