Selawat dan salam ke atas baginda, para isteri dan kaum keluarga baginda.
Berjumpa lagi untuk kali ini. Alhamdulillah digerakkan hati ini untuk menjengah blog ini buat kesekian kali. Tidak perlu banyak bicara lagi, maklumlah bila banyak bicara akan banyak pula silapnya. Hanya mahu mengingatkan diri sendiri dan teman-teman blogger, marilah kita bersama- sama musahabah diri. Sudah begitu hampirkah hati kita kepada ALLAH SWT. 
Di sini ada sedikit perkongsian yang kita boleh jadikan ia sebagai satu renungan untuk kita bersama: Ia adalah tentang tidur dan pengisian sebelum tidur.
 Tika sinar mentari telah bertukar ke cahaya bulan yang menyelubungi maka  manusia mengambil peluang untuk merehatkan tubuh setelah keletihan bekerja  seharian. Sang unggas dan mergastua yang berzikir dan bertasbih menambah hening  di keindahan malam. Seperti berlakunya pertukaran hari yakni siang berganti  malam maka terjadilah tidur dan jaga. Terdapat 1001 satu pengajaran dan hikmah  dengan terjadinya siang dan malam, tidur dan jaga.
Terfikirkah oleh kita, mampukah kita berzikir dan bertasbih seperti unggas  dan mergastua yang kejadiannya tidak semulia kita manusia. Usah kita hanya  berbangga kerana telah dicptakan dengan sebaik-baik kejadian jika zikir dan  tasbih kita terlalu sedikit berbanding unggas dan mergastua.
Perumpamaan tidur itu adalah sebuah 'mati kecil'. Kerana itu kita disunatkan  berwuduk, berzikir, beristighfar, memaafkan kesalahan orang lain dan berwasiat  sebelum tidur. Siapa tahu entah-entah tidur kita pada malam itu adalah tidur  yang terakhir kalinya. Begitu banyak kejadian di mana manusia 'berangkat' ketika  tidurnya. Janganlah hendaknya kita pergi menghadap ILAHI dalam keadaan yang  lalai, berlumuran dosa dan dendam kesumat kepada sesama saudara seagama.
Luqmanul Hakim pernah berwasiat kepada anaknya: "Wahai anakku, kalau engkau  meragui mati itu, maka janganlah kamu tidur. (Namun) seperti mana engkau akan  tertidur (juga akhirnya kerana terlalu mengantuk), maka demikian jugalah dengan  kematian. Dan apabila engkau meragui pula  benarnya hari kebangkitan, maka  janganlah (sekali-kali) engkau cuba bangun daripada tidurmu (namun nescaya  engkau akan terjaga juga daripada tidurmu), maka demikianlah juga dengan hari  kebangkitan. Kamu akan dibangkitkan selepas hari kematianmu."
Sebelum tidur juga digalakkan berdoa: "Ya ALLAH ya Tuhanku, jika tidurku ini  tidur yang penghabisan, maka ampunkan lah segala dosaku, maafkan segala  kesalahanku dan redhalah pada diriku."
Istighfar Dan Taubat
Islam menyarankan agar umatnya memperbanyakkan beristighfar dan bertaubat  pada setiap masa dan ketika. Ketika hati gundah mendepani kabut dosa, manusia  akan mengharap siraman rahmat dan limpahan keampunan ALLAH SWT. Rasa takut dan  harap silih berganti menghantui ruang hati.
Percayalah, rahmat dan keampunan ALLAH terlalu luas. Seluas langit dan bumi  yang tidak bertepi. Maka dambakan kemaafan dan keampunan ALLAH yang maha  menerima taubat setiap hamba-NYA. DIA tidak akan mengecewakan jika hamba-NYA  benar-benar ingin kembali kepada-NYA. Sebanyak mana dosa seseorang, usah  berputus asa daripada rahmat dan keampunan-NYA.
Berputus asa bukanlah sifat seorang mukmin bahkan ia adalah sikap buruk  sangka kepada ALLAH SWT. Usah demikian! Bukankah ALLAH itu Maha Pemaaf lagi Maha  Pengampun? Mohonlah keampunan kepada-NYA. Selagi nyawa belum sampai ke  ghalgharah kita, sebelum mentari menjelma dari arah barat maka pintu taubat  tetap terbuka luas di depan kita. Seluas timur dan barat. Jangan sia-siakan  peluang keemasan yang ALLAH sediakan. Jangan ditangguhkan taubat itu hingga tiba  hari di mana taubat dan istighfar tidak bermakna lagi.
Rasulullah begitu kasihkan umatnya. Tidak jemu-jemu baginda memberi nasihat  dan panduan hidup di dunia dan akhirat. Baginda adalah contoh Sayyidul  Mustaghfirin iaitu penghulu orang-orang yang memohon keampunan. Penghulu  orang-orang bertaubat. Bagindalah teladan yang tiada tolok bandingnya dalam  beristighfar. Setiap hari baginda melafazkan taubat hingga 70-100 kali walhal  baginda adalah bersih daripada dosa. Baginda mahu kita beristighfar dalam apa  saja keadaan kerana di situlah letaknya kasih sayang ALLAH SWT.
Taubat dan istighfar menunjukkan adab dan akhlak yang mulia diamalkan sebelum  tidur. Ia membezakan dengan cara tidur orang yang engkar dan lalai kepada ALLAH  SWT yang mana tidur mereka seperti binatang ternakan. Nauzubillah. Semoga diri  kita agar sentiasa di dalam peliharaan ALLAH SWT...amin.





 


 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
0 ulasan:
Post a Comment