Followers

Saturday, January 1, 2011

APA YANG 'SEPATUTNYA' TERJADI TELAH PUN TERJADI

Assalamualaikum dan salam sejahtera
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad S.A.W,
para isteri, sahabat-sahabat dan kaum keluarga baginda

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang

6 Dis 2009 bersamaan 19 Zhulhijjah 1430H

7-15pg...
Seawal pagi aku sudah keluar mengambil angin pagi sambil meregangkan otot-otot yang agak tegang. Hari itu tidak ke dapur untuk menyiapkan sarapan pagi. Putri sulungku, Ecah atau 'ayong' yang pulang bercuti semesta mengambil alih tugasanku pada pagi itu. Memang begitulah ayong, setiap kali berada di rumah. Tidak lelah meringankan tangan membantu aku. Ayong putri manis, sweet seventeenku, sahabat baik dan teman sembangku. Ayong tempat perkongsian segala masalah. Ayong kadang-kadang kata-katanya 'lebih dewasa' daripada aku..hehee..

Selesai menyediakan sarapan pagi, ayong menonton tv sebentar. Aku pula berjumpa dan berbual-bual dengan seorang jiran di tepi padang. Sedang menonton tv, ayong seperti biasa yang tidak pernah letih bercakap, berbual-bual dengan ayahnya. Hmm, ayong dah berangan-angan nak memohon kerja sebaik sahaja menamatkan pengajiannya dalam jurusan Kejuruteraan Teknilogi Multimedia. Asyik tersenyum dia apabila membayangkan dirinya sudah bekerja dan membantu kami sekeluarga.

Hidangan yang sudah tersedia, ayong tidak jamah. Sebaik sahaja terlihat adiknya 'angah' keluar dari bilik, ayong langsung menerpa. Angah terpinga-pinga tapi menurut sahaja tarikan tangan ayong yang mengajaknya menunggang basikal. Kedua beradik berbasikal seawal pagi. Hidangan di dalam rumah juga belum tersentuh. Ketika melewati tempat aku sedang berbual-bual, ayong tersenyum lebar sambil melambaikan tangan ke arahku. Aku membalas lambaian sambil tersenyum. Dalam hati berbisik, "sudah besar anak daraku". Kemudian mereka menghilang dari pandangan.

Tidak sampai 15 minit, terdengar jeritan seorang jiran. Kemudian anak bongsuku yang kebetulan sedang berada di padang berlari mendapatkan aku. Imran memberitahu, ayong dan angah jatuh dari basikal. Aku tetap berlari ke tempat kejadian walaupun di dalam hati tidak mengesyaki sesuatu yang buruk akan berlaku. Pada fikiranku mungkin luka kecil atau pitam sahaja. Sayangnya ketika tiba ke tempat itu, aku lihat ayong seperti sedang berhalunasi. Kelopak matanya separuh terbuka, lemah sekali. Angah pula sedang menangis ketakutan. Mungkin juga rasa bersalah kerana ayong yang membonceng basikal waku itu.

Tidak ada suara kuat yang kedengaran. Hanya dengusan nafas payah dan rintihan yang begitu perlahan. Hampir sahaja tidak kedengaran. "Ayong sakit mak!! sakit!!" Hanya itu luahan yang dapat aku dengar. Suara lemah ayong buat aku jadi tak menentu. "Sabar sayang, sabar. Ingat Allah banyak-banyak. Instighfar sayang." Hanya itu juga kata-kata semangat yang mampu aku luahkan. Dengan perlahan aku dengar ayong menuruti kata-kataku, beristighfar berkali-kali sambil kedua tangan tidak henti-henti menekan-nekan dahi. Ayongku kelihatan terlalu sakit. 

Tanpa berlengah kami kejarkan ayong ke klinik kesihatan. Mujur juga jiran kami bekerja di situ. Agak mudah kerana dia yang menghubungi orang-orang tertentu. Hari minggu memang semua orang bercuti. Dalam perjalanan ke klinik kesihatan, ayong merintih lagi, berkali-kali tanpa henti. "Mak, jangan hantar ayong tempat lain mak. Ayong nak balik rumah ayong!!" rintih ayong lemah. Serentak dengan itu berjuraian air mataku. Aku jadi begitu lemah ketika melihat kesakitannya. Aku genggam tangan ayong kuat sekali. Tidak mahu aku lepaskan. Setiba di klinik kesihatan, ayong mula muntah darah. Kelopak matanya juga semakin berat untuk dibuka. Jantungku seakan berhenti berdetak. Ah! petanda apakah itu? Aku begitu gusar sekali. Seorang pembantu klinik menghampiri aku dan berkata lemah. "Kak, sabar ya. Aisyah dah muntah darah, tu tanda kurang baik." Aku terkedu. Terdiam. Terpempan. 'Tanda kurang baik?? kurang baik macam mana?? apa yang jadi sebenarnya??. Banyak soalan berpusing-pusing di kepalaku tapi aku tidak mampu untuk meluahkannya sehinggalah aku terdengar suara berkata, "kak, kami kena hantar anak akak ke hospital secepat mungkin. Aku hanya akur sahaja.

Di dalam ambulan yang bergerak laju, ayong membuka mata semula. Direnungnya dagu angah yang berlubang besar dan berdarah. Dua beradik berbalas renungan hiba. Sedang aku masih menggenggam kuat tangan ayong. Melihat luka besar di dagu angah, air mata ayong merembes keluar. Ayong sedih melihat adiknya luka berdarah sehingga ayong terlupa sebentar kesakitannya sendiri. Air mataku juga jadi begitu murah waktu itu. Aku agak lega kerana sepanjang perjalanan, ayong tidak muntah lagi. Harapan berbunga kembali di hati kecilku.

Tiba di hospitak TTJ, ayong lemah kembali. Seorang doktor pakar berbangsa India memeriksa buah hati sulungku. Scan segera dilakukan. X-ray juga. Ketika itu hanya aku yang terpaksa berhadapan dengan doktor. Suami terpaksa menguruskan soal angah yang turut melakukan pemeriksaan. Selesai scan dan X-ray, doktor memberitahu, "puan, ada pendarahan kecil dalam otak anak puan." Aku kaget sekali. Sekali lagi terasa sakit di jantungku. "apa maksudnya doktor, macam mana nak atasi. tak ada ke ubat yang boleh hentikan pendarahan." Bertalu-talu aku menyoal doktor India itu. Lambat sungguh dia menjawab soalan aku. Tak sabar rasanya bila melihat dia asyik merenung aku. Hingga lah dia bersuara, "puan, setakat ni tidak ada ubat untuk otak." Jadi macam mana anak saya nak sembuh? nak hentikan pendarahan kalau tak ada ubat?" Aku bertanya dengan kebingungan. Doktor mula menerangkan, aku cuma diminta menunggu perkembangan dalam jangkamasa 7 hari. Doktor kata, ada kemungkinan pendarahannya akan mulai mengecut dalam 7 hari dan akan pulih secara semulajadi. Aku percaya, aku mula menyimpan harapan semula. Masih mengharap 7 hari itu akan mampu mengubah semuanya. Doktor juga berjanji akan memasukkan ayong ke dalam wad pengawasan khusus atau mungkin wad ICU. Sekali lagi aku akur.

Sayangnya satu perkara pelik yang berlaku. Ayong hanya di tempatkan di wad biasa dengan pengawasan doktor junior. Mengapa pula alat bantuan pernafasan ayong dibuka? Apa semua ini? Tidak pentingkah kes ayong? Tidak berhargakah nyawa ayong? Aku jadi berontak!!. Di atas katil wad, ayong muntah darah lagi. Ketar tanganku menadah muntah darah ke dalam basin kecil yang diberi oleh jururawat. Lemah juga tubuhku. Ayong juga mulai semakin lemah. Aku berjumpa jururawat bertugas kerana tiada doktor yang kelihatan. Jururawat hanya bersikap acuh tak acuh. "Tak apa kak, tadah je muntah tu. Akak jaga anak akak pastikan dia tidak pengsan. kejutkan dia setiap 1/2 jam sekali. Akak selalu soal diri dia. kalau dia masih kenal diri sendiri, kira oklah tu." Kenapa begitu mudah sekali??. Kenapa aku yang mesti mengawasi sedangkan aku tak arif dunia perubatan. Aku tak faham tentang apa sahaja kesan atau akibat daripada pendarahan itu!! Aku berontak lagi. Sakit sekali hati ini. Sehinggalah ayong muntah darah untuk kali ke 6, masih tidak ada tindakbalas daripada doktor. Aku semakin tidak menentu.

Kali ini omelan ayong tidak henti-henti. Sayu sekali. Sebentar-sebentar pula dia ketiduran dek sakitnya yang terlalu. Tidak jemu-jemu kubisikkan kalimah-kalimah suci ke telinganya. Terkadang bila dia sedar kembali, gerakan bibirnya mengikuti kalimah yang aku bisikkan ke telinganya. Setiap kali dia tersedar akan aku bertanya siapa dia dan siapa aku. Aku jadi lega setiap kali dia berkata, "ni ayong, tu mak." Harapanku berbunga lagi tidak tahu untuk kali ke berapa. Namun kegelisahan masih tidak dapat aku sembunyikan. Sehinggalah ketika kulihat jam sudah 2 petang, ayong semakin layu. Panggilanku jarang bersahut. Harapan yang baru berbunga, lenyap kembali. Sewaktu suamiku mahu pulang ke rumah sebentar untuk mengambil pakaianku, ayong mampu membuka mata. Ketika suamiku memberitahu pada ayong, dia mahu pulang sebentar. Ayong merenung tepat ke wajahnya. Sayu sekali pandangannya. Suamiku segera mengucup dahi ayong. Sedaya upaya ayong cuba mengangkat tangan untuk melambai suamiku yang mahu beredar. Suamiku berhenti seketika lalu merenung lama putri kesayangannya. Kemudian terdengar lemah ayong bersuara, "ayah, ayah panjang umur, ayong tak." Duhai!! robek hatiku. Hancur perasaanku. Malangnya suamiku tidak dapat menangkap maksud kata-kata ayong. Padanya mungkin ayong sedang berhalunasi kerana menahan sakit. Aku pun mahu memikirkan yang baik-baik setelah terngiang-ngiang kata-kata doktor pagi tadi. Ada 7 hari lagi untuk melihat perkembangannya. Setelah suamiku pulang sebentar, ayong berkata pula padaku, "mak, maafkan ayong mak. maafkan ayong." Aku terkedu sekali lagi. Tidak ada kata-kata yang mampu membalas ucapan ayong. Bukan aku tidak mahu, aku mahu sekali menjawab tapi suaraku tidak mampu keluar. Aku sedang berperang dengan perasaan sendiri. Tangan ayong semakin kuat aku genggam. Aku menangis dan menjerit dalam hati namun air mataku tidak kelihatan. Aku takut jika ayong melihat air mataku, dia akan jadi lebih lemah. Aku kuatkan semangat yang masih ada. Namun jauh dalam hati aku menangis semahunya. Tuhan, apakah ini semua???..

Tidak sampai 5 minit dada ayong berombak kencang. Nafasnya mencungap. Aku jadi panik. Aku takut sekali. Terlalu takut. Nafas ayong terhenti tiba-tiba. Apa maksdunya??. Aku laung nama ayong berkali-kali, aku goncang tubuhnya sedaya upaya. Sayangnya ayong tidak bergerak lagi. Wajah ayong terus memucat dan kakinya sedingin salji. Ayong sudah begitu barulah datang seorang doktor perempuan dengan wajah tenang-tenang saja. Seperti tidak ada apa yang berlaku di depan matanya.
Doktor menepuk-nepuk pipi ayong dengan santai. Hanya memanggil nama ayong berkali-kali. Tidak ada juga gerakan balas. Akhirnya doktor mula berwajah cemas, alat perentak dada digunakan. Kali keempat barulah ayong bernafas semula. Malangnya ayong sedang berada dalam kesakitan yang teramat sangat. Tidak mampu untuknya bertahan. Suamiku pula belum datang ke hospital semula. 

Tidak lama kemudian datang seorang doktor pakar memperkenalkan diri. Kulihat waktu itu hampir jam 5 petang. Aku marah pada doktor pakar itu sebenarnya. Mengapa dia baru muncul setelah berjam-jam ayong menanggung derita. Sayangnya aku tidak mampu lagi meluahkan marah. Doktor segera memberitahu perlu dilakukan sesuatu ke atas ayong. Perlu diberi suntikan pelali untuk jangka masa 24 jam agar ayong dapat bertahan dari kesakitan. Aku akur juga kerana tidak sanggup melihat kesakitannya. Ini bererti ayong akan koma sebentar lagi. Ia juga bermakna aku tidak dapat mendengar suara ayong lagi. Kali ini air mata tidak dapat aku bendung lagi. Selesai suntikan pelali, pelbagai jenis wayar dipasang, berselirat di tubuh ayong. Alat bantuang pernafasan dan mesin bantuan hayat amat menakutkan aku. benar-benar tidak senang duduk. Kali ini doktor sentiasa memantau setiap perkembangan ayong. Sayangnya untuk kali ini aku sudah hilang sabar. "Kenapa masih biarkan saja di wad biasa?? kenapa tak buat perawatan rapi?? kenapa biarkan saja anak saya?? Aku benar-benar buntu. Kemudian doktor menerangkan, sebentar lagi ayong akan discan semula. Keputusan scan akan menentukan tindakan yang akan diambil seterusnya. Aku jadi geram, kenapa baru sekarang nak buat?? setelah berjam-jam terbiar!!!. Doktor menyabarkan aku hingga aku tenang semula.

Selesai scan, doktor menerangkan pendarahan di otak ayong sudah merebak dengan pantas. Hospital TTJ tidak mampu berbuat apa-apa. Mesti dihantar ke HBKL dengan segera. Aku sudah terlalu lemah. Hilang kata-kata. Hilang tenaga. Hilang semangat. Suamiku yang datang semula ke hospital, tanpa sengaja telah meraung ketika melihat ayong terkaku koma. Aduh! sakitnya dadaku. Sakit sangat! aku turut menangis teresak-esak. Pukul 6-30ptg ayong dikejarkan ke HBKL. Kali ini aku sendirian lagi menemani ayong. Suamiku terpaksa memandu kereta kami. Masuk sahaja ke dalam ambulan keralatan berlaku lagi. Tabung oksigen tidak berfungsi. "Apa lagi niii??". Sabarku diuji lagi. Kenapa tidak periksa terlebih dahulu baru bawa ayong masuk ke dalam ambulan??. Bercampur baur perasaanku. Gusar, sedih, sakit hati dan tidak sabar menjadi satu. Terasa mahu menjerit melihat kecuaian demi kecuaian berlaku.

Tiba di HBKL ayong terus dikejarkan di wad kecemasan. Hatiku menjadi agak sejuk dengan kebaikan dan budi-bahasa doktor pakar di HBKL. Sekali lagi scan dilakukan. Di masa yang sama adik-beradik dan ipar duaiku sudah mula berkumpul dan memberi semangat kepadaku. Selesai scan doktor memanggil aku. Entah mengapa kali ini firasatku buruk sekali. Serentak itu juga tubuhku jadi longlai. Aku tidak lagi mampu berjalan sendiri. Kakak dan adik iparku memapah aku untuk menemui doktor. Doktor menyapa aku dengan baik. Minta aku banyak bersabar, ingat pada Tuhan dan ketentuanNya. Aku hanya mengangguk lemah.
Doktor mahu aku melihat hasil scan. Aku lihat ada retakan panjang pada tempurung kepalanya. Juga kesan pembengkakan. Tidak mampu untuk aku meluahkan kata-kata biarpun terlalu banyak soalan mahu aku ajukan. Aku diam sahaja sambil cuba menahan gelora di hati. Doktor  memberitahu ayong sudah terlalu kritikal. Penarahan semakin membesar dan tempurung kepala tidak lagi mampu menampung pembengkakan. Perlu dibuang sebahagian daripada tempurung kepala. Doktor mahu aku membuat pilihan yang amat berat untuk aku lakukan. Mahu mencabut bantuan hayat dan ayong akan 'pergi' masa itu juga atau aku mesti menandatangan surat persetujuan pembedahan. Aku buntu mahu berfikir sendiri. Suamiku pula tidak sampai-sampai lagi akibat kesesakan lalu lintas di lebuhraya. Aku ambil sedikit masa untuk berfikir semasak-masaknya. 

Doktor menerangkan dengan jelas agar aku faham. Harapan untuk ayong hidup andai dilakukan juga pembedahan hanya 20%. Andai pembedahan berjaya, ayong tidak akan jadi seperti ayong lagi. Ayong tidak akan mampu bergerak atau mengurus diri sendiri. Ayong juga tidak mungkin akan kenal diri sendiri. Oh Tuhan!!! Pilihan apa yang aku ada??. Harus bagaimana aku TUhan??. Berilah aku kekuatan, beri aku semangat." rintihku dalam hati. Aku cuba jernihkan fikiran untuk mencari yang terbaik. Masa begitu suntuk untuk aku menunggu suamiku. Keputusan harus aku ambil sendiri. Aku sempat berfikir bahawa kedua-dua pilihan memang tidak memberi apa-apa harapan. Dan  firasatku juga berkata, walau apa aku pilih, kesudahannya masih sama. Akhirnya dengan amat sedikit harapan aku memilih pembedahan. Aku cuba membohongi diri sendiri. Memberi harapan palsu bahawa ayong masih ada peluang untuk hidup. Tidak mengapa andai ayong tidak lagi kenal diri sendiri. Aku tidak juga peduli andai terpaksa mengurus ayong seumur hidupku. Atau memasukkan air susu ke dalam tiub ke kerongkong ayong. Juga mengganti lampin pakai buang ayong saban hari. Aku sanggup lakukan segalanya asalkan ayong tetap di sisi. Kerana aku tidak sanggup berpisah dengan ayong. Kerana aku sangat sangat sayang ayong. Dengan harapan yang begitu sedikit, aku memilih pembedahan. Dengan tangan ketar aku menandatangani borang pembedahan.

Setibanya suami ke hospital, adik iparku menerangkan segala-galanya. Berjurai air matanya. Begitu juga aku dan semua yang ada di situ. Kelopak mataku sudah mulai bengkak. Air mata tiada hentinya. Bertali arus dengan laju. Kami menunggu dengan sabar di ruang menunggu bilik pembedahan. Masa terasa begitu lambat sekali. Sementara doktor melakukan tugasan, aku tidak henti-henti membaca surah Yassin. Mohon dipermudahkan segalanya. Tidak lama selepas itu seorang doktor pakar bedah keluar lalu memanggil aku dan suamiku. Dengan lemah doktor memberitahu, pembedahan terpaksa ditangguhkan akibat tekanan darah yang semakin tidak stabil. Tekanan darah juga semakin rendah. Doktor kata kalau dilakukan juga pembedahan waktu itu, pendarahan yang teruk akan berlaku dan jawapannya hanya maut. Aku mengusap dada dengan mata basah dan bengkak. Kemudian doktor sedikit bersungut, katanya "saya hairan kenapa doktor dari Seremban biarkan pesakit ni hingga 7-8 jam tanpa hantar ke sini secepat mungkin." Kata-kata doktor tidak berjawab kerana aku dan suami tidak ada jawapannya. Selepas itu doktor masuk lagi. Aku membaca Yassin untuk entah kali yang keberapa.

Mungkin kerana terlalu letih dan mengantuk, aku hampir terlena ketika membaca Yassin. Antara sedar dan tidak aku terdengar suara ayong memanggil, sayup-sayup sekali. Lalu aku membalasnya, "ayong!" aku melaung agak kuat. Kemudian aku dikejutkan oleh kakakku, "kenapa ni dik?". "Entah, mimpi ayong panggil", sahutku sambil menangis. Lantas kakakku agak hairan kerana katanya aku tidak tidur. Mataku masih terbuka tetapi mengapa aku seperti menyedari apa yang berlaku sebentar tadi. Aku pujuk lagi hati, aku sambung membaca kalimah suci. Kali ini detik hatiku amat berbeza dari sebelumnya. Aku mulai berbisik dalam hati. Aku berdoa dalam diam. "Ya Allah, kali ini aku redha apa sahaja yang Engkau akan beri kepadaku. Andai ia yang terbaik untuk anakku Nur Aisyah, aku akan terima dengan lapang hati. Engkau permudahkanlah perjalanannya ya Allah. Kau bantulah dia, Kau temani dia dalam detik-detik akhirnya ya Allah. Aku serahkan dia kepadaMu ya Allah. Aku serahkan dia dalam penjagaanMu yang sempurna ya Allah." Selesai berdoa hatiku jadi agak tenang namun air mata masih belum kering.

Tidak lama kemudian aku dan suamiku dipanggil lagi. Kali ini aku pergi dengan tenang. Firasatku juga amat jelas. Hanya mahu mendengar sendiri apa kata doktor. Doktor memberitahu sebentar tadi degup jantung ayong sudah berhenti. Ayong tidak lagi bernafas untuk beberapa detik. Tapi kata doktor lagi, kemudiannya degup jantung berfungsi kembali. Namun doktor telah mengambil keputusan untuk membatalkan pembedahan dan mahu memindahkan ayong ke wad ICU. Biar itu penerangan doktor tapi aku tidak merasakan itu hakikatnya. Hati kecil dan naluriku sebagai ibu kuat mengatakan ayong sudah tidak ada lagi. Memikirkan itu aku berpaut pada suamiku agar aku tidak rebah. Tapi aku merahsiakan apa yang aku rasa daripada suamiku. Pada waktu itu juga pandangan mataku mulai kabur dek air mata yang semakin laju. Hatiku berbisik, "andai ini ketentuanMu ya Allah, aku telah redha."

Kemudian kami berpindah ke ruang menunggu di wad ICU. Tidak sabar menanti doktor memanggil ku untuk melihat bagaimana sebenarnya ayongku. Tidak sampai 20 minit kami dipanggil doktor lagi. Kali ini masuk je ruangan doktor. Doktor mahu kami duduk di hadapannya. Doktor dan kami saling berpandangan. Lambat-lambat doktor bersuara, "abang, kakak...kami dah cuba apa yang mampu..... sayangnya kami tak dapat berbuat apa-apa...Nur Aisyah sudah tidak ada.....Allah sayang dia....tanpa sedar suamiku menangis kuat lalu berlari meninggalkan ruangan doktor, tidak tahan hatinya menerima hakikat itu. Sedang aku?? kenapa aku tidak menangis?? mana pergi air mataku??  kenapa kering tiba-tiba?? kenapa aku cuma diam??..aku dan doktor saling berpandangan hingga akhirnya doktor mengarahkan jururawat memberi aku secawan air putih. "Kak, baca selawat, minum air ni ya" dan aku hanya menurut sahaja seperti anak kecil. Sesudah meneguk sedikit air, aku terus berdiri dengan tenang. Yassin di tangan, aku genggam erat. "Akak nak tengok anak akak." Kataku juga tenang. Jururawat memimpin tanganku lalu membawa aku ke katil ayong. Aku minta jururawat meninggalkan aku sendirian. Aku selak kain penutup wajah ayong dan aku kucup wajahnya tanpa ada air mata yang jatuh. Aku usap kepalanya yang sudah bercukur sebelah dan kukucup lagi. Setelah puas, kuhadiahkan bacaan Yassin lagi. Dengan cukup tenang dan penuh dengan rasa sayang.

Hari itu tepat 2.45pg sepertiga malam, bersamaan hari Isnin 20 zulhijjah, perginya ayongku, Nur Aisyah. Pagi yang sama, pukul 9 pagi aku telah memandikan ayongku, buah hatiku, kekasihku, sahabatku dunia akhirat untuk yang terakhir kalinya. Aku siram lembut air ke tubuhnya. Perlahan- lahan dan dengan berhati-hati. Aku tidak mahu ayongku sakit lagi andai aku kasar memandikannya. Kemudian dengan rasa kasih juga aku pakaikan dia pakaian baru yang paling mahal pernah aku belikan untuknya. Semuanya serba putin, bersih sekali. Kulihat ayong bagaikan sedang tidur dengan lena sekali. Wajahnya bersih seperti sedang tersenyum padaku. Kesan jerawat-jerawat kecil yang nakal tidak lagi kelihatan sama sekali. Semuanya hilang begitu sahaja. Aku cukup tenang ketika menatap wajahnya buat terakhir kali. Aku huga sudah bersedia untuk menemani dan menghantarnya ke rumah barunya, yang lebih besar dan lebih indah. Aku sudah bersedia untuk mengembalikannya  semula kepada Tuannya. Dan aku amat yakin dan pasti pemeliharaan Tuannya jauh lebih sempurna dari penjagaanku. Aku juga semakin tenang bila memikirkan kasih-sayangNya jauh lebih besar dari kasih-sayangku sendiri. Akhirnya aku iringi ayong ke daerahnya yang ABADI. Yang memisahkan antara yang hidup dan yang mati. Namun apa yang pasti ayong masih hidup dan tetap hidup di dalam hatiku. Sampai bila-bila, selagi ada nyawa dikandung badan.

AL-FATEHA...........AMIN...... 
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh..Amin..

Hakikat kematian, sesungguhnya kematian hanyalah berpisahnya roh dan jasad, bukan lenyapnya roh itu. Roh itu akan tetap hidup dan kekal sampai bila-bila.

Allah berfirman;
"Janganlah engkau berfikir bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira."641

WASSALAM......

6 ulasan:

~Catatan Hidup *** QuRrAtuL iSmAt~ said...

Sangat sedih baca entri ini kak...

raihan zaffya said...

itulah sebuah ketentuan dik..

Anum Shukri said...

sedih...!!!

Sari said...

kak sedih tapi rasa geram dan sakit hati dengan pihak hospital TTJ yg tak ambil serius keadaan pesakit

raihan zaffya said...

anum...mudah2an arwah di tempatkan di kalangan org2 yg solah...

raihan zaffya said...

sari...akak tertekan sgt masa tu...bantuan oksigen dihentikan bila sampai ke hospital...semua jd tanda-tanya...

 
Copyright suara hati... 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .