Followers

Saturday, October 30, 2010

                                                  Segala puji bagi Tuhan seru sekelian alam. 
         Selawat dan salam kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW, penutup segala Nabi dan Rasul.


Emm..tidak tahu lagi bagaimana mahu mengisi rumah baruku ini. Bagaimana mahu meletakkan segala susun atur dan pengisiannya. Yang pasti suara SUARA HATI adalah suara hatiku. Suara hati yang kadangkala ada yang sudi mendengar dan adakalanya diacuhkan saja. Biarpun aku hanya sebagai seorang wanita yang pada zahirnya lemah namun hakikatnya aku selalu saja bisa bangkit pada setiap kali kejatuhanku. Semuanya hanya dengan satu keyakinan bahawa ALLAH itu sentiasa berada di sisiku.
Ya, ALLAH tidak akan pernah sesekali meninggalkan hambaNYA terkapai-kapai sendirian. Lalu aku semakin pasrah pada apa saja ketentuan dan ujian-ujian yang DIA beri. Kerna aku tahu DIA mahu  aku lebih menyayangiNYA. Setiap kali aku jatuh tersungkur, terlalu lemah kurasakan. Sakit dan perit. Seakan tiada hari esok lagi.Setiap kali itu juga DIA menghulurkan tangan untuk aku berdiri sekali lagi. Hingga akhirnya aku amat yakin aku tidak akan ditinggalkan sendiri.


    "Katakanlah: 'Tidak sesekali akan manimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan ALLAH      bagi kami". ( At-Taubah 51 )

           Sabda Rasulullah SAW: "Mempercayai Qada dan Qadar akan menghilangkan kedukaan".

Abu Abdullah berkata: "Siapa dikurniakan sikap redha kepada Qhada ALLAH, maka sesungguhnya dia telah mencapai darjat yang tinggi.


Seandainya ALLAH telah menjanjikan penawar bagi jiwa dan hati yang resah, mengapa masih memilih khamr yakni arak sebagai jalan keluar. Sedangkan ia hanya akan menggelapkan hati-hati yang mahu tunduk tawadduk kepada ALLAH. Mematikan hati-hati yang mahu mencari kebenaran. Dan sesungguhnya khamr atau arak itu adalah punca kepada segala kemaksiatan. Jalan mati yang akan menggagalkanmu untuk bertemu TUHANmu dengan penuh keindahan.
Janganlah didik anak-anakmu dengan jalan yang dimurkai ALLAH. Jangan kau sentuh 'maksiat' itu di dalam rumahmu. Di hadapan anak-anakmu. Jangan kau nyatakan kepada mereka, ia adalah ubat mujarab bagi penenang jiwa. Usah sekali-kali kau lakukan itu. Kasihani anak-anakmu yang masih tidak mengerti apa-apa. Usah kau corak 'keputihan' mereka dengan palitan warna-warna hitam lagi gelap.
Tidak dinafikan dalam era kemodenan yang tiada batas sempadan, hati-hati manusia menjadi semakin rapuh, gelap dan keliru. Ada yang punya kesedaran namun tenggelam dalam pencarian. Ia hanya kerana tiada yang sanggup menghulurkan tangan. Akhir zaman ini terlalu banyak perkara di hadapan mata yang begitu mengelirukan. Mata luaran hanya mampu melihat yang 'baik' itulah baik dan yang sukar itulah keburukan. Tanpa mereka sedar, yang sukar itulah ada kebahagiaan yang manis 'di hujungnya.' Oleh itu pandanglah sesuatu dengan mata hati dan dengan jalan kebenaran. Untuk hati dan jiwa yang resah, kembalilah kepada TUHANmu. Jauhi 'penawar' yang merosakkan.

                                                  Penawar ketenangan dengan sifat optimis

       "Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat menghasilkan kebenaran walau sedikit." ( Yunus: 36 )

 Sikap optimis adalah sikap yang baik. Selalu berharapan dan bersangka baik kepada ALLAH. Selalu  menyangka dan mengharapkan kebaikan yang telah dilakukan seseorang terhadap diri. Maka orang ini akan mempunyai jiwa positif dan berdaya maju. Orang yang optimis sukakan kebenaran. Dia sedar bahawa orang yang berada di pihak yang benar itu memang hatinya merasa tetap, teguh dan tidak gusar. Jika sedih pun hanya sebentar dan akan menjadi kuat semula.

                                                      Penawar ketenangan dengan Wudhuk

Sabda nabi:" Siapa berwudhuk begini.....nescaya akan diampunkan dosanya yang terdahulu, mana kala solat dan perjalanannya ke masjid merupakan satu sunat/tambahan yang digalakkan." ( Riwayat Muslim )

Seorang yang berwudhuk dengan baik akan sentiasa merasa tenang. Boleh berfikir dengan baik dan bertindak dengan hati-hati. Juga akan melalui hidup dengan lebih tenteram. Sesungguhnya wudhuk itu mempunyai beberapa keistimewaan:

1. Akan berasa bersih diri dan sentiasa dekat denga ALLAH s.w.t
2. Akan terasa jauh dari godaan syaitan
3. Akan selalu ingat kepada ALLAH
4. Ingin selalu menyahut seruan ALLAH
5. Menimbulkan kerajinan untuk beribadah
6. Menimbulkan keinginan menjadi orang yang bersih dalam semua segi

                                           Penawar ketenangan dengan solat yang khusyuk

                   "Ingatlah bahawa dengan mengingati ALLAH hati akan tenang." ( Al-Ra'd: 28 )

"Dirikanlah solat untuk mengingatiKU ( yang akan membawa ketenangan dalam hidup )." ( Thaha: 14 )
Selama mana manusia itu bersolat terutama pada awal waktu maka selama itulah manusia akan tetap merasa ketenangan hidup dan mendapat nikmat iman dan Islam. Semua itu dari kehendak ALLAH. Manusia hanya perlu mendekati DIA untuk terus memohon sesuatu keperluan. Memohon untuk mengatasi kelemahan diri kerana solat itu adalah satu DOA.
Rasulullah bersabda:" Saya menganjurkan anda agar mengingati ALLAH ( terutama Solat ) kerana ia dapat menghiburkan anda dari masalah dunia." ( Riwayat ad-Dailami )

Hanya setakat ini sebagai permulaan dalam mencari jalan ke arah jiwa dan hati yang tenang. Ia khas untuk diriku dan untuk dikongsi bersama teman-teman yang tidak tahu jalan mana harus dituju. Sesungguhnya ALLAH itu akan selalu bersama-sama dengan orang yang benar..

0 ulasan:

 
Copyright suara hati... 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .